Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Zolkples selar persatuan sukan

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Zolkples Embong

KUALA LUMPUR - Rumah siap tetapi pahat masih berbunyi.

Walaupun Anugerah Sukan Negara (ASN) 2012 berlangsung dengan cemerlang kelmarin, namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong kecewa dengan sikap persatuan yang tidak ambil serius anugerah tertinggi sukan tanah air itu.

Kata Zolkples, hanya 30 peratus persatuan menghantar nama atlet mereka untuk dicalonkan bagi merebut beberapa gelaran yang ditawarkan, termasuk Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.

Tegasnya, biarpun sesetengah sukan tidak berada dalam acara Olimpik itu tidak bermakna mereka tidak layak menerima pengiktirafan.

Setiap sukan katanya mempunyai kejohanan utama sendiri, seperti Kejohanan Dunia yang boleh diketengahkan.

"Sepatutnya persatuan sukan kemukakan calon mereka walaupun tidak mempunyai peluang untuk menang kerana ada pemenang pingat Olimpik berada dalam pencalonan," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Jelas Zolkples, setiap persatuan mempunyai atlet terbaik mereka sepanjang tahun yang layak untuk dicalonkan tidak kira walaupun mereka hanya memiliki pencapaian di peringkat Asia Tenggara.

"Mereka sepatutnya memilih atlet terbaik untuk dicalonkan, setidak-tidaknya kita menghargai sumbangan atlet tersebut, calonkan sahaja supaya boleh dipanggil untuk memeriahkan majlis ini.

"Menang ataupun tidak soal lain, saya rasa tidak sampai 50 peratus persatuan yang menghantar calon untuk ASN.

"Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada persatuan sukan hantar calon, tetapi ini purata lebih kurang 30 peratus saja," katanya.

Kata Zolkples lagi, terdapat lebih 40 persatuan sukan di Malaysia, namun MSN hanya menerima 10 pencalonan untuk anugerah Olahragawan dan Olahragawati.

"Saya harap pada masa akan datang persatuan sukan jangan ulangi pekara ini dan hantar calon mereka.

"Contohnya dalam anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan, kita tidak menerima pencalonan langsung, jadi tidak ada pemenang untuk kali ini.

"Anugerah jurulatih pun tidak ada pencalonan, sedangkan kita mempunyai ramai jurulatih tempatan yang berwibawa. Sikap seperti ini perlu diubah oleh persatuan pada masa akan datang," katanya lagi.

Sebelum ini terdapat beberapa atlet yang pernah merangkul gelaran Olahragawan dan Olahragawati sedangkan sukan yang mereka ceburi tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik.

Antaranya, Malek Noor dan Sazali Samad (bina badan), Khoo Boon An, Shirley Chow, Michael Chuah, Lydia Kwah, Lisa Kwan, Sharon Low, Shalin Zulkifli (tenpin boling), Sam Chong (biliard-snuker), Datuk Nicol David (skuasy) serta Karamjit Singh-Allen Oh (rali).

Kepentingan Malaysia dalam EPL terjamin

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Kim Bo-Kyung meraikan kejayaan Cardiff City layak ke Liga Perdana sejurus tamat perlawanan dengan Charlton di Cardiff, semalam. - AGENSI

LONDON - Pada ketika masa depan Queens Park Rangers (QPR) dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) masih tidak menentu, kepentingan Malaysia dalam liga utama bola sepak England sudah terjamin menerusi Cardiff City.

Kelab Wales yang dimiliki oleh jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu mengesahkan tempat dalam EPL musim depan selepas seri 0-0 dengan Charlton Athletic semalam, keputusan yang cukup untuk menjamin kedudukan mereka pada dua tangga teratas Liga Kejuaraan (divisyen dua).

QPR, yang dimiliki oleh taikun AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berada dalam keadaan bahaya selepas menghuni tangga tercorot liga pada ketika saingan musim ini hanya berbaki tujuh perlawanan.

Kelab London itu dipisahkan dengan 10 mata di belakang kelab terakhir yang berada dalam zon selamat, Aston Villa.

Cardiff, yang sering dikecewakan dalam saingan playoff pada tiga musim terakhir kembali ke kancah liga utama buat kali pertama sejak 1962, iaitu 51 tahun yang lalu.

Kejayaan mereka diraikan oleh pemain dan peminat yang membanjiri padang di Stadium Cardiff City sejurus wisel penamat ditiupkan, semalam.

"Saya juga gembira bagi pihak mereka. Ramai orang di sini yang pernah berdepan detik sukar dan kejayaan ini ditujukan untuk mereka," kata Pengurus Cardiff, Malky Mackay, yang mula mengambil alih Cardiff pada 2011.

Tidak lama selepas melakar kejayaan tersebut, Vincent mengumumkan dana 25 juta pound (RM115.81 juta) akan disiapkan untuk mengukuhkan pasukan menghadapi cabaran Liga Perdana.

"Kami kena mencatur strategi dengan baik dan akan membelanjakan wang, mungkin sekitar 20 hingga 25 juta pound.

"Ada pasukan lain yang berbelanja besar tetapi gagal beraksi baik, jadi kami cuba berbelanja secara bijak," kata Vincent.

Walaupun saingan Liga Perdana masih berlangsung, namun kedudukan satu lagi kelab Wales, Swansea City dianggap terjamin kerana juara Piala Liga itu menghuni kedudukan pertengahan liga. Ini bermakna, Wales bakal memiliki dua wakil pada musim 2013/2014.

"Saya hilang kata-kata sekarang. secara jujur saya percaya, kami memang berhak meraih kejayaan ini.

"Kami menunjukkan aksi yang konsisten sepanjang tahun, malah sejak November lalu kami mempamer prestasi yang sangat mantap dan memang mengharapkan tiket Liga Perdana.

"Sekarang, kami mahu meraikan detik yang hebat ini dan kemudian baru fikirkan tentang gelaran (Liga Kejuaraan)," kata pertahanan Cardiff, Mark Hudson kepada BBC.

Cardiff berada pada posisi selesa untuk menutup musim dengan kejuaraan selepas mengumpul 84 mata daripada 43 perlawanan, tujuh mata mengatasi pasukan tangga kedua, Hull City pada ketika saingan berbaki tiga perlawanan.

Walaupun sering dikecewakan menerusi playoff pada tiga musim terakhir, namun pasukan itu sering mencuri tumpuan dengan melakar beberapa kejayaan tidak diduga seperti melangkah ke final Piala FA 2008.

Pasukan Bluebirds itu juga kalah kepada Liverpool pada perlawanan akhir Piala Liga, tahun lalu. - REUTERS

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan