Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Beri peluang kedua’

Posted: 05 Feb 2012 09:31 AM PST

LANGKAH pertama dalam memulihkan semula jati diri sejumlah pemain Piala Presiden yang didakwa terbabit dalam skandal mengatur keputusan perlawanan musim lalu adalah dengan tidak memburukkan keadaan sehingga mendedahkan identiti sebenar mereka kepada masyarakat umum.

Sekiranya dilakukan, ia bukan saja memusnahkan masa depan mereka dalam aktiviti bola sepak, malah usaha untuk membina kerjaya dalam bidang lain turut tergugat.


"Pasti selepas ini pasukan lain tidak mahu mengambil mereka untuk beraksi, jadi janganlah sampai pemain muda yang berusia bawah 21 tahun ini dianggap bermasalah sehingga untuk menjadi budak pejabat pun sukar.

"Cukuplah dengan penggantungan dua hingga lima tahun yang dijatuhkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta nama mereka diberikan kepada ahli gabungan dan kelab," kata bekas pemain negara dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh.


FAM selepas mesyuarat exconya, kelmarin mengesahkan 18 pemain Piala Presiden membabitkan enam pemain setiap pasukan Negeri Sembilan, T-Team dan MP Muar terbabit dalam gejala tidak sihat itu dengan nama dan bentuk hukuman akan diketahui pada Rabu ini.


Namun bekas pengendali skuad bawah 21 tahun Negeri Sembilan, Yusarman Yusof dilaporkan dikenakan penggantungan seumur hidup.

"Hukuman berat terhadap jurulatih adalah sesuatu yang wajar kerana beliau individu bertanggungjawab terhadap setiap pemain di bawah kendaliannya. "Namun bagi pemain muda, tempoh penggantungan yang dikenakan diharapkan dapat memberi keinsafan kepada mereka kerana ia ibarat peluang kedua," katanya.


Badan induk bola sepak negara itu turut memantau secara rapi transaksi pembayaran gaji membabitkan semua saingan anjurannya menerusi Penolong Setiausaha Agung FAM, Kelly Sathiaraj yang akan memberi laporan terus kepada Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sekiranya terdapat masalah berhubung perkara terbabit.



Full content generated by Get Full RSS.

Hentikan liga terpisah

Posted: 05 Feb 2012 09:28 AM PST

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menyatakan Indonesia mesti menghentikan liga yang berpisah dengannya menjelang 22 Mac depan atau berdepan penggantungan badan induk bola sepak dunia.

Bola sepak Indonesia berdepan kemelut sejak November lalu apabila Liga Super Indonesia (ISL) turut berlangsung, mencetuskan persengketaan dengan saingan liga yang rasmi, Liga Prima.


Setiausaha Agung AFC, Alex Soosay (gambar) berkata, Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) memberikan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) sehingga 22 Mac depan bagi 'memastikan semua berada dalam kawalan'.

PSSI dijangka mengadakan kongres luar biasa pada 18 Mac untuk memiliki kepimpinan baru dan AFC berharap ia akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyelesaikan krisis terbabit.


"Jika mereka gagal bersatu, seluruh aktiviti bola sepak di Indonesia boleh digantung. Ia akan menjadi penggantungan menyeluruh untuk Indonesia," kata Soosay.


Soosay berkata perancangan untuk kongres itu menunjukkan 'petanda positif'. "Jika mereka akur, semuanya kembali kepada normal," katanya.

Penggantungan itu bermakna mana-mana pemain yang beraksi untuk kelab Indonesia termasuk penyerang negara, Safee Sali digantung untuk beraksi pada perlawanan antarabangsa. Pemain itu kini beraksi bersama kelab Pelita Jaya FC dalam liga yang berpecah itu, ISL serta baru menandatangani kontrak bernilai lebih RM2 juta.


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Safee boleh beraksi untuk Malaysia selagi tiada sebarang arahan dikeluarkan Fifa atau AFC.

PSSI membuang dan mendenda beberapa kelab tahun lalu kerana menyertai liga yang memberontak itu.


Pemain sudah dihalang daripada menyertai skuad kebangsaan republik itu dengan PSSI menegaskan peraturan Fifa berkata pemain yang beraksi dalam liga tidak sah tidak boleh mewakili negara mereka di pentas antarabangsa. - AFP



Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan