Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Safee intip Garuda

Posted: 05 Oct 2012 02:30 PM PDT

PENYERANG sensasi negara, Mohd Safee Sali boleh mengintip kekuatan pasukan kebangsaan Indonesia apabila dipanggil kelabnya, Pelita Jaya FC bagi perlawanan persahabatan menentang The Real Garuda di Malang, hari ini.

Safee yang mendapat pelepasan daripada latihan pusat Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal semalam bergegas ke Jakarta sebagai persediaan menghadapi perlawanan menentang skuad kendalian Timnas Indonesia, Alfred Riedl itu.


Difahamkan Riedl memanggil pemain dari Liga Super Indonesia (ISL) bersama skuad ini yang diberi nama The Real Garuda sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF, bulan depan.

Kehadiran Safee dalam perlawanan itu secara tidak langsung boleh memberikan maklumat kepada Rajagobal mengenai kekuatan The Real Garuda yang mungkin bakal diturunkan untuk berdepan Malaysia dalam kempen Kumpulan B Piala AFF.


Penyerang berusia 28 tahun itu berkata, biarpun berdepan jadual padat dan terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta, apa yang dilakukan itu adalah demi negara.


"Bagi saya ini satu pengorbanan kepada negara. Saya berulang alik dari KL (Kuala Lumpur) dan Jakarta untuk tambah pengalaman kerana dengan pengalaman itu saya dapat membantu skuad kebangsaan. Biarpun penat dan terpaksa mengorbankan masa, demi negara saya sanggup melakukannya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran haruman terbaru Avon-Center Action semalam.

Pemain kebangsaan itu dipilih menjadi wajah baru produk terbaru keluaran Avon itu.


Safee yang meledak lima gol untuk muncul penjaring terbanyak dan membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 turut diminta mengulas kemerosotan ranking negara ke tangga 162 dunia selepas tumpas kepada Vietnam 0-2 pada aksi persahabatan bulan lalu.

Baginya, dia tidak bimbang dengan situasi itu kerana yang lebih penting adalah misi mempertahankan gelaran Raja Asia Tenggara.


"Ranking tak terlalu penting kerana yang penting kami menang kejohanan. Bila kalah dalam perlawanan persahabatan, kami boleh belajar daripada kesilapan itu. Kami akan berusaha habis-habisan sebab akan bermain di gelanggang sendiri.


"Kedudukan ranking tak jejaskan moral, Insya-Allah kami boleh kekalkan kejuaraan," katanya yang akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menyertai latihan pusat bagi menghadapi Hong Kong pada aksi persahabatan 16 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Impak positif

Posted: 05 Oct 2012 02:15 PM PDT

JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang merasakan program latihan skuad berbasikal trek negara di Melbourne, Australia tidak perlu ditutup sepenuhnya walaupun pembinaan velodrom tertutup pertama negara dijangka siap dua tahun lagi.

Menurut pelumba yang beraksi di Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 itu, isu itu perlu dinilai daripada pelbagai sudut kerana program itu berjaya memberikan impak positif dengan melahirkan sejumlah pelumba bertaraf antarabangsa serta meraih kejayaan cemerlang di pentas dunia.


"Bagi saya soal kos tidak timbul kerana kita hanya perlu menghantar pelumba terbaik ke Melbourne atau lebih tepat mengurangkan jumlah atlet. "Apabila velodrom tertutup siap, mungkin kita boleh menggunakan pendekatan membentuk dua pasukan dengan sebuah pasukan berlatih di Melbourne manakala selebihnya di Malaysia seperti dilakukan beberapa negara Eropah lain," katanya.

Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dilapor ingin menamatkan latihan skuad negara di Melbourne selepas velodrom yang diumum kerajaan menerusi Bajet 2013 siap sepenuhnya dan mereka hanya menjalani latihan dalam negara dengan tujuan menjimatkan kos.


"Bagi saya persekitaran di Melbourne berbeza dengan banyak kejohanan tempatan berlangsung selain berpeluang mendapat rakan sepelatih yang berkaliber seperti pelumba kebangsaan Australia. "Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David turut menjalani latihan di luar negara. Bukan tidak mahu menjalani latihan di Malaysia namun fokus yang lebih akan dapat diberikan tanpa ada gangguan lain," kata atlet kelahiran Terengganu itu.


Mengenai perkembangan dirinya, Azizulhasni kini menjalani latihan di Ipoh, Perak dengan tumpuan kepada aktiviti di gimnasium dan berkayuh di jalan raya sebelum pulang ke Melbourne pada hujung Disember untuk kembali menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih negara, John Beasley.

"Saya dijadual menyertai Karnival Tasmania untuk memanaskan badan sebelum menyertai siri Piala Dunia terakhir di Mexico pada tahun depan bagi mengutip mata ke Kejohanan Dunia." Jaguh keirin negara berusia 24 tahun terbabit antara harapan negara meraih emas pertama di Olimpik London baru-baru ini namun gagal merealisasikan sasaran itu.


"Memang mengecewakan namun ia satu motivasi untuk berusaha lebih gigih lagi. Saya hanya tengok dua atau tiga kali ulang tayang perlumbaan itu kerana pasti berasa sedih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan