Tiada semangat patriotikTiada semangat patriotik
Oleh NORZASRUDIN
MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my
SEBAHAGIAN pemain remaja tidak mahu hadir menjalani latihan apabila dipanggil menyertai skuad negara. - Gambar hiasan
|
PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak pernah mengabaikan usaha mencungkil bakat-bakat muda bagi mewakili skuad negara pada masa hadapan.
Bagaimanapun, sikap mementingkan diri dan tidak memiliki semangat patriotik dalam kalangan pemain dikenal pasti sebagai punca kegagalan melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat dan berwibawa.
Masalah mula timbul apabila para pemain terbabit gagal hadir apabila dipanggil untuk menjalani sesi pemilihan.
Lebih mengecewakan, pelbagai alasan yang diberikan meskipun mereka telah terpilih untuk mewakili skuad sepak takraw negara.
Situasi itu jelas sekali mengecewakan Setiausaha Kehormat Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad (gambar kecil) yang memandang serius masalah tersebut.
"Selain boleh menyumbang kepada kemerosotan prestasi di pentas antarabangsa, ia juga menjejaskan kedudukan skuad negara dalam ranking dunia.
"PSTPs berasakan bahawa PSM di bawah kepimpinan yang ada telah melakukan yang terbaik dan berusaha keras untuk mela- hirkan pemain berwibawa.
"Mereka (PSM) telah mengambil inisiatif yang proaktif bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk melahirkan barisan pemain muda sebagai pelapis kepada skuad utama negara.
"Ini terbukti dengan wujudnya banyak kejohanan pada peringkat kebangsaan dan pelaksanaan program pembangunan di negeri- negeri yang melibatkan latihan pemain secara sistematik serta kursus-kursus bagi melahirkan ramai jurulatih bertauliah.
"Dengan adanya pelbagai kejohanan pada peringkat kebangsaan, ditambah dengan program pembangunan secara berterusan di setiap negeri, ia akan menjadi pemangkin dalam melahirkan pemain muda berbakat," kata Syed Azmir.
Beliau berkata, PSTPs berasa amat kesal kerana ramai pemain muda yang berpotensi tinggi pada peringkat negeri tetapi enggan beraksi pada kejohanan kebangsaan.
Ini kerana, para pemain terbabit takut dilabel sebagai pemain 'berstatus negeri', sekali gus menghalang mereka daripada bermain pada kejohanan peringkat negeri.
Mereka lebih gemar bermain pada kejohanan pada peringkat kampung dan negeri yang membolehkan mereka mengumpul hadiah wang yang tidak seberapa.
Sikap negatif pemain ini juga telah menular kepada pemain bertaraf negara yang enggan melaporkan diri bagi mewakili Malaysia serta sering gagal menghadirkan diri apabila dipanggil untuk sesi pemilihan peringkat kebangsaan.
"PSTPs menggesa agar pemain yang boleh dilabel sebagai jaguh kampung tersebut tidak dibenarkan sama sekali untuk beraksi pada kejohanan pada peringkat negeri.
"Ini kerana, penglibatan mereka dalam sukan ini seakan-akan tidak ada mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas.
"Sepatutnya, setiap pemain sepak takraw yang berasakan bahawa mereka memiliki kemahiran dan kemampuan luar biasa perlu berazam untuk mencapai ke tahap yang paling tinggi.
"Dengan kata lain, mereka perlu berazam untuk mewakili negara demi memelihara dan mengembalikan maruah sukan sepak takraw pada masa hadapan.
"Setiap kali PSM menganjurkan kejohanan, kita dapat melihat ramai muka baharu yang begitu menyerlah dan berpotensi tinggi untuk menggalas cabaran negara.
"Namun selepas selesai kejoha- nan, mereka tidak bersikap serius untuk menyumbangkan tenaga kepada negara. Ini amat menyedihkan," katanya.
Menurut Syed Azmir, PSTPs juga menyelar segelintir badan sukan di negara ini yang tidak menghormati PSM sebagai badan induk sepak takraw negara.
PSTPs berpendapat bahawa pihak tersebut mestilah tahu akan batasan tugas dan tanggungjawab masing-masing demi memastikan PSM dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan mampu mencapai objektif yang opti- mum.
PSTPs juga menggesa pihak terlibat agar tidak membelakangkan peranan PSM hanya semata-mata untuk membela pihak tertentu yang berkepentingan dengan mereka.
Sekiranya semua pihak tahu peranan masing-masing dan akur serta menghormati autoriti dan kredibiliti yang ada pada PSM, pencapaian sukan sepak takraw akan lebih membanggakan pada masa hadapan.
Dengan kata lain, membantu PSM amat dialu-alukan tetapi jangan mencampuri bidang tugas yang sepatutnya disempurnakan oleh PSM.
Kesimpulannya, pemain muda yang berbakat besar dan memiliki kemahiran tinggi mestilah tahu matlamat dan hala tuju mereka apabila menceburi sukan sepak takraw secara serius supaya penat lelah dan komitmen mereka tidak akan menjadi sia-sia.