Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Isu Wan Zack memalukan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

FAM mengesahkan Wan Zack Haikal yang kini mewakili kelab Jepun, FC Ryukyu dipancing sebuah pasukan dalam Liga-M.

PETALING JAYA - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad kecewa dengan tindakan sebuah kelab Liga Malaysia yang cuba memancing khidmat pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor dari kelab Jepun, FC Ryukyu.

Katanya, tindakan itu hanya akan membunuh program pembangunan pemain muda yang dirancang FAM dengan kelab divisyen tiga Jepun itu, malah menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mengaibkan bola sepak negara.

Saya turut kecewa sebagaimana yang diluahkan Ong Kim Swee (jurulatih Harimau Muda A).

FAM yang berusaha menghubungi kelab luar negara untuk mendedahkan pemain muda kita tetapi amat mengecewakan kami apabila ada kelab kita yang cuba melamarnya pulang ke Malaysia.

Dengan pendedahan (Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim Che Hashim di Ryukyu), kami harap daripada divisyen tiga, dia boleh meningkat ke divisyen dua atau satu, tetapi tidak berbaloi atau tidak ke mana-manalah bola sepak kita kalau begini," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tegasnya, jika FAM tidak membuat program pembangunan pemain muda, badan induk bola sepak negara itu juga yang kena.

Namun apabila kami ambil langkah proaktif sendiri, ada pula orang kita yang hendak jejaskan atau jadi dalang membunuh program itu. Isu ini mengaibkan dan saya ada bukti jelas kelab mana yang mahu mendapatkan khidmatnya."

Kelmarin, Kim Swee mengesahkan sebuah pasukan Liga M cuba menebus kontrak Wan Zack Haikal daripada Ryukyu bagi musim depan sekali gus menimbulkan rasa serik untuk dia cuba mencadangkan mana-mana anak buahnya supaya bermain di kelab luar negara.

Kata Azzuddin, beliau dimaklumkan bahawa Ryukyu sudah membalas e-mel kelab Malaysia itu dengan menjelaskan bahawa Wan Zack Haikal masih mempunyai kontrak dua tahun.

Bagi FAM, sekalipun sudah menghabiskan kontraknya, pemain berkenaan masih perlu kembali ke pangkuan ke badan induk kebangsaan itu.

Terserah kepada FAM untuk melepaskannya atau tidak (biarpun setelah kontrak dengan Ryukyu berakhir) namun kalau boleh, kami hendak dia terus lama di sana dan kalau macam Nazmi Faiz Mansor di Beira Mar, Portugal (pulang lebih awal), tidak berbaloi," kata Azzuddin.

Sementara itu, Mengenai kecaman beberapa tokoh pemimpin bola sepak terhadap sekretariat FAM kebelakangan ini, Azzuddin berkata, dia berpegang kepada statut FAM bahawa kedudukan, pelantikan dan pemecatan Setiausaha Agung terserah kepada (budi bicara) Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah).

Selagi itu saya yang juga bekas anggota tentera, masih akan berkhidmat di FAM dengan penuh semangat untuk kepentingan bola sepak negara. Ini negara bebas dan demokratik. Itu hak mereka jika menyimpan dendam atau ada agenda tertentu namun saya tidak menganiayai sesiapa.

Saya tidak gentar itu semua kerana saya tidak melakukan apa-apa melanggar statut atau lunas peraturan sedia ada. Saya juga tidak berkuasa membuat apa-apa keputusan, sekretariat hanyalah melaksanakan keputusan mana-mana jawatankuasa tetap FAM dan memantaunya," katanya.

Ganjaran RM1,000 jika tangkap penyokong buat kacau

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

PETALING JAYA - Individu yang menangkap atau memberikan maklumat kepada polis mengenai sesiapa yang membuat kekacauan atau menggunakan bahan larangan sewaktu final Piala FA pada 29 Jun ini, bakal mendapat sagu hati RM1,000 seorang.

Sagu hati sumbangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu bertujuan mencegah kejadian yang tidak diingini dalam pertembungan Kelantan-Johor Darul Takzim di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ia bertujuan membendung tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan awam seperti membakar atau melontar mercun, bunga api dan suar serta perkara lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, 100 penyokong setiap pasukan juga dibenarkan masuk secara percuma untuk menjadi marsyal kumpulan masing-masing, supaya menjaga disiplin dan memastikan pergerakan penonton tidak melanggar peraturan.

"Perlawanan akhir kali ini turut diawasi 1,500 anggota dan pegawai polis serta 500 anggota Rela," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hadir sama Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Wira Salleh Mat Rashid.

Bagi mencegah kemungkinan tiket palsu, kata Hamidin, peralatan imbasan ultraungu dan lampu pengesan pintu lawang putar akan digunakan supaya tiada pihak tidak bertanggungjawab yang boleh memasuki stadium secara tidak sah.

"Kami turut mendapati Stadium Nasional boleh digunakan bagi perlawanan akhir pukul 8.45 malam selepas menjalankan pemeriksaan (kelmarin). Kedua-dua pasukan dibenarkan menjalani latihan 45 minit pada 28 Jun bermula 5 petang oleh Johor Darul Takzim, diikuti Kelantan pada pukul 6 petang," katanya.

Kata Hamidin, sebanyak 87,000 tiket akan dijual dengan FAM menyerahkan 30,000 keping kepada kedua-dua pasukan pada 24 Jun dan masing-masing boleh menjualnya mulai 25 Jun di stadium manakala tiket selebihnya dijual mulai 9 pagi 28 Jun sehingga hari perlawanan akhir.

"Seorang hanya empat tiket dan jika mahukan lagi, mereka perlu beratur semula. Harga tiket ditetapkan tanpa sebarang kenaikan pada RM40 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Penyokong juga dibenarkan masuk stadium mulai pukul 4 petang," katanya.

Sementara itu, Salleh berkata, pihak polis akan mengkaji dari semasa ke semasa sama ada untuk menambah anggota keselamatan.

"Ketika perlawanan separuh akhir Piala FA (Pahang-Johor Darul Takzim 1 Jun lalu), sebanyak 1,700 orang ditempatkan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen