Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Bukan masa eksperimen

Posted: 27 Sep 2012 02:32 PM PDT

BEKAS pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berpendapat tempoh dua bulan terakhir sebelum sepak mula kejohanan Piala Suzuki AFF, November ini bukan lagi masa untuk ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal melakukan eksperimen terhadap barisan pemainnya.

Baginya, skuad kebangsaan perlu meraih keputusan meyakinkan pada aksi persahabatan dalam tempoh fasa terakhir persiapan bagi memberikan gambaran jelas mengenai pemain terbaik yang boleh memikul misi melakar sejarah mencipta kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.


"Bagi saya waktu untuk melakukan eksperimen sudah berakhir. Ini tempoh persiapan terakhir, bukan lagi untuk mencuba kombinasi pemain sebaliknya jurulatih (Rajagobal) sudah mengenal pasti pemain terbaiknya.

"Sekarang adalah fasa memperkemaskan permainan dengan pasukan kebangsaan sudah memiliki sekurang-kurangnya dua pemain terbaik untuk bersaing merebut satu posisi. Untuk beraksi dalam sesuatu kejohanan, memiliki pemain serba boleh memberi kelebihan kepada sesebuah pasukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro di United Kingdom semalam.


Skuad kendalian Rajagobal mengharungi tiga lagi perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada 16 Oktober dan 14 November serta Vietnam (3 November) sebelum turun mempertahankan Piala AFF di laman sendiri pada 24 November.


Dalam aksi terakhir 11 September lalu, Malaysia tumpas 0-2 kepada seteru Asia Tenggara, Vietnam namun pada perlawanan 'rahsia' dengan Kemboja pada 20 September, Harimau Malaya menang 3-0.

Ada yang menganggap perlawanan persahabatan tidak boleh dijadikan ukuran seperti dilakukan Itali apabila mara ke final Euro 2012 biarpun gagal meraih keputusan meyakinkan ketika dalam persiapan.


Menurut Serbegeth atau lebih popular dengan panggilan Shebby yang kini bertugas sebagai Penasihat Global Kelab Bola Sepak Blackburn Rovers, pendekatan seperti itu tidak boleh diambil kira.

"Adakah kita memiliki kualiti sama seperti Itali? Adakah kita mempunyai pemain seperti (Gianluigi) Buffon? Adakah kita mempunyai pemain sehebat (Andrea) Pirlo? Mereka pemain berpengalaman dan walaupun pada perlawanan persahabatan tidak beraksi 100 peratus tapi prestasi mereka meningkat pada kejohanan sebenar," katanya.


Bagaimanapun pandangan disuarakan bekas pemain pertahanan kebangsaan dan Kuala Lumpur itu bukanlah mahu menidakkan kemampuan pemain negara kerana beliau yakin Harimau Malaya mampu mempertahankan kejuaraan.


"Kita mempunyai pemain generasi emas yang pernah menjuarai Piala AFF dan saya harap skuad negara dapat melakukan persiapan terbaik," jelas Shebbie.


Pada Piala AFF kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Singapura dan pasukan naib juara pusingan kelayakan manakala Thailand, Vietnam, Filipina dan juara pusingan kelayakan berentap dalam Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


RM (A) FC, Cullen FC tunjuk belang

Posted: 27 Sep 2012 02:15 PM PDT

PASUKAN futsal RM (A) FC dan Cullen FC muncul juara Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia Parlimen Pengkalan Chepa 2012 bagi kategori Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita di KB Futsal Arena, Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

RM (A) FC menewaskan PDM Penambang FC menerusi sepakan penalti manakala Cullen FC menundukkan Sky FC, 1-0 pada perlawanan akhir untuk muncul juara.


Kejayaan skuad terbabit membolehkan masing-masing meraih hadiah wang tunai RM1,000 serta piala dan hadiah iringan.

PDM Penambang FC dan SKY FC yang muncul naib juara kategori masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500, piala dan hadiah iringan.


Kejohanan sehari anjuran Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa itu mendapat sambutan menggalakkan disertai 64 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan