Utusan Online - Sukan |
Pemain bebas mungkin banjiri skuad Piala Thomas 2012 Posted: Pemain bebas mungkin banjiri skuad Piala Thomas 2012Zakry Latif dan Fairuzizuan Tazari yang kini tidak lagi bernaung di bawah BAM merupakan calon beregu pilihan bagi mengisi slot ke Piala Thomas/Uber 2012 di China. KUALA LUMPUR - Kegagalan pemain-pemain muda negara mempamerkan aksi meyakinkan sembilan bulan menjelang pusingan akhir Piala Thomas/Uber 2012, mungkin menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terpaksa membawa masuk pemain bebas paling ramai dalam sejarah kejohanan. Ketika ini, hanya jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong hampir pasti mengisi tiga daripada 10 slot untuk kejohanan yang akan berlangsung di Wuhan, China pada 20-27 Mei, 2012 itu. Ketiadaan pemain muda yang mantap dalam acara perseorangan lelaki, memungkinkan dua pemain veteran yang sudahpun meninggalkan BAM, Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim dipanggil semula menguatkan cabaran. Dalam saingan beregu pula, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari yang meninggalkan skuad kebangsaan awal bulan ini masih calon pilihan untuk membawa cabaran negara, malah seandainya tiada pasangan muda yang mampu meyakinkan BAM untuk disenarai, beregu tajaan Apacs dan KLRC, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen turut dilihat sebagai calon relevan. Bagi BAM, mereka sentiasa mengamalkan polisi membuka slot kepada pemain bebas jika itu yang terbaik untuk pasukan negara, malah badan badminton negara itu tidak menolak untuk memberi tiket kepada pemain bukan kebangsaan untuk membawa cabaran ke Sukan Asia dan Komanwel jika mereka berjaya membuktikan keupayaan untuk bersaing. "BAM tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pemain bebas untuk membawa cabaran Malaysia pada Piala Thomas atau Uber dan kami akan teruskan polisi tersebut pada kejohanan di China tahun depan. "Kalau dengan membawa masuk pemain-pemain bebas ini dapat menguatkan cabaran pasukan negara pada kejohanan itu, maka kami akan memanggil mereka, itupun kalau mereka berminat. "Pada saya keutamaan kami cukup mudah, kami hanya akan membariskan skuad yang terbaik tidak kira ia adalah pemain kebangsaan atau bukan. Lagipun, ini bukannya polisi baru, kami sudah mengamalkannya sejak dulu," kata Pengurus Besar BAM, Kenny Goh. Pada Piala Thomas 2010 yang diadakan di Kuala Lumpur, Choong Hann dipanggil menguatkan cabaran perseorangan lelaki biarpun sudah bersara daripada pasukan kebangsaan ketika itu, malah pada Piala Uber 2008 di Jakarta, BAM turut memanggil pemain bebas, Lim Pek Siah untuk menguatkan saingan beregu wanita. Pek Siah turut dilantik sebagai ketua pasukan negara ketika itu memandangkan dia adalah pemain paling senior selepas beregu Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Wong Mew Choo. Melihat kepada perkembangan ketika ini, slot perseorangan lelaki masih belum mampu disahkan ekoran pemain-pemain muda gagal menunjukkan prestasi meyakinkan di pentas antarabangsa. Empat pemain berada dalam calon untuk merebut tempat ketika ini, diketuai oleh Liew Daren, Chong Wei Feng, Chan Kwong Beng dan Mohd. Arif Latif, namun semua pemain ini perlu membuktikan mereka lebih baik daripada Choong Hann atau Hafiz untuk diberi kepercayaan. Dalam beregu lelaki, BAM memiliki beberapa opsyen di kalangan pasangan bimbingan Tan Kim Her, namun tumpuan terbaru adalah kepada gandingan yang baru dibentuk, Ong Soon Hock-Mak Hee Chun, manakala beregu muda lain yang turut menjadi pilihan ialah Lim Khim Wah-Goh Wei Shem, Ow Yao Han-Chooi Kah Ming, Teo Kok Siang-Chan Peng Soon. Saingan Piala Uber tampak kritikal, terutama dalam perseorangan wanita selepas persaraan Mew Choo. Baik Lydia Cheah, Tee Jing Yee mahupun Sonia Cheah belum menunjukkan aksi meyakinkan ketika ini, justeru tumpuan juga tidak mampu beralih kepada bekas pemain kebangsaan, Julia Wong yang kini mewakili KLRC. Malaysia tidak pernah memenangi kejuaraan Piala Thomas sejak kali terakhir muncul juara pada 1992 dan penampilan terakhir tahun lalu menyaksikan kita kecundang kepada China di separuh akhir. | ||
Bertudung bukan punca Zaira bersara Posted: Bertudung bukan punca Zaira bersara
KUALA LUMPUR - Perubahan drastik pada penampilan diri atlet angkat berat negara, Zaira Zakaria yang kini sudah bertudung litup mungkin mengejutkan ramai pihak. Lebih-lebih lagi atlet berusia 24 tahun itu menceburi sukan yang menghalangnya untuk berimej demikian. Ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini, Zaira mengakui imej bertudung yang dikenakan sekarang sememangnya menjadi halangan utama untuknya terus bergiat aktif dalam sukan angkat berat. "Saya memang ada hasrat untuk bersara tetapi niat saya itu bukanlah berpunca daripada perubahan penampilan saya yang kini telah bertudung," katanya. Menurut Zaira, buat masa ini, dia terpaksa menanggalkan tudung ketika bertanding memandangkan peraturan sukan angkat berat menghalang atlet menutup seluruh tubuhnya mahu pun berpakaian yang agak longgar. Jelasnya, apa yang dia boleh lakukan ialah cuba untuk mengelak daripada berpakaian tanpa lengan ketika bertanding. "Saya bersedia menimbangkan pemakaian t-shirt untuk menutup bahagian atas tubuh saya dan di bahagian luar pula saya akan menyarungkan baju angkat berat seperti mana yang dipakai oleh segelintir atlet," ujarnya. Zaira yang mula memakai tudung sejak lebih sebulan yang lalu, memberitahu, keputusannya untuk bersara adalah kerana faktor usianya yang tidak lagi sesuai berkecimpung dalam sukan tersebut. Katanya lagi, Sukan SEA di Palembang mungkin menjadi pentas terakhirnya jika dia layak ke temasya tersebut, sebelum dia memutuskan untuk berundur. Tambah Zaira, pada 14 September ini, dia akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan Sirkit 2 di Kuala Lumpur sebagai gelanggang untuknya mengintai tempat ke Sukan SEA, November ini. "Untuk layak, saya akan cuba mengatasi rekod saya di Sukan SEA Loas 2009, yang mana ketika itu saya mencatat angkatan 94 kilogram (kg) untuk clean and jerk dan 70 kg untuk snatch," jelasnya. Anak kelahiran Kedah itu sudah 11 tahun menceburi sukan angkat berat dan pernah menyumbangkan gangsa menerusi acara 48 kilogram pada Sukan SEA di Laos. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |