Utusan Online - Sukan |
Posted: Harimau terpaksa telanOleh TAN MING WAI
KUALA LUMPUR - Seperti dijangka, Malaysia tidak punyai pilihan melainkan bakal berdepan gergasi-gergasi Asia dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik London tahun depan. Pada majlis undian yang dilangsungkan di Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil semalam, skuad Harimau Muda diletakkan dalam Kumpulan C bersama pemenang pingat pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010, Jepun di samping Bahrain dan Syria. Dapat mengelak bertemu Australia, Korea Selatan, Iraq, Qatar mahupun Uzbekistan mungkin dianggap sebagai undian yang memihak Malaysia, namun dua negara Asia Barat yang bakal dihadapi anak-anak buah Ong Kim Swee bukanlah calang-calang pasukan. Lebih getir, Harimau Muda akan bertandang ke Jepun bagi aksi pembukaan pada 21 September ini. Negara Matahari Terbit - Jepun, tiada perlunya untuk diuar-uarkan keunggulan pasukan itu dalam kancah bola sepak Asia. Skuad Blue Samurai adalah satu-satunya pasukan dari benua ini yang pernah meraih pingat dalam sejarah sejak acara bola sepak mula diperkenalkan pada 1990 di Paris. Mereka meraih gangsa di Mexico City 1968. Malaysia pula pernah tampil sekali pada Munich 1972, sementara Syria pula beraksi sekali pada Moscow 1980 - temasya yang Malaysia layak tetapi diboikot. Syria ketika itu menggantikan Iran yang turut menyertai boikot tersebut. Bahrain yang merupakan satu-satunya pasukan dalam Kumpulan C yang masih belum pernah layak ke saingan temasya sukan terbesar dunia itu, pastinya mengintai peluang mengulangi kejayaan skuad senior mereka layak ke Piala Dunia 2010. Setiap juara kumpulan akan menempah tiket automatik ke London, sementara tiga naib juara kumpulan akan bertembung sesama sendiri untuk merebut slot terakhir, dengan pemenangnya akan bermain dalam perlawanan penentuan bertemu pasukan dari Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF). Kim Swee yang ditemui selepas majlis semalam menyifatkan keputusan undian tersebut sebagai 'tidak banyak berbeza' memandangkan Malaysia diletakkan sebagai pasukan tercorot di kalangan 12 pasukan. "Sebelum undian lagi saya tahu kita bakal mengharungi ujian getir berdepan pasukan-pasukan terkuat Asia, jadi undian sebentar tadi tidak membawa sebarang perbezaan. "Jepun, seperti kita tahu, baru memenangi pingat emas Sukan Asia tahun lalu dan saya percaya masih ada sebilangan besar pemainnya dikekalkan dalam skuad Olimpik. "Syria pula ialah pasukan yang sentiasa beraksi cemerlang dalam kejohanan remaja AFC, begitu juga Bahrain, antara pasukan gergasi Asia," ujarnya. Mengenai perlawanan pembukaan di Jepun dua bulan akan datang, Kim Swee berkata, dia akan cuba mengaturkan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Korea Selatan sebelum bertandang ke Jepun. Katanya, perlawanan menentang Korea Selatan akan memberi input terbaik mengenai Jepun kerana kedua-dua pasukan tersebut mempunyai ciri yang hampir serupa. "Dari aspek cuaca, saiz fizikal, corak permainan, Korea dan Jepun tidak banyak berbeza, maka daripada perlawanan itu kita akan lebih bersedia menghadapi Jepun pada aksi sebenar nanti. "Pendekatan sedemikian adalah sama seperti persiapan sebelum turun menentang Lebanon tempoh hari di mana kami bersinggah di Qatar terlebih dahulu untuk aksi pemanas badan sebelum perlawanan kelayakkan," jelasnya. Sambil mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri, Kim Swee mengakui tiga perlawanan yang dilangsungkan di tanah air harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk memburu mata penuh. "Tiga perlawanan di sini adalah sangat penting untuk kita cipta kejutan dan lakar kemenangan. Saya yakin dengan adanya perancangan rapi tiada apa yang mustahil," ujarnya. Sementara itu, Pengarah Teknikal Jepun, Hiromi Hara enggan mendabik dada biarpun pada hakikatnya pasukannya diundi dalam kumpulan yang agak mudah. Hiromi juga menjangkakan saingan sengit datangnya daripada Malaysia pada aksi pembukaan nanti. "Malaysia sebuah pasukan yang kuat, mereka memiliki pemain-pemain yang mantap," tambahnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Amri, Hairuddin dipanggil hadapi Chelsea Posted: Amri, Hairuddin dipanggil hadapi ChelseaKUALA LUMPUR - Dua bekas pemain kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah dan Hairuddin Omar berpeluang membolosi gawang gergasi Liga Perdana England sekali lagi apabila kedua-dua mereka dipanggil jurulatih, Ong Kim Swee untuk menyertai pemilihan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Chelsea, 21 Julai ini. Penyerang Selangor, Mohd. Amri pastinya diingati bagaimana rembatan voli jarak jauhnya membolosi gawang Manchester United yang dikemudi bekas penjaga golnya, Edwin van der Sar, dua tahun lalu. Malah, dia juga menghukum kecuaian Darron Gibson yang cuba membuat hantaran ke belakang kepada Ben Foster, walaupun Malaysia tewas tipis 2-3 dalam perlawanan itu. Hairuddin, penyerang Negeri Sembilan, pula merupakan penjaring gol sulung menerusi tandukan kencang ketika Malaysia tewas 1-4 di tangan Chelsea pada 2003. Namun, sebelum memasang impian menyarung semula jersi kebangsaan, mereka terlebih dahulu perlu membuktikan kemampuan diri masing-masing daripada sekumpulan besar 23 pemain bukan skuad Olimpik yang turut dipanggil Kim Swee. Kim Swee bakal menggandingkan kumpulan pemain tersebut dengan 16 lagi pemain skuad Harimau Muda A bimbingannya bagi membentuk pasukan pilihan Malaysia mantap untuk berentap dengan The Blues. "Seramai 11 daripada 23 yang terpilih itu merupakan pemain bawah 22 tahun yang juga saya akan pertimbangkan untuk diserap ke dalam skuad Olimpik dan Sukan SEA. "Langkah itu adalah perlu memandangkan ketiadaan beberapa tonggak skuad Olimpik yang juga diperlukan untuk skuad senior kebangsaan, "Bayangkan barisan belakang kami tanpa Mahali (Jasuli), Apek (Khairul Fahmi Che Mat), Muslim (Ahmad), Fadhli (Shas)... maka barisan alternatif perlu dicari kerana andai Malaysia menewaskan Singapura pada kelayakan Piala Dunia nanti, mereka akan terus diperlukan untuk Harimau Malaya," katanya kepada pemberita, semalam. Kesemua 39 pemain yang dipanggil akan melapor diri untuk menjalani latihan berpusat di Wisma FAM, Isnin ini. Kim Swee dijangka menamakan skuad bertemu Chelsea tiga atau empat hari sebelum tarikh perlawanan. Dia bagaimanapun tidak terlalu runsing memikirkan mengenai perlawanan Chelsea, kerana keutamaan tetap kepada kelayakan Olimpik. "Pertembungan Chelsea hanya merupakan satu lagi perlawanan, semudah itu. Saya tidak terlalu mementingkan perlawanan tersebut, namun adalah bagus untuk para pemain menimba pengalaman beraksi menentang lawan bertaraf dunia. "Pada akhirnya, pusingan akhir kelayakan Olimpik adalah menjadi keutamaan," katanya yang akan menyenaraikan 25 pemain untuk menjalani latihan di Slovakia selama sebulan iaitu 23 Julai hingga 28 Ogos ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |