Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Buntu robek lawan

Posted: 12 Sep 2012 11:03 AM PDT

PENYERANG Mohd Safee Sali berpendapat corak serangan Harimau Malaya sudah boleh dibaca pasukan lawan yang mengakibatkan mereka buntu menjaringkan gol hingga tewas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Dia yang dimasukkan pada babak kedua selepas ketinggalan dua gol berkata, mereka perlu mencari jalan memantapkan serangan jika mahu memastikan Piala Suzuki AFF kekal milik Malaysia hujung tahun ini.


"Kami perlu perbaiki kelemahan dengan mempelbagaikan corak serangan kerana pemain lawan sudah boleh membaca strategi yang disusun," katanya.

Pada perlawanan menentang Vietnam, ketua jurulatih Datuk K Rajagobal menurunkan penyerang terbaik kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Zaquan Adha Abd Razak dalam kesebelasan utama namun gagal membuahkan hasil.


Biarpun kemasukan Safee dan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-56 memberikan sedikit nafas kepada jentera serangan namun serangan yang dicipta gagal menepati sasaran.


Safee, penjaring terbanyak ketika membantu Harimau Malaya muncul juara buat kali pertama Piala AFF dua tahun lalu, tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa kerana gagal melunaskan hajat menamatkan kemarau jaringan peribadinya.

Selepas menjaringkan dua gol ketika tewas 2-3 kepada India pada aksi persahabatan November lalu, pemain kelab Pelita Jaya FC Indonesia itu hingga kini masih tercari-cari sentuhan penyudah bersama skuad kebangsaan.


"Saya memang kecewa kerana tidak menjaringkan gol tapi tidak rasa tertekan dengan situasi ini. Yang penting saya berjaya menjalankan tanggungjawab diberikan dan saya harap dapat mengembalikan sentuhan sebelum Piala AFF bermula." Sementara itu, Rajagobal juga turut ditanya mengenai masalah dihadapi Safee itu.

"Dia beraksi pada separuh masa kedua dan menunjukkan sesuatu dalam permainan. "Kami memerlukan pengalamannya dalam pasukan ini. Pada Piala AFF lalu, dia hanya menyerlah pada separuh akhir dan saya masih menaruh keyakinan tinggi terhadapnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13


Nafi pikat Ricky

Posted: 12 Sep 2012 10:57 AM PDT

NAMA Ricky Subagja dari Indonesia tiba-tiba dikaitkan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), ketika badan induk badminton negara mengintai calon jurulatih luar untuk memberi nafas baru dalam kejurulatihan kebangsaan.

Pemenang pingat emas acara beregu lelaki Olimpik Atlanta bersama Rexy Mainaky itu, dilapor Jawa Pos National Network mengaku menerima tawaran BAM.


"Saya mendapat tawaran dari BAM. Hingga kini masih menimbang tawaran itu," kata Ricky kepada akhbar itu pada 7 September lalu.

Malah Ricky dikatakan akan segera bertemu seorang pengurus BAM.


Siapakah pengurus dimaksudkan tidak dapat dipastikan namun Arena Metro mendapatkan maklum balas daripada Pengurus Besar BAM, Kenny Goh yang menafikan khabar angin itu.


"Tiada orang di BAM membuat tawaran kepadanya. Ng Chin Chai (Setiausaha Kehormat BAM) juga tidak pernah membuat tawaran itu," kata Kenny.

BAM juga menafikan Ricky ada menghubungi mereka untuk menyatakan minat melatih skuad kebangsaan biarpun Jawa Pos melaporkan rakan segandingan Rexy itu menerima tawaran lumayan, yang tidak mungkin diperoleh di Indonesia.


Jika benar Ricky bakal melatih skuad negara, tentunya beliau menjejaki kejayaan Rexy yang tujuh tahun membimbing pemain beregu negara sebelum beralih arah ke Filipina selepas Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) lambat mengikat jurulatih itu.

Pada masa ini, Ricky melatih sebuah kelab di Batam. Sepanjang bergandingan dengan Rexy, mereka muncul juara Olimpik 1996, Sukan Asia (1994, 1998), juara Dunia (1995) dan Seluruh England (1995, 1996).


BAM turut dikatakan memburu Park Joo Bong untuk mengisi jawatan Pengarah Kejurulatihan buat kali kedua, selain bekas pemain dan jurulatih kebangsaan Cheah Soon Kit yang menyatakan minat kembali melatih pemain kebangsaan.


Di bawah bimbingan Joo Bong sekitar tahun 2000 hingga 2003, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah mara ke separuh akhir Olimpik Sydney 2000 serta menaikkan gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng sebagai gandingan nombor satu dunia.


Sejak 2005, beliau menjadi ketua jurulatih Jepun dan di bawah usahanya, prestasi pemain beregu lelaki dan wanita Jepun jauh meningkat selain kemunculan pemain perseorangan lelaki, Kenichi Tago dan Sho Sasaki yang kini menjadi antara pencabar terkuat dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan