Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Capello letak jawatan

Posted:

Capello letak jawatan

Capello letak jawatan

LONDON – Fabio Capello membuat keputusan meletakkan jawatannya selaku jurulatih England berkuat kuasa semalam.

Demikian menurut kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak (FA) England.

Peletakan jawatan jurulatih kelahiran Itali itu dibuat sejurus selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi FA England, David Bernstein semalam.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan isu mengenai pelucutan tugas kapten John Terry yang akan dihadapkan ke mahkamah Julai depan gara-gara didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman sebelum ini.

Terry yang juga kapten Chelsea didakwa bertindak sedemikian kepada pemain pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand dalam satu aksi Liga Perdana England Oktober tahun lepas.

"Dalam mesyuarat selama lebih sejam itu, Capello akhirnya menyerahkan surat peletakan jawatannya yang akan berkuat kuasa serta-merta," kata FA dalam kenyataan itu.

Capello sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan tindakan FA yang mahu melucutkan jawatan Terry selaku kapten England.

"Kami ingin menegaskan di sini bahawa Capello telah bersikap profesional sepanjang pembabitan beliau sebagai jurulatih England.

"Ini merupakan keputusan yang betul dan kami menghormati keputusan Capello dan menerima surat peletakan jawatannya.

"Kami mengucapkan terima kasih di atas segala jasa beliau bersama England dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya pada masa depan," kata FA.

Begitupun, Capello ketika ini dilaporkan enggan mengeluarkan sebarang komen berhubung perkara itu, dan satu sidang akhbar khas dikhabarkan akan diadakan di Wembley hari ini.

Jurulatih berusia 65 tahun itu mula mengambil alih tugas selaku jurulatih England pada Disember 2007 sebelum menyaksikan anak buahnya gagal layak ke Euro 2008 setahun kemudian.

Dalam pada itu, FA England telah melantik Stuart Pearce sebagai jurulatih sementara bagi menggantikan Capello.

Dengan pelantikan tersebut, Pearce yang sebelum ini merupakan jurulatih skuad bawah 21 tahun (B-21) England bakal mengendalikan pasukan tersebut menjelang aksi persahabatan menentang Belanda pada 29 Februari ini.

– Reuters

Kelantan pertahan rekod bersih

Posted:

Kelantan pertahan rekod bersih

Kelantan pertahan rekod bersih

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


BAIRD (kanan) banyak mengancam kubu pertahanan Kelantan pada aksi di Likas kelmarin. Sabah dan Kelantan seri 0-0.


MISI The Red Warriors untuk mengutip mata penuh ketika bertandang ke Stadium Likas, Kota Kinabalu menentang Sabah, malam kelmarin tidak kesampaian selepas mereka diikat seri tanpa jaringan.

Anak-anak buah Peter Butler dipaksa bekerja keras dengan diberi tentangan cukup hebat sebelum terpaksa berpuas hati dengan satu mata yang berjaya dibawa pulang ke Kota Bharu.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim ketika dihubungi nyata menzahirkan kelegaan kerana pasukannya berjaya mencuri satu mata dan berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah dalams aingan liga setakat ini.

Menurutnya, Sabah beraksi lebih baik berbanding Kelantan dalam perlawanan tersebut dan jelas menguasai perlawanan dengan aksi yang agresif melalui beberapa gerakan dan serangan berbahaya.

"Percubaan Leopold Alfonso Otong pada minit-minit akhir perlawanan terkena tiang gol, kalau tidak sudah pasti kita terpaksa berputih mata menerima kekalahan pertama dalam saingan liga musim ini.

"Apa yang saya jangkakan sebelum ini menjadi kenyataan. Memang sukar beraksi di Kota Kinabalu dan Sabah beraksi bermati- matian untuk mengalahkan kita. Saya fikir mana-mana pasukan lain pun menghadapi situasi yang sama apabila bertemu mereka di sana," katanya.

Tambahnya, kehebatan pemain import Sabah, Micheal Baird sering memberi masalah kepada pasukan, terutamanya benteng pertahanan yang terpaksa bekerja keras untuk mengekang asakan mereka.

"Dia banyak memberi masalah kepada benteng pertahanan kita. Beberapa gerakan serta kerajinannya untuk turun mendapatkan bola serta membuka ruang kepada rakan sepasukan begitu mengagumkan," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai tindakan Peter Butler mengeluarkan kedua-dua pemain import, Mohammed Ghaddar dan Obinna Nwaneri dalam perlawanan tersebut, Azman seperti 'merestui' tindakan tersebut.

"Tindakan tersebut merupakan satu keputusan yang tepat setelah mereka dilihat gagal memberikan sumbangan berkesan kepada pasukan.

"Nwaneri terpaksa dikeluarkan pada minit ke-72 perlawanan setelah didapati tidak cukup cergas dalam perlawanan ini. Saya tidak salahkannya kerana dia sudah lama tidak beraksi dan baru beberapa kali menjalani latihan bersama kita.

"Ghaddar pula masih mempunyai penyakit lama, masih tercari-cari rentak dan tidak begitu efektif dalam perlawanan ini. Kita terpaksa mengeluarkan dia pada awal babak kedua dan digantikan dengan Ramzul Zahini (Adenan)," jelasnya.

Kelantan bakal melayan kunjungan musuh setempat, Terengganu di gelanggang sendiri malam esok.

Saya kecewa - Irfan

Posted:

Saya kecewa - Irfan

Saya kecewa - Irfan

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


GOL penyamaan oleh Gurusamy (kiri) menyelamatkan Selangor daripada dimalukan oleh Singapura. Kedua pasukan seri 1-1.


DENDAM kesumat Gergasi Merah, Selangor selama 18 tahun terhadap musuh tradisi, Singapura jelas belum ternoktah apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Meskipun menguasai sebahagian besar permainan, ketumpulan jentera serangan Merah Kuning dalam perlawanan itu sememangnya meresahkan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim.

Menurut beliau, ketiadaan penyerang import, Bosko Balaban dari Croatia yang sehingga kini masih belum pasti dapat diturunkan atas sebab tertentu sememangnya dirasai dalam perlawanan kelmarin.

Namun pada masa sama, Irfan juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila 'masalah pencetak gol' yang menghantui pasukannya musim ini masih belum berakhir apabila beberapa pemain seperti Amri Yahyah, Safiq Rahim, Fitri Shazwan dan Amirulhadi Zainal juga buntu dalam usaha merobek gawang lawan.

"Saya akui, barisan depan Selangor sedikit meragukan berbanding bahagian tengah dan pertahanan, jadi masalah ketumpulan jentera penyudah ini perlu diatasi segera supaya kami tidak lagi keciciran mata penting jika berhajat untuk mendakap Liga Super musim ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perlawanan kelmarin, Lions XII terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-43 apabila kapten, Mohd. Shahril Ishak bijak mengatasi perangkap ofsaid pasukan tuan rumah sebelum merembat deras melepasi jangkauan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Kegembiraan pasukan pelawat begitupun tidak bertahan lama apabila rembatan deras K. Gurusamy dari luar kotak penalti hasil umpanan Amri terus menerjah jaring seminit kemudian.

Dengan keputusan itu, Selangor kini menghuni tangga keenam Liga Super dengan sembilan mata, satu mata di depan Lions XII di tangga keenam.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) adalah pada separuh akhir Piala Malaysia 1994 apabila Singapura memenangi perlawanan tersebut dengan agregat 3-2 sebelum muncul juara buat kali terakhir setelah menewaskan Pahang 4-0 di pentas final.

Selepas itu, kedua-dua pasukan hanya bertemu pada perlawanan persahabatan Piala Sultan Selangor setelah Singapura mengambil keputusan keluar daripada Liga-M setahun kemudian gara-gara tidak berpuas hati dengan isu pengagihan levi tiket.

Mengulas lanjut, Irfan memberitahu, pasukannya mahu menebus kekecewaan apabila berdepan cabaran Selangor PKNS di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.

"Walaupun Balaban masih belum pasti dapat diturunkan ketika menentang PKNS nanti, saya mahu semua pemain tidak berputus asa."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen