Utusan Online - Sukan |
Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT Oleh IFQDAR RAHMAN dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN JOHOR BAHRU - Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menerusi satu kenyataan di sini semalam mendesak agar Persatuan Bola Sepak Kebangsaan (FAM) bersikap lebih adil dan telus selaku pentadbir tunggal sukan itu di Malaysia. Menerusi kenyataan tersebut, PBNJ mendakwa FAM bersikap berat sebelah dalam beberapa aspek bagi menangani kemelut perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, esok. "Ini kerana, isu pengagihan tiket sebanyak 60,000 keping kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan bakinya sebanyak 20,000 keping untuk jualan umum adalah tidak patut berlaku kerana Johor DT juga berhak menuntut peruntukan sewajarnya. "FAM dilihat terlalu memikirkan isu keuntungan jualan tiket bagi menanggung kerugian PBNP pada perlawanan yang tertangguh Selasa lalu, berbanding hal keselamatan penyokong kedua-dua pasukan yang bakal bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil nanti," katanya menerusi kenyataan tersebut. Tambah PBNJ, pihaknya terpaksa membuat rayuan bertulis kepada badan induk itu untuk mendapatkan peruntukan tiket sewajarnya. Ekoran daripada itu, PBNJ mempersoalkan adakah terdapat konflik kepentingan antara FAM dan PBNP yang menjurus kepada keputusan tersebut diambil, sekali gus menerbitkan rasa gusar di pihak PBNJ mengenai mutu pengadilan oleh para pengadil yang akan bertugas pada perlawanan Sabtu ini. Kenyataan itu juga mempersoalkan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini di Stadium Nasional Bukit Jalil, siapakah yang akan bertanggungjawab? "Adakah PBNP atau FAM? Jika berlaku insiden yang sama di Stadium Larkin Johor Bahru, atau di Perak, Selangor atau mana-mana negeri yang lain, adakah persatuan bola sepak terbabit akan mendapat keistimewaan yang sama? "Secara realitinya, penyokong Johor DT seperti dihukum kerana perlu membayar lebih untuk mendapatkan tiket, belanja tambahan untuk perjalanan, serta trauma fizikal dan mental setelah insiden Selasa lalu, selain kerosakan harta benda," jelas kenyataan itu. Justeru PBNJ berpendapat, demi integriti dan cinta terhadap sukan bola sepak tanah air, rakyat Malaysia berhak mengetahui jawapan bagi segala persoalan tersebut. "Jawapan dari pihak FAM adalah penting bagi menjawab segala persoalan yang timbul selain menjaga nama baik FAM selaku badan induk yang memangkin kepada kemajuan arena bola sepak tempatan," kata kenyataan itu lagi. Bagaimanapun, Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud, yang menjawab persoalan berkenaan berkata, keputusan untuk mengadakan permainan semula di Stadium Nasional sambil dihadiri penonton adalah muktamad. ''Saya telah mendapat surat daripada PBNJ pada tengah hari tadi dan apa yang saya boleh perkatakan, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) perlu dipatuhi kecuali diubah melalui arahan daripada mesyuarat Exco FAM. ''Namun, memandangkan masa terlalu singkat dan sebahagian besar Exco FAM berada di Mauritius menghadiri kongres FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sehingga 2 Jun ini, jadi mesyuarat itu tidak boleh dilakukan, " katanya. |
Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT KUALA LUMPUR - Bukan di sebelah petang, sebaliknya pertembungan panas antara Pahang dan Johor Darul Takzim akan dilangsungkan pada pukul 8.45 malam esok setelah pihak jawatankuasa pengelola perlawanan separuh akhir berpuas hati dengan tahap pencahayaan lampu di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Daud berkata, setelah diuji tahap pencahayaan lampu berjaya melebihi 1,000 lux iaitu jumlah paling minimum yang dibenarkan jika perlawanan diadakan di sebelah malam. '' Lampu telah dipasang semenjak pukul 12 tengah hari tadi dan setelah diuji, kami mendapati pencahayaan lampu melepasi tahap yang dibenarkan. ''Jadi, ini bermakna perlawanan antara Pahang dan Johor Darul Takzim boleh dimainkan di waktu malam iaitu bermula pada pukul 8.45 dan bukan 4.15 petang mengikut jadual asal. ''Cuma masih ada sedikit masalah dengan lampu di penjuru kiri padang (belakang tiang gol) namun pihak perbadanan stadium berjanji akan dapat memperbaikinya pada hari esok (hari ini)," katanya yang ditemui di Stadium Nasional, semalam. Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, perlawanan akan diadakan di sebelah petang pada pukul 4.15 petang kerana lampu limpah di Stadium Nasional baru sahaja dinaik taraf. Mengulas kekecohan yang berlaku di Kuantan kerana penyokong Pahang tidak dapat menebus tiket perlawanan yang ditunda pada Selasa lalu dalam bentuk wang tunai, Ahmad Fuad berkata, perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan