Utusan Online - Sukan |
Posted: Chong Wei impi angka 7Oleh NORZIE MOHD. KHASBI dan ZAZALI JAMIAN
KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei masih sempat menari di gelanggang ketika tinggal satu mata untuk menumpaskan pemain muda China, Chen Long sebelum melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. Tanpa musuh tradisi, Lin Dan dan dengan kemunculan semula jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, pemain No. 1 dunia itu tampak amat tenang sepanjang kejohanan ini, malah cukup berkeyakinan untuk membawa pulang kejuaraan ketujuh. Chong Wei memenangi semua lima perlawanan awalnya menerusi keputusan straight set. Malah, semalam, juara edisi 2004, 2005, 2006, 2008, 2009 serta 2010 itu hanya mengambil masa 39 minit untuk menjinakkan pemain muda China itu 21-9, 21-9, kemenangan yang bakal menemukan beliau dengan satu lagi seteru utama, Taufik Hidayat dari Indonesia. Kontras dengan Chong Wei yang dilihat mendominasi gelanggang sepenuhnya, malah beberapa kali melakukan gerakan yang mengejutkan lawan, Taufik sebaliknya dipaksa bekerja keras ketika mengetepikan rakan senegara, Simon Santoso 21-15, 21-19 dalam satu lagi saingan separuh akhir. "Saya sendiri tidak sangka akan menang semudah ini. Seperti yang saya katakan semalam (kelmarin) saya tidak mahu memikirkan tentang lawan dan lebih berminat memberi tumpuan kepada permainan sendiri dan itu yang membolehkan saya lebih relaks dan mudah menguasai perlawanan hari ini. "Hari ini saya lihat semua serangan Chen Long tidak menjadi. Pada awal permainan saya hanya mahu melihat rentak permainannya selepas dapat membaca, saya tidak langsung membenarkan dia mendapat semula rentak. "Dia adalah pemain remaja, bahayanya pemain remaja sepertinya adalah apabila mendapat ruang dia tidak akan mensia-siakannya, jadi saya memastikan Chen Long langsung tidak diberi ruang dan peluang untuk memulakan serangan, ia benar-benar berhasil," ujar Chong Wei. Ditanya apakah dia sudah mula terbayang kejuaraan ketujuh, Chong Wei mengakui, amat mengharapkan kemenangan untuk menggembirakan penyokong tuan rumah tetapi dia perlu berhati-hati dengan Taufik, yang dianggap lebih sukar dan licik hari ini. Ujar juara All England itu lagi, berbeza dengan Chen Long, Taufik, juara Olimpik 2004 dan juara dunia 2005 lebih berpengalaman dan lebih banyak beraksi menentangnya. Malah, dia kalah kepada jaguh No. 2 dunia itu pada suku akhir Kejohanan Dunia, tahun lalu. "Taufik berbeza dengan Chen Long, dia lebih berpengalaman, malah saya lihat keadaan fizikalnya sepanjang kejohanan ini sangat baik. Tetapi sama seperti Chen Long, saya tidak berminat untuk memikirkan tentang permainan lawan, sebaliknya hanya mahu fokus kepada diri sendiri," ujar Chong Wei lagi, yang memegang rekod 10-6 daripada 16 pertemuan ke atas jaguh Indonesia. | ||
Krisis Misbun - BAM belum ada noktah Posted: Krisis Misbun - BAM belum ada noktahKUALA LUMPUR - Harapan untuk melihat krisis antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Datuk Misbun Sidek berakhir mungkin tidak berlaku kerana sehingga semalam, tiada pertemuan berjaya diatur Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh dan jurulatih itu. Jemputan Nadzmi untuk bertemu Misbun pagi semalam ditolak oleh jurulatih perseorangan itu atas alasan mahu memberi tumpuan kepada Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung, di mana anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir. Tindakan Misbun menyebabkan tiada sebarang rundingan berjaya dijalankan oleh BAM dan Misbun sejak jawatankuasa eksekutif badan induk badminton kebangsaan itu yang bermesyuarat pada 12 Januari lalu meminta jurulatih tersebut mempertimbangkan semula peletakan jawatannya. Misbun dalam reaksinya selepas tamat mesyuarat tersebut berkata, beliau sedia berunding dengan BAM tetapi meminta Nadzmi agar membalas surat lima muka surat yang dihantar kepada presiden itu. Tidak dapat dipastikan apakah Nadzmi sudah membalas surat berkenaan. "Saya ada menghantar SMS (sistem pesanan ringkas) kepada Misbun untuk bertemu dengannya pagi ini (semalam) dan merundingkan mengenai isu kedua-dua pihak sebelum hasil pertemuan dibawa kepada majlis BAM yang akan bermesyuarat esok, bagaimanapun beliau (Misbun) tidak mahu bertemu. "Katanya, beliau mahu memberi tumpuan kepada Terbuka Malaysia dan hanya bersedia untuk bertemu selepas tamat kejohanan ini, jadi tiada sebarang maklum balas tambahan yang boleh saya bawa kepada majlis esok. "Untuk saya, apa yang akan saya lakukan esok adalah menjelaskan kepada majlis masalah sebenar yang berlaku. Ada di antara majlis yang tidak tahu butiran krisis ini dan hanya membacanya menerusi akhbar, jadi adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan kepada mereka. "Saya tidak rasa akan ada satu keputusan dicapai esok tetapi ia mungkin boleh menjadi sebaliknya juga, semua terpulang kepada majlis. Namun, jika ada sebarang keputusan, ia pasti sesuatu yang boleh diterima," kata Nadzmi di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |