Utusan Online - Sukan |
Posted: Yunus mahu bersih namaOleh ZAZALI JAMIAN
KUALA LUMPUR – Demi membersihkan namanya ekoran positif dalam ujian doping, seorang anggota kuartet 4x400 meter negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA XXVI, Mohd. Yunus Lasaleh membuat laporan polis semalam. Laporan setebal dua muka surat itu dibuat di Balai Polis Sri Petaling pada pukul 3.30 petang. Yunus ditemani beberapa atlet olahraga negara termasuk dua lagi anggota kuartet 4x400m iaitu Schzuan Ahmad Rosely dan S. Kannathasan ketika membuat laporan tersebut. Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Yunus berkata, laporan itu adalah untuk membersihkan dakwaan berkaitan doping kerana dia tidak pernah dengan sengaja mengambil bahan terlarang. Sebaliknya, tegasnya dia cuma mengikut arahan diberikan oleh pegawai perubatan yang menjaganya ketika latihan persediaan ke Sukan SEA XXVI, di Miri Sarawak dan di Brunei, tahun lalu. Yunus mendedahkan dia mengesyaki dua suntikan berwarna putih yang diterimanya sewaktu di Miri mungkin menjadi punca dia positif ujian doping. "Sebelum ini memang saya biasa terima suntikan tetapi ketika di Miri, ia berlainan daripada yang biasa saya terima. "Saya turut syak suntikan berwarna putih itu menjadi punca saya positif doping kerana sebelum ini saya disuntik dengan ubat berwarna merah. "Apabila saya bertanya doktor, dia hanya memberitahu ia adalah vitamin. "Kesan daripada suntikan di pinggul juga menyebabkan saya tidak dapat tidur seperti biasa, malah terpaksa meniarap untuk tidur. "Doktor yang terlibat juga seperti acuh tidak acuh menerangkan tentang ubat yang diberikan apabila kami banyak bertanya tentang ubat tersebut," katanya. Yunus juga sedia untuk berhadapan apa sahaja kemungkinan bagi membersihkan namanya meskipun terpaksa ke mahkamah. Tambah Yunus, melalui laporan polis tersebut, diharap atlet olahraga tidak lagi dianiaya akibat menerima ubatan tanpa pemeriksaan terperinci. "Bukan saya sahaja tetapi atlet lain juga yang menyertai latihan di Miri turut diberikan ubatan dan suntikan. "Ubatan yang berbentuk pil juga turut diragui kerana hanya diletakkan dalam satu pek plastik bukannya di dalam botol yang mencatat kandungan pil tersebut," kata Yunus. Yunus positif ujian doping bagi sampel B selepas memenangi pingat emas bersama gandingannya iaitu P. Yuvaraaj, Schzuan Ahmad Rosely dan S. Kannathasan dalam acara 4x400m Sukan SEA XXVI November lalu. | ||
Posted: Kita mesti kalahkan IndonesiaOleh Norzie Mohd. Khasbi KUALA LUMPUR – Kekalahan 2-3 kepada Hong Kong dalam perlawanan playoff pertama semalam meletakkan Malaysia tiada pilihan, kecuali mengalahkan Indonesia hari ini untuk menghidupkan peluang meraih tiket pusingan akhir Piala Uber di China, Mei ini. Sekali lagi kelemahan sektor perseorangan menyebabkan pasukan negara menanggung kekalahan, sedangkan beregu berjaya meneruskan persembahan baik dengan mengutip dua mata menerusi Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Lim Yin Loo-Goh Liu Ying. Kecuali Lydia Cheah yang memberi tentangan sengit sebelum kalah 22-20, 21-18, 17-21 kepada Chan Tsz Ka dalam perseorangan kedua, Tee Jing Yi dan Sannatasah Saniru menyerahkan mata terlalu mudah. Turun sebagai perseorangan pertama, Jing Yi gagal meraih sebarang kemenangan dalam empat perlawanannya apabila tunduk 12-21, 9-21 kepada Yip Pui Yin. Pei Tty-Eei Hui menjadikan kedudukan 1-1 dengan menumpaskan Poon Lok Yan-Tse Ying Suet 21-16, 21-18. Selepas ketinggalan 1-2 ekoran kekalahan Lydia kepada Tsz Ka, beregu sekali lagi menjadi penyelamat apabila Goh Liu Ying-Lim Yin Loo menjadi kedudukan 2-2 selepas mempamer aksi cemerlang ketika menewaskan Chau Hoi Wah-Chan Hung Yung 21-19, 21-15. Harapan untuk melihat Sannatasah dapat sekurang-kurangnya memberi tentangan sengit dalam perseorangan ketiga berakhir dengan kekalahan mengecewakan apabila kalah mudah 13-21, 15-21 kepada Mong Kwan Yi. "Memang peluang belum tertutup tetapi menentang Indonesia esok, saya rasa harapan untuk menang agak tipis kerana kalau kita lihat pretasi mereka sepanjang di Macau memang lebih unggul daripada Malaysia. "Bagaimanapun saya gembira kerana pemain-pemain beregu telah memberi sumbangan terbaik setakat ini," kata ketua jurulatih beregu wanita, Rexy Mainaky ketika dihubungi di Macau. Indonesia menjadi pilihan utama untuk memenangi saingan playoff dan menyambar tiket terakhir ke Wuhan, 20-27 Mei ini selepas membelasah Singapura 5-0 semalam. Dua perseorangan berpengalaman mereka, Adrianti Firdasari dan Maria Febe Kusumastuti memiliki kelebihan untuk mengatasi Jing Yi dan Lydia. Malah, dengan dibimbing bekas jurulatih perseorangan Malaysia, Wong Tat Meng, Indonesia juga pasti mengetahui kelemahan pemain-pemain negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |