HARIMAU Malaya berdepan tempoh lima hari yang kritikal untuk mempersiapkan diri sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki bermula.
Kapten, Safiq Rahim menggesa rakan sepasukan memberikan tumpuan penuh dan menutup aksi pemanas badan terakhir menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini dengan nota kemenangan.
"Baki lima hari sebelum kejohanan bermula memang getir. Kami baru saja pulang daripada program motivasi di Pulau Pangkor dan ia memberikan sesuatu yang positif kepada pasukan negara untuk menaikkan semangat berpasukan," katanya.
Atas kertas, Bangladesh yang berada di ranking ke-171 dunia tidak akan memberikan masalah buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal kembali ke landasan kemenangan selepas keputusan buruk kalah 0-1 kepada Vietnam, Thailand (0-2) dan seri 1-1 dengan Hong Kong.
Malah Harimau Malaya yang menghuni tangga ke-163 dunia, boleh menguji sejauh mana peningkatan prestasi jentera serangan untuk membolosi gawang Bangladesh selepas pasukan lawan itu dibelasah Thailand 5-0 di Bangkok, Sabtu lalu.
Namun bagi Safiq, kemenangan besar ke atas Bangladesh tidak bermakna kerana yang penting, aksi mereka di Piala AFF.
"Menang 10-0, 11-0 (ke atas Bangladesh) tidak penting kerana yang mustahak keputusan kejohanan itu. Bagi saya, perlawanan dengan Bangladesh penting untuk meningkatkan moral pemain, tidak kisah sama ada hanya menang 1-0 atau 2-0, yang penting menang.
"Kami tak boleh pandang rendah mana-mana pasukan, semua pemain perlu berikan komitmen penuh untuk mencipta keputusan yang baik," kata pemain tengah itu selepas dilantik sebagai Duta 100Plus yang baru, semalam.
Safiq yang meninggalkan Selangor untuk menyertai Johor musim depan menandatangani kontrak bersama pengeluar minuman isotonik itu selama setahun di hadapan Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Cariessa Goh.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata, pelantikan sebagai Duta 100Plus dianggap penyuntik semangat tambahan untuknya menjelang aksi pertama kempen mempertahankan kejuaraan menentang Singapura, Ahad ini.
"Perlawanan menentang Singapura selalunya sengit. Saya harap kami mencipta keputusan yang baik kerana perlawanan pertama penting," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19
0 ulasan:
Catat Ulasan