Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Ratah Garuda!

Posted: 30 Nov 2012 08:02 AM PST

SKUAD Harimau Malaya bakal turun beraksi pada perlawanan terakhir Kumpulan B dengan berbekalkan keyakinan tinggi bahawa mereka mampu menewaskan Indonesia bagi menempah tiket ke separuh akhir Piala AFF.

Barisan pemain skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu sedar bahawa kemenangan saja yang boleh menjamin mereka meneruskan misi mempertahankan kejuaraan dan jika tidak mereka boleh mengucapkan selamat tinggal lebih awal.


Semangat juang pemain dituntut dalam perlawanan ini kerana pertembungan getir dengan naib juara 2010 itu bukan sekadar soal perebutan tiket ke separuh akhir semata-mata sebaliknya ia juga mempertaruhkan maruah negara.

Rajagobal menegaskan hanya kemenangan menjadi fokus pemain-pemain dan percaya mereka boleh mengulangi detik kegemilangan membaham Garuda 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi pertama final dua tahun lalu.


"Saya hanya memikirkan kemenangan, mentaliti saya selalu positif, kami harus mengambil serius perlawanan ini yang amat penting kepada negara. Tapi apa pun ia bergantung kepada persembahan pemain.


"Kami menghormati Indonesia, saya fikir mereka dalam prestasi yang bagus ketika ini tapi kami pernah menewaskan mereka jadi saya yakin kami mampu mengulanginya," katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

Selepas memulakan kempen Kumpulan B dengan aksi buruk apabila tewas 0-3 kepada Singapura, Harimau Malaya mempamerkan peningkatan dengan menumpaskan Laos 4-1.


Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam kancah Piala AFF ternyata tidak memihak kepada Malaysia apabila tumpas empat kali dalam tujuh pertemuan.

Untuk menang ke atas Indonesia yang kini mendahului kumpulan dengan empat mata bukan mudah, tapi Rajagobal sudah mencongak apa yang perlu dilakukan anak buahnya.


Apa yang melegakan pengendali berusia 56 tahun itu apabila beliau tidak berdepan masalah untuk menurunkan barisan terbaik melainkan hanya Khyril Muhymeen Zambri yang pasti diketepikan kerana mengalami kecederaan pangkal paha.


"Saya mahu pemain beraksi dengan agresif seperti yang ditunjukkan ketika menentang Laos. Kami memerlukan kemenangan jadi kami akan turun dengan mentaliti menyerang tapi kami juga harus berwaspada dengan kemampuan Indonesia melakukan serangan balas pantas kerana mereka berjaya melakukannya ketika menentang Singapura," jelasnya.


Meskipun beliau mahu anak buahnya memberi perhatian 'istimewa' kepada beberapa tonggak Indonesia khususnya, pemain lincah, Andik Vermansyah yang muncul penjaring gol kemenangan ke atas Singapura.


"Andik boleh memberikan ancaman, (Muhammad) Taufiq pula seorang pemain yang rajin. Selain Bambang (Pamungkas) mereka juga pemain berpengalaman seperti Elie Aiboy dan Oktovianus (Maniani). "Memang kita perlu berhati-hati dengan pemain ini tapi kita lebih memberi perhatian kepada satu pasukan," kata Rajagobal yang membimbing skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF buat kali pertama dengan menundukkan Indonesia menerusi agregat 4-2 di Jakarta pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



‘Bagaikan satu jenaka’

Posted: 30 Nov 2012 07:46 AM PST

LONDON: Supremo Formula Satu, Bernie Ecclestone menganggap kontroversi mengenai juara dunia, Sebastian Vettel yang dituduh menipu ketika memotong pada Grand Prix Brazil sebagai satu "jenaka".

Ferrari menghubungi badan induk F1, FIA, mengadu mengenai tindakan pemandu Red Bull itu ketika perlumbaan penamat musim Grand Prix Brazil minggu lalu yang membolehkannya memenangi kejuaraan dunia ketiga berturut-turut.


Ada spekulasi bahawa tindakan memintas itu menyalahi peraturan dan jika benar, Vettel mungkin dikenakan hukuman sekaligus kejuaraannya ditarik balik dan diberikan kepada pemandu Ferrari, Fernando Alonso yang terlepas kejuaraan dengan hanya tiga mata.

Namun Ecclestone berkata adalah memalukan kemuncak musim itu dibayangi dengan pertikaian itu.


"Amat memalukan kerana semuanya berjalan lancar," katanya semalam.


"Ia satu perlumbaan menakjubkan, satu kejuaraan mengagumkan. Kini setiap orang bercakap mengenai perkara ini. Masalahnya tiada siapa sebenarnya tahu apa yang berlaku." Kelmarin, majalah Autosport mendedahkan FIA tidak ragu-ragu bahawa Vettel memotong secara sah pada pusingan keempat perlumbaan itu kerana bendera hijau sudah dikibarkan di sektor bendera kuning sekali gus membenarkan pemandu memintas.

Tiada pasukan yang meminta insiden itu dikaji semula, menurutnya.


"Dalam peraturan, biasanya anda perlu membuat bantahan," kata Ecclestone.

"Mereka (Ferrari) tidak melakukan bantahan ketika itu. Kemudian hakikatnya bendera hijau sudah dikibarkan, sesuatu yang tidak dipertikaikan semua. Ia satu jenaka tidak berasas. Apa yang mereka katakan dalam surat itu tidak benar. Saya tidak fikir sebarang tindakan perlu diambil. Ia memang tidak berasas." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan