Kosmo Online - Sukan |
Posted: Azizulhasni kecewa
"SAYA sudah mengerah seluruh tenaga yang ada tetapi gagal untuk berada dalam tiga kelompok di hadapan. Saya kecewa." Demikian keluhan jaguh lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang selepas gagal menyempurnakan misi memburu pingat dalam acara keirin yang berlangsung di Velodrome, Olympic Park, London kelmarin. Pada perlumbaan akhir itu, Azizulhasni menamatkan saingan di tempat keenam, namun pencapaian tersebut lebih baik berbanding temasya di Beijing empat tahun lalu yang menyaksikannya menduduki tempat ketujuh. Seperti dijangka, perlumbaan tersebut dimenangi pelumba tuan rumah yang juga juara Olimpik sebanyak lima kali, Chris Hoy. Azizulhasni adalah antara atlet negara yang diramal mampu meraih pingat pada Sukan Olimpik 2012 London selain jaguh badminton perseorangan, Datuk Lee Chong Wei. Sasaran tersebut dibuat berdasarkan reputasi cemerlang yang dipamerkan oleh pelumba kelahiran Terengganu itu pada beberapa siri Kejohanan Dunia sejak tahun 2010. "Saya sudah memberikan yang terbaik tetapi gagal melaksanakan impian seluruh rakyat Malaysia. Perlumbaan semalam (kelmarin) memang sengit," katanya. Menurut Azizulhasni, selepas kejayaan melangkah ke pusingan akhir acara keirin itu, nasib tidak begitu menyebelahinya. Dia diundi untuk berada di lorong kelima yang sudah pastinya memang sukar untuk merebut tempat di kelompok hadapan, namun dia berusaha untuk memintas tiga pelumba di hadapannya. "Undian juga tidak memihak kepada saya. Saya berada di lorong kelima dan ia memang sukar untuk merebut kedudukan hadapan. "Pada tiga pusingan terakhir, saya sudah mula mengerah tenaga dan berjaya merebut kedudukan ketiga, namun pada pusingan terakhir, laluan saya sudah ditutup rapat oleh pelumba Belanda, lagi pun ketika itu saya sudah kehilangan tenaga selepas melakukan pecutan awal bagi merebut tempat di hadapan. "Saya tetap juga mencuba tetapi pada selekoh terakhir, saya sudah dikepung oleh pelumba Belanda dan ruang untuk saya melakukan asakan sudah tertutup rapat," katanya semalam. Dia juga tidak menolak kemungkinan bahawa pencabarnya itu memang sudah merancang daripada awal perlumbaan untuk menutup segala ruang buatnya. Selepas ini, Azizulhasni akan bercuti selama tiga bulan sebelum kembali memulakan latihannya di Melbourne. "Selepas ini saya akan berehat dulu. Sukan Olimpik sudah berakhir dan kini fokus saya ialah untuk mempersiapkan diri bagi misi negara seterusnya. "Saya akan fokus terhadap persediaan menghadapi Sukan Asia dan Komanwel 2014 selepas ini dan berharap dapat meraih kejayaan. "Saya juga akan bekerja keras untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro," katanya. Sementara itu, pengurus pasukan lumba basikal negara, Datuk Naim Mohammad berkata, Azizulhasni kurang bernasib baik pada perlumbaan akhir itu. "Bila diundi untuk berada di lorong kelima, ia memang sukar untuk duduk di hadapan. Undian tersebut sudah 50 peratus kita akan kalah tetapi Azizulhasni tidak menyerah begitu mudah. "Dia memang pelumba yang bijak dan tetap berusaha untuk mengambil tempat di hadapan. Dia telah membuat banyak kerja sejak daripada awal perlumbaan dan banyak tenaga sudah digunakan. "Bila sudah sampai ke pusingan terakhir, dia tetap mencuba tetapi ruangnya untuk melakukan asakan sudah tertutup," jelas Naim. Menurutnya, seandainya Azizulhasni menduduki tempat keempat pada perlumbaan itu, mereka mungkin mengemukakan protes terhadap 'permainan kotor' pelumba Belanda, Teun Mulder pada perlumbaan tersebut. "Tetapi Azizulhasni hanya menduduki tempat keenam, dan kalau kita protes sekali pun ia tidak akan menghadiahkan pingat. Kalau dia berada di tempat keempat, kita akan protes," tegas Naim. Sebelum ini, Azizulhasni yang turut beraksi dalam acara pecut, juga gagal dalam misinya memburu pingat apabila menamatkan saingan acara tersebut di tempat kelapan. | ||
Posted: Ken Nee bersara
SUKAN Olimpik 2012 London merupakan aksi terakhir buat penerjun negara, Yeoh Ken Nee.Dia menyatakan hasrat untuk bersara daripada sukan yang diceburinya sejak berusia 12 tahun itu dan kini menawarakn diri untuk menjadi jurulatih bagi sukan terjun. Ken Nee sudah hampir 10 tahun tidak beraksi pada temasya sukan terbesar dunia ini selepas kali pertama membuat penampilan pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney. Pada temasya di London ini, Ken Nee ada sesuatu yang boleh dibanggakan walaupun dia gagal meraih pingat dalam acara 3 meter papan anjal individu lelaki. Dia menjadi penerjun lelaki negara pertama berjaya layak ke final, namun nasibnya kurang baik kerana menamatkan saingan di tempat ke-10. Membuat penampilan keduanya pada temasya Olimpik selepas Sydney 2000, penerjun tinggi lampai berusia 29 tahun dari Kuala Lumpur itu mengumpul 437.45 mata keseluruhan daripada enam disiplin dalam acara tersebut. Dia meraih 79.05, 78.20, 49.50, 79.20, 76.50 dan 75.00 untuk menduduki tempat ke-10 dalam kalangan 12 penerjun yang beraksi di peringkat akhir itu. Acara tersebut dimenangi penerjun Rusia, Ilya Zakharov dengan mengutip 555.90 mata manakala dua penerjun China, Qin Kai dan He Chong masing-masing meraih perak dan gangsa. Pada temasya di Sydney, Australia, Ken Nee terkandas pada peringkat kelayakan. "Saya sudah mencapai apa yang diimpikan dalam karier saya, jadi sudah tiba masanya saya bersara. Saya juga menawarkan diri untuk menjadi jurulatih. "Sepanjang karier saya, saya sudah memenangi pingat dalam acara ini pada peringkat antarabangsa dan juga sudah berjaya beraksi pada final Sukan Olimpik. "Saya rasa sudah cukup dan kejayaan yang saya raih selama ini sungguh memuaskan hati saya," kata Ken Nee. Sejak pembabitannya dalam sukan terjun, Ken Nee merupakan pemenang pingat perak dalam acara 3m papan anjal individu lelaki (Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar) dan sebelum itu dia meraih emas pada temasya yang sama di Busan, Korea Selatan pada 2002. Pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China dua tahun lalu, dia berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara. Kali ini pada Sukan Olimpik London, dia melangkah ke final, namun gagal dalam percubaannya untuk memang pingat. | ||
Posted: Zakharov lebur impian Qin KaiDARI kiri, Qin Kai, Zakharov dan He Chong mengungguli acara terjun 3 meter papan anjal lelaki kelmarin. LONDON - Qin Kai gagal mengawal emosi selepas Ilya Zakharov dari Rusia memusnahkan impian China untuk menyapu bersih lapan pingat emas acara akuatik pada Sukan Olimpik 2012 di Pusat Akuatik London. Impian Qin Kai untuk menambak koleksi pingat emas China berakhir apabila Zakharov mengungguli acara 3 meter papan anjal lelaki kelmarin. Kekalahan itu mengulangi skrip lama yang berlaku di Beijing empat tahun lalu apabila atlet Australia, Matthew Mitcham memusnahkan impian penerjun China, Zhou Luxin dalam acara platform. Selaku juara bertahan, He Chong dan Qin Kai yang diletakkan harapan bagi mempertahankan pingat emas China dalam acara 3m papan anjal selepas bermula cemerlang pada hari pertama acara terjun. Bagaimanapun, harapan itu lebur selepas Steely Zakhrov mempamerkan aksi bertenaga, berjaya meraih emas dengan kutipan 104.50 mata. Kejayaan atlet kelahiran Leningrad, Rusia itu meletakkan Qin Kai sekadar meraih perak manakala He Chong dengan pingat gangsa. "Sejak tahun 2006, He Chong dan saya tidak pernah dikalahkan oleh sesiapa namun kali ini, kami tewas kerana darjah kesukaran yang dilakukan Zakhorov amat sempurna," ujar Qin Kai. "Saya beraksi dengan baik walaupun tidak menjangka akan mendapat perak. Atlet Rusia itu melakukanya dengan sempurna dan hebat. "Dia (Zakharov) pernah menang sekali atau dua kali sebelum ini. Dia selalu mencuba rutin terjunan yang sukar. Kali ini dia amat berjaya," tambahnya lagi. Dalam pada itu, Qin Kai mengakui yang dia tidak dapat mengawal emosinya selepas tewas kepada atlet Rusia tersebut. "Jurulatih beritahu, persembahan saya amat bagus dan rakan sepasukan cuba menenangkan saya," katanya yang mula menyertai sukan terjun pada usia enam tahun. Dalam pada itu, He Chong yang pernah menewaskan penerjun Kanada, Alexandre Despatie dan Qin Kai dalam acara papan anjal di Beijing, menyalahkan dirinya kerana gagal mempertahankan pingat Olimpik kali ini. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan