Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM sedia bantu

Posted:

FAM sedia bantu

FAM sedia bantu

Oleh RADIAH SAORI
hidayat.azmie@kosmo.com.my

SAFEE SALI


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berjanji akan berusaha membantu pemain negara, Mohd. Safee Sali menyelesaikan masalah permit kerja dan visa sekiranya penyerang sensasi kebangsaan itu mendapat tawaran beraksi bersama kelab England, Cardiff City.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui, memang agak sukar untuk Safee mendapatkan permit kerja dan visa berikutan peraturan yang telah lama dilaksanakan.

Begitupun ujarnya, masih ada peluang untuk menyelesaikan masalah terbabit melalui budi bicara antara FAM, Cardiff City dan juga Persatuan Bola Sepak England.

"Memang susah sebab kalau kita minta longgarkan syarat, takut ramai pula orang lain yang merungut tetapi kita boleh guna budi bicara.

"FAM sentiasa sokong hasrat Safee dan saya harap, Cardiff City melalui pemiliknya, Datuk Chan Tien Ghee dapat menyediakan satu mekanisme terbaik buatnya.

"Saya difahamkan pengurus pasukan, Malky Mackay nampak berminat dengan bakat yang ada pada Safee," katanya selepas majlis perasmian Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor di Johor Bahru semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Safee mengalami kesukaran bagi menyarung jersi Cardiff gara-gara masalah permit kerja.

Antaranya termasuklah ranking Malaysia yang ketika ini begitu jauh daripada syarat kelayakan kelompok 70 pasukan terbaik Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain perlu beraksi lebih 75 peratus dalam perlawanan berstatus A ketika mewakili pasukan kebangsaan.

Sementara itu, Tien Ghee mengesahkan Safee akan menjalani ujian kedua dalam tempoh terdekat dan akan mengadakan perbincangan dengan kelab yang diwakili Safee, Pelita Jaya untuk membawa pemain kebangsaan itu ke Cardiff City.

"Safee harus kembali ke Pelita Jaya memandangkan saingan Liga Super Indonesia akan bermula tidak lama lagi dan saya akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan kelab berkenaan untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi membawa Safee menjalani latihan kedua," kata Tien Ghee.

Terengganu berdepan 'maut'

Posted:

Terengganu berdepan 'maut'

Terengganu berdepan 'maut'

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


IRFAN (kiri) tidak mahu memandang rendah kemampuan Kelantan pada saingan suku akhir nanti.


JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti seperti sengaja 'menempah maut' dalam misi mencatat sejarah untuk membawa pasukannya menjulang Piala Malaysia musim ini.

Kelmarin, skuad kendaliannya itu sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan untuk menghuni kedudukan kedua dalam Kumpulan B.

Keputusan itu sekali gus meletakkan Terengganu dalam situasi sukar apabila mereka dijadualkan menentang Kelantan pada aksi suku akhir.

Apa yang pasti, pertembungan pada 10 dan 14 Oktober itu diibaratkan sebagai ulangan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil, Jun lalu yang menyaksikan Terengganu muncul juara.

Namun bagi Irfan sendiri, dia enggan terlalu bermegah dengan rekod Piala FA itu, sebaliknya tetap menghormati reputasi lawan sebagai pasukan No. 1 negara masa kini.

"Kami akan menentang Kelantan di suku akhir dan kami tidak boleh lari daripada hakikat ini.

"Kami perlu berdepan mereka dengan kekuatan yang kami ada dan saya tidak perlu tertekan dengan perlawanan ini," katanya emalam.

Irfan menambah, sasaran awal pasukannya adalah untuk melayakkan diri ke suku akhir tidak kira atas tiket juara ataupun naib juara kumpulan.

Malah katanya, kejayaan berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik adalah sesuatu yang membanggakan.

"Pemain-pemain telah membuktikan mereka berhak berada di suku akhir dan kami akan teruskan rentak ini.

"Apa yang saya harapkan penyokong Terengganu akan terus berada di belakang kami terutamanya ketika berdepan Kelantan di Kuala Terengganu pada 10 Oktober depan," ujarnya.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Irfan mengakui hujan lebat sehingga memaksa pengadil menangguhkan perlawanan kira-kira sejam sedikit menganggu fokus anak-anak buahnya.

"Pemain terpaksa bermain di padang becak dan memang sukar jika mereka beraksi mengikut corak permainan biasa.

"Saya juga akui ada beberapa pemain yang gagal memberikan aksi terbaik pada perlawanan malam kelmarin," tambahnya.

Kebangkitan Gergasi Merah

Posted:

Kebangkitan Gergasi Merah

Kebangkitan Gergasi Merah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
sukan@kosmo.com.my

"JIKA Liverpool mampu bangkit ketika menentang AC Milan selepas ketinggalan tiga gol untuk menjulang Piala Eropah pada tahun 2005, mengapa kita (Selangor) tidak boleh berbuat demikian?.

Kata-kata perangsang jurulatih, P. Maniam menjadi pencetus semangat pemain Gergasi Merah itu di bilik persalinan ketika ketinggalan 0-1 kepada Kuala Lumpur menerusi jaringan, Muhd. Shahrom Abdul Kalam pada minit ke-37.

Nyata, sentuhan Maniam akhirnya menjadi apabila jaringan Mohd. Razman Roslan pada minit ke-65 menyamakan kedudukan sebelum Amri Yahyah selaku ketua pasukan menglengkapkan kemenangan dengan menanduk bola ke gawang pasukan pelawat selang sepuluh minit kemudian.

Kemenangan ke atas Kuala Lumpur bukan sahaja melayakkan Selangor ke pusingan suku akhir Piala Malaysia malah menyelamatkan maruah pasukan Gergasi Merah itu yang mempamerkan aksi hambar sebelum ini.

Maniam berkata, semangat untuk memburu kemenangan mula hadir selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 pada 24 September lalu juga antara salah satu pencetus terhadap kebangkitan mereka.

"Selepas menang dengan PDRM, keyakinan pemain-pemain saya untuk memburu kemenangan bertambah baik dan berjaya bekerja sebagai satu pasukan.

"Namun ketika menentang Kuala Lumpur semalam (kelmarin), selepas ketinggalan satu gol (menerusi Muhd. Shahrom) pada minit ke-37, saya memberitahu jika Liverpool mampu menjadi juara Eropah walaupun ketinggalan tiga gol, sudah tentu kita boleh lakukan juga," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Jelasnya, beliau bangga dengan semangat pemain yang tidak mengenal erti putus asa dan mempunyai keyakinan tinggi untuk mencapai kemenangan untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Katanya, Misi 33 Piala Malaysia masih menjadi keutamaan Selangor namun apa yang lebih penting adalah menumpukan perlawanan menentang Perak dalam suku akhir pertama nanti.

"Sudah tentu Misi 33 masih menjadi keutamaan pasukan Selangor. Akan tetapi, saya tidak mahu berfikir terlalu panjang (mengenai Misi 33) sebaliknya fokus dahulu pertemuan dengan Perak di Stadium Shah Alam pada 4 Oktober ini.

"Walaupun Perak beraksi tanpa lima tonggak utama (Shahrulnizam, Akhmal Rizal Ahmad Rakhli, Mohd. Nasril Nourdin, Mohd. Syazwan Roslan dan Azmeer Yusoff), namun prestasi skuad kendalian Norizan Bakar ini jelas cemerlang apabila muncul juara Kumpulan A.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan