Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Raja mengaku tidak bersalah

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Rajagobal

KUALA LUMPUR - Seperti dijangka, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mengaku tidak bersalah dalam surat pertuduhan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), satu hari sebelum tarikh tutup pada hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud yang berkata, Sekretariat FAM telah menerima surat jawapan daripada Rajagobal dan tarikh pendengaran kes tersebut akan diputuskan tidak lama lagi.

Namun, beliau menambah keputusan penetapan tarikh perbicaraan itu bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM tetapi dijangka hampir pasti berlangsung pada minggu depan.

Rajagobal telah membalas surat pertuduhan yang telah dihantar oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada hari ini (semalam) dan di dalam suratnya (Borang B), dia menyatakan pendirian bahawa dia tidak bersalah.

Selaras dengan prosedur yang ditetapkan oleh FAM, Rajagobal berpeluang membela diri ketika perbicaraan yang tarikhnya masih belum ditentukan lagi.

Jawatankuasa Tatatertib akan bersidang dan menetapkan tarikh perbicaraan namun saya jangka dalam minggu hadapan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufik Abdul Razak yang ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketujuh, Rabu lalu ada membayangkan akan mengadakan perbicaraan sebelum 20 April, iaitu sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Rajagobal yang mendapat surat pertuduhan pada 5 April lalu terselamat daripada dikenakan tindakan di bawah Artikel 88 apabila hanya akan disiasat mengikut kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM.

Punca utama Rajagobal tidak disiasat di bawah Artikel 88 adalah kerana dia mempunyai kebenaran untuk bercakap dengan pihak media tetapi melanggar arahan FAM.

Walaupun begitu, dia tidak boleh lari daripada risiko kehilangan jawatan apabila boleh dikenakan penggantungan enam bulan serta denda RM8,000 jika bersalah.

Semuanya gara-gara kerana mengatakan skuad negara sudah ketiadaan penyerang berkualiti dalam saingan Liga Malaysia dalam tempoh dua tahun pada sidang media selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Arab Saudi, 17 Mac lepas.

Hamidin calon pilihan?

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Hamidin

KUALA LUMPUR - Desas-desus bahawa Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini akan meninggalkan badan induk bola sepak itu bagi menerima jawatan selaku Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) telah terjawab pada Rabu lalu.

Tidak dinafikan antara jawatan cukup penting selepas Presiden yang kini masih dipikul Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung sahaja yang mempunyai kebenaran khusus untuk bercakap dengan media apabila membicarakan perihal bola sepak negara selain melaksanakan dan mengetuai Sekretariat FAM.

Namun, persoalan paling besar selepas Azzuddin akan mengucapkan salam perpisahan kepada FAM pada penghujung Mei ini, siapakah yang akan mengambil tempat yang akan ditinggalkan oleh beliau?

Buat masa ini, belum ada sebarang petanda jelas siapakah individu akan menggantikan tempat yang akan ditinggalkan oleh Azzuddin, namun jika dilihat situasi di FAM, ada satu nama yang boleh dikaitkan di kerusi paling panas badan bola sepak induk berkenaan iaitu Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Jangan dilupakan bahawa beliau sebenarnya pernah diletakkan sebagai calon utama sebagai Setiausaha Agung FAM pada tahun 2007 sebelum Datuk Azzuddin Ahmad yang akhirnya mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah.

Kini, mungkinkah rezeki akan menjadi milik Hamidin pada kali ini jika pengalaman dan pengaruhnya menjadi sandaran?

Dianggap di antara individu paling kana di FAM buat masa ini, Hamidin juga mendapat kepercayaan Sultan Ahmad Shah untuk mengendalikan salah satu portfolio paling penting iaitu Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT).

Komitmen beliau untuk menswastakan sepenuhnya Liga Malaysia selewat-lewatnya tahun 2015 mungkin akan menjadi nilai tambah Hamidin untuk menjadi individu paling popular mengambil alih posisi Azzuddin.

Hamidin yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semenjak tahun 1998 mempunyai pengalaman yang cukup luas selama lebih 20 tahun menguruskan pentadbiran bola sepak negeri.

Di peringkat FAM, beliau pernah menjawat beberapa tugasan penting seperti Setiausaha penganjur Kejohanan Piala Belia Dunia 1997 di Kuala Lumpur dan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai pada penggal sebelumnya.

Malahan, beliau berkhidmat di bawah empat Presiden FAS iaitu Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Datuk Abu Hassan Omar, Tengku Ahmad Shah dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Walaupun begitu, semuanya bergantung kepada percaturan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah kerana jawatan itu adalah di bawah lantikan baginda sepenuhnya.

Namun, jika ia menjadi kenyataan, beliau akan menjadi Setiausaha Agung FAM ketujuh selepas Datuk Kwok Kin Keng (1951-1980), Datuk Paul Murugasu (1980-1985), Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (2000-2005), Datuk Seri Ibrahim Saad (2005-2007) dan Azzuddin (2007-2013).

Di samping itu, dia akan menjadi Naib Presiden kedua selepas Ibrahim Saad yang dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen