Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Buffon lancar perang psikologi

Posted:

Buffon lancar perang psikologi

BUFFON yakin Itali memiliki kemampuan untuk menewaskan England pada aksi suku akhir awal pagi esok.


KRAKOW, Poland - Penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon melancarkan perang psikologi menjelang aksi suku akhir menentang England di Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi esok.

Meskipun mengakui terlalu awal untuk meramal Itali menjuarai Euro kali ini, Buffon, 34, berkata, skuad The Azzurri memiliki kemampuan untuk mencabar pasukan lain.

Penjaga gol Juventus itu menegaskan bahawa Itali selaku juara dunia empat kali perlu memperbaiki prestasi mereka sekiranya mahu mara ke separuh akhir.

Itali memulakan kempen Kumpulan C dengan keputusan seri 1-1 bertemu juara dunia, Sepanyol dan Croatia sebelum mencatat kemenangan 2-0 ke atas Ireland, sekali gus menduduki tangga kedua dalam kumpulan.

Sebelum ini, kapten Itali itu menjelaskan bahawa dia tidak yakin dengan kemampuan pasukan itu untuk menjuarai kempen Euro kali ini dan sekali lagi menyatakan perkara yang sama pada satu sidang akhbar kelmarin.

"Saya pernah beritahu sebelum ini bahawa saya rasa kami mungkin sukar untuk memenanginya. Kalau saya beritahu sebaliknya hari ini (kelmarin), maka saya mungkin seorang yang gila," kata Buffon secara berseloroh.

"Ketika itu mungkin terlalu awal untuk membuat andaian kami mampu menjuarainya kerana kami akan berdepan Sepanyol, juara dunia dan juara Eropah, serta Jerman yang lebih hebat daripada kami.

"Begitupun, ia tidak bermakna kami adalah pasukan belasahan bagi mereka."

Itali masih belum kalah pada kempen Euro kali ini tetapi England turut memiliki rekod yang sama apabila memulakan kempen ini dengan seri 1-1 dengan Perancis sebelum menewaskan Sweden 3-2 dan Ukraine 1-0 untuk muncul juara Kumpulan D.

Buffon yakin, untuk menjinakkan skuad kendalian Roy Hodgson itu, Itali harus meningkatkan prestasi mereka berbanding perlawanan lepas.

"Kami berada pada peringkat lapan pasukan terbaik Eropah dan kami berjaya melepasi halangan dalam kumpulan tanpa sebarang kekalahan.

"Namun, apa yang kami lakukan setakat ini masih belum cukup. Kami perlu meningkatkan lagi tahap permainan sekiranya mahu meneruskan kemaraan," tambahnya. - AFP

England pilihan Nani bertemu Portugal di pentas akhir

Posted:

England pilihan Nani bertemu Portugal di pentas akhir

WARSAW - Pemain sayap Portugal, Nani memasang impian untuk bertemu England pada final Euro 2012.

Nani berkata, Portugal berada di landasan yang tepat untuk mara ke final selepas berjaya menewaskan Republik Czech 1-0 pada aksi suku akhir di Stadium Nasional, Poland, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Paulo Bento itu bakal berdepan satu lagi ujian getir apabila dijadualkan bertemu Sepanyol atau Perancis pada aksi separuh akhir di stadium Donbass Arena, Ukraine awal pagi Khamis ini.

Nani yang berkongsi bilik persalinan dengan bintang England, Wayne Rooney, Ashley Young dan Phil Jones di Manchester United berkata: "Mungkin kami akan bertemu England pada final Euro kali ini.

"Kamu tidak tahu apa yang akan berlaku. Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku tetapi kami perlu menewaskan lawan pada separuh akhir sebelum memikirkan mengenai aksi final.

"Kami tidak kisah siapa yang akan menjadi lawan, ia tidak penting. Namun, kemenangan ke atas Czech, Jumaat lalu adalah sesuatu yang menakjubkan.

"Kami berasa sangat gembira kerana pasukan menunjukkan persembahan yang menakjubkan ketika menentang Czech.

"Meskipun kami hanya menjaringkan satu gol, sumbangan semua pemain dalam skuad ini menjadi lebih baik dari semasa ke semasa." - Agensi

England intai slot separuh akhir

Posted:

England intai slot separuh akhir

KRAKOW, Poland - England ada misi peribadi pada aksi suku akhir menentang Itali di Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi esok.

Setakat ini, skuad The Three Lions belum pernah menewaskan mana-mana pasukan gergasi pada saingan kalah mati di luar Stadium Wembley.

Bagaimanapun, setelah menewaskan Sweden 3-2 buat pertama kalinya dalam kejohanan kompetitif dan memalukan tuan rumah, Ukraine 1-0 juga buat pertama kalinya dalam tempoh hampir 60 tahun, England berhasrat untuk melakukannya sekali lagi ke atas Itali.

"Semua statistik negatif yang diperoleh selama ini hanya akan terpadam apabila kami mendapat keputusan yang positif.

"Itu adalah perkara paling asas.

"Mungkin ia hanya perkara kecil sekiranya kami berjaya menewaskan Itali tetapi apa yang penting, kami akan menghadapi kejohanan lain selepas ini tanpa memikirkan persoalan sama.

"Saya bukan mahu menambah tekanan kepada pemain-pemain supaya melakar sejarah baharu.

"Saya hanya mahukan kejayaan.

"Kalau ia berhasil, sesuatu yang menakjubkan kerana kami akan beraksi pada separuh akhir, sekali gus menjadi suntikan semangat baharu buat kami.

"Ia juga akan memadam kesemua statistik negatif kami," kata jurulatih, Roy Hodgson.

Hodgson juga tidak menganggap Itali sebagai pasukan pilihan, terutamanya selepas skuad The Azzurri bergelut dalam saingan peringkat kumpulan.

"Prestasi Itali adalah biasa dan mereka tidak lagi mampu menjadi pencabar utama dalam kejohanan ini," kata Hodgson.

"Masalah utama Itali ialah mereka ada ramai pemain berbakat dan berpengalaman di posisi perancang tetapi purata umur mereka lebih tua berbanding kami.

"Ada ramai pemain berusia 29 hingga 34 tahun dalam pasukan itu. Jadi kami sedar bahawa kami akan berdepan pasukan yang berpengalaman dan lebih bagus dari segi teknikalnya." - Agensi

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan