Utusan Online - Sukan |
Posted: Tamparan lebuh rayaOleh Sayed hesham idris
KORAT - Selepas kehilangan jaguh pecut, Anuar Manan, skuad lebuh raya menerima satu lagi tamparan hebat apabila pelumba tonggak, Mohd. Adiq Hussainie Othman pula menarik diri daripada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) kerana masalah kesihatan. Adiq yang merupakan pelumba kelab Australia, Drapac semalam mengesahkan dia terpaksa melupakan perlumbaan 160 kilometer hari ini kerana demam, keputusan yang memberi tamparan kepada skuad bimbingan Graham Seers. Menurut Adiq, memang sesuatu yang amat mengecewakan tidak dapat beraksi sedangkan dia sudah melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi ACC kali ini. Begitupun tegasnya, penarikan diri tidak mampu dielak kerana dia sudah berasa tidak sihat sejak demam ketika memenangi pingat gangsa acara perlumbaan mata basikal trek, baru-baru ini. "Saya rasa tidak sedap badan. Memang saya masih boleh berkayuh tetapi saya tidak dapat memberi seratus peratus sewaktu perlumbaan nanti," katanya di sini semalam. Kekosongan yang ditinggalkan oleh Adiq akan diganti Ng Yong Li yang mengambil bahagian dalam acara ujian masa individu elit kelmarin. Tanpa dua tonggak utama - Anuar dan Adiq, Malaysia kini menyandarkan sepenuh harapan kepada barisan pelumba seperti Amir Mustafa Rusli, Muhammad Rauf Nur Misbah serta Suhardi Hassan. "Saya memang kecewa terpaksa menarik diri kerana perlumbaan ini penting untuk mencari tiket ke Sukan Olimpik. Pemenang pingat emas akan layak secara automatik ke temasya London tahun depan. "Walaupun tidak dapat membantu pasukan negara, saya yakin rakan-rakan sepasukan yang lain mampu memberikan cabaran terbaik esok (hari ini). Mereka semua memiliki daya tahan yang tinggi. "Saya juga mempunyai keyakinan terhadap pengganti saya, Yong Li. Saya yakin dia cukup bersedia mengharungi cabaran lebuh raya walaupun mengambil bahagian dalam acara ujian masa individu kelmarin,'' ujarnya. Mengenai kehadiran jaguh Asia dalam acara lebuh raya hari ini, Adiq berkata, nama besar seperti Wong Kam Po, Yukiya Arashiro dan Hossein Askari pada ACC tidak harus menggerunkan pelumba negara. "Tidak semestinya yang hebat sahaja boleh menang kerana dalam acara lebuh raya apa sahaja boleh berlaku. "Saya berharap ACC di sini dapat memberikan tuah buat skuad lebuh raya negara untuk memenangi pingat," katanya. - Utusan | ||
2 CDM ketuai kontinjen Malaysia Posted: 2 CDM ketuai kontinjen MalaysiaOleh Norzie Mohd. Khasbi
KUALA LUMPUR - Biarpun isu acara pertandingan Sukan SEA XXVI di Indonesia belum berkesudahan, namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah mengambil langkah persediaan awal untuk menghadapi temasya itu dengan melantik dua Chef de Mission (CDM) untuk mengetuai kontinjen negara sepanjang temasya 11-25 November itu. Pelantikan dua CDM perlu dilakukan untuk memastikan semua atlet negara mendapat perhatian penuh memandangkan edisi ke-26 temasya bakal diadakan di dua lokasi berjauhan, Palembang dan Jakarta, kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi. Bagaimanapun kata Kok Chi, siapa yang bakal dipilih untuk mengetuai kontinjen negara pada temasya tersebut belum dikenal pasti dan ia mungkin antara agenda yang akan dibincangkan pada mesyuarat majlis MOM di ibu negara hari ini. "Ini bukan kali pertama kita mempunyai dua Chef de Mission dalam satu temasya kerana kita juga menggunakan pendekatan serupa pada Sukan SEA 2003 di Vietnam memandangkan temasya ketika itu diadakan di dua lokasi berlainan yang kedudukannya amat jauh di antara satu sama lain. "Siapa yang akan dipilih untuk mengetuai kontinjen negara belum diputuskan kerana kami masih mencari calon yang sesuai. Mesyuarat majlis esok mungkin akan membincangkan mengenai perkara ini,'' ujar Kok Chi, yang turut menambah isu Sukan SEA akan menjadi agenda utama mesyuarat hari ini. Pada Sukan SEA 2003, temasya diadakan di Hanoi dan Ho Chi Minh. Datuk Ho Kok Chye dipilih mengetuai atlet di Ho Chi Minh, manakala Norminshah Sabirin pula bertanggungjawab menjaga kontinjen yang bertanding di Hanoi. Jumlah sebenar kontinjen Malaysia yang akan terlibat di Indonesia, hujung tahun ini juga belum dapat dipastikan kerana Temasya XXVI itu masih bercelaru daripada segi senarai sukan dan acara yang dipertandingkan ekoran tindakan tuan rumah memasukkan banyak acara merapu dan memihak kepada mereka ditentang negara lain. Mengikut senarai awal, Indonesia menawarkan 542 pingat emas daripada 44 acara, namun mereka menggugurkan banyak acara yang lazim dipertandingkan di Sukan Asia dan Sukan Olimpik, termasuk hoki serta kebanyakan acara trek lumba basikal. Keputusan akhir mengenai jenis sukan dan acara yang bakal dipertandingkan mungkin hanya diketahui apabila seluruh warga sukan Asia Tenggara bersidang pada mesyuarat majlis dan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Denpasar, Bali pada 25 Februari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |