'Kita perlu realistik''Kita perlu realistik'
Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my

BENG HAI (kiri) bersama tiga pemain skuad kebangsaan berazam melakukan yang terbaik pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang bermula di Ipoh, Perak hari ini.
JANGKAANNYA memang tinggi, namun biarlah realistik. Itu respons jurulatih skuad hoki negara, Tai Beng Hai ketika diajukan pertanyaan mengenai peluang skuad hoki Malaysia pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2011 yang bermula di Ipoh hari ini.
Dengan reputasi sebagai finalis Sukan Asia 2010 Guangzhou, harapan peminat hoki tempatan untuk melihat satu lagi pencapaian terbaik dalam arena hoki negara pastinya menggunung tinggi.
Begitupun, Beng Hai sedar jangkaan tinggi yang diletakkan ke atas mereka ini berdasarkan prestasi terbaik ketika di China tahun lepas, namun beliau turut mengharapkan peminat hoki tempatan supaya lebih realistik daripada berfantasi.
"Kita kena sedar bahawa kita memerlukan masa selama dua tahun untuk membentuk sebuah skuad yang mantap seperti di Sukan Asia 2010," kata Beng Hai.
"Namun, bagi kejohanan ini pula, kita hanya ada sebulan lebih sebagai persiapan.
"Oleh itu, jangkaan ke atas skuad ini perlulah lebih realistik kerana misi utama kita ialah layak ke Sukan Olimpik London 2012 dan PSAS 2011 ini hanyalah sebagai satu permulaan saja," jelasnya.
Pada PSAS edisi tahun lepas, skuad negara hanya menduduki tempat keempat selepas tumbang 3-5 kepada Australia pada penentuan ketiga dan keempat.
Kali ini dalam kempen di Ipoh yang akan bermula dengan menentang Britain malam ini, Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) menetapkan sasaran menduduki empat tempat terbaik sekali lagi.
"Apa pun, saya menyeru agar peminat dan penyokong Malaysia nanti tidak meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap pasukan kita."
Sementara itu, bagi merancakkan lagi kejohanan edisi ke-20 ini, stesen sukan tempatan, Astro Arena (saluran 801) menjadi penyiar rasmi dan memberi liputan secara langsung dan eksklusif sepanjang saingan ini.
Pengurus Saluran Astro Arena, Venu Ramadass berkata, Astro Arena akan menyiarkan semua perlawanan yang melibatkan pasukan Malaysia serta pertemuan-pertemuan lain yang menarik.
"Ini adalah kali kedua kami menyiarkan kejohanan ini selepas edisi ke-19 tahun lalu," kata Venu.
Pemain skuad negara Penjaga gol: S. Kumar, Roslan Jamaluddin; Pertahanan: Muhd. Razie Rahim, Baljit Singh, Mohd. Madzli Ikmar, Muhd. Izzat Mohd. Rahim; Tengah: Mohd. Sukri Abd. Mutalib, Azlan Misron, Kevinder Singh, Muhd. Azammi Adabi, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah, Muhd. Marhan Mohd. Jalil, Nabil Fiqri Mohd. Noor.
Penyerang: Mohd. Frihan Ashaari, Tg. Ahmad Tajuddin A. Jalil, Faizal Saari, Hafifihafiz Hanafi, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.