Utusan Online - Sukan |
Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI KUALA LUMPUR - Semuanya dilihat kembali jernih, apabila Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengadakan pertemuan khas bersama pengurusan skuad hoki kebangsaan dan pasukan remaja, semalam. Menurut Zolkples, pertemuan kali pertama dan pertentangan mata antara Paul Revington dan Muhammad Dharma Raj Abdullah berjalan lancar. "Apa yang penting sekarang ini mereka berdamai secara ikhlas, saya tidak harap sampai berpeluk cium tetapi, masing-masing perlu jelas sekarang tentang tugas yang perlu diuruskan," katanya pada sidang media selepas pertemuan tersebut di MSN, semalam. Sabtu lalu, arena hoki Malaysia dikejutkan dengan berita tentang pengendali skuad hoki kebangsaan itu, Revington meletak jawatan atas alasan yang diberikan ialah Dharmaraj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan sering campur tangan dalam skuad kebangsaan. "Ia sama macam dalam institusi keluarga, adik dan abang selalu bergaduh, tetapi bila bergaduh tidak perlu memberitahu hal ini kepada jiran. Kalau boleh selesaikan secara dalaman. Saya juga memberitahu Revington tidak ada siapa yang mengatakan bahawa dia tidak bagus. "Malah, bukan mudah untuk membawanya datang ke Malaysia, saya rasa lebih senang untuk mencari jurulatih bola sepak berbanding hoki. Ada di antara mereka yang mempunyai tugas dengan negara lain, kalau ada yang kosong pula harganya bukan murah," katanya. Kata Zolkples, Revington juga bukan akan kekal sehingga 10 atau 20 tahun menjadi jurulatih skuad senior, mungkin selepas itu giliran Dharmaraj pula. "Isu yang berlaku dalam dua tiga hari ini tidak baik untuk sukan hoki dan sukan negara secara keseluruhannya, saya juga rasa terkejut selepas pengumuman dibuat, namun apa boleh buat perkara sudah terjadi, kita hanya perlu mengawalnya agar tidak menjadi lebih buruk. "Saya tidak mahu ia berlanjutan tatkala skuad senior sedang membuat persiapan untuk Liga Hoki Dunia, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan persediaan pasukan. Jadi lepas perjumpaan tadi saya minta semua pihak yang terlibat melupakan apa yang berlaku," katanya. Tambahnya, mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas masing-masing, skuad senior, Liga Hoki Dunia untuk mencari slot ke Piala Dunia manakala skuad remaja pula bakal beraksi di Piala Dunia Remaja Disember ini. "Saya minta mereka fokus kepada tugas tanpa memikirkan perkara luar, begitu juga dengan Lim Chiow Chuan, sekarang semua bersetuju dan sedia maklum akan teguran yang telah diberikan. "Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga telah berjaya memujuk Revington meneruskan tugasnya sehingga ke Liga Hoki Dunia berakhir. Apa-apa perkembangan tentang khidmatnya akan diputuskan selepas itu," katanya. Esok, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dijangka akan bertemu dengan kedua-dua individu tersebut seterusnya menamatkan isu kontroversi ini yang membelenggu sukan hoki negara. |
Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT PAUL Revington diserbu wartawan dan jurukamera sejurus keluar dari bilik mesyuarat selepas mengadakan pertemuan dengan Zolkples di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam. - Utusan/Hafiz Johari KUALA LUMPUR - Selepas mengelak memberi reaksi mengenai peletakan jawatannya, jurulatih skuad hoki negara, Paul Revington akhirnya bersuara dan melayan pertanyaan media. Semalam, Revington akhirnya bersuara dan nada tersebut sangat positif selepas Sabtu lalu dia secara mengejut menghantar surat peletakan jawatan berkuat-kuasa serta merta. Melalui satu emel yang dihantar kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Revington berterus-terang sudah tidak mampu lagi bekerjasama dengan jurulatih hoki remaja, K. Dharmaraj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan yang didakwa sering campur tangan semasa dia mengendalikan skuad kebangsaan. Satu pertemuan khas diadakan antara pengurusan skuad kebangsaan, remaja dan Ketua Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong di MSN, Bukit Jalil sehari selepas Revington berjumpa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Menurut Revington, dia gembira dengan perjumpaan semalam dan semuanya berjalan lancar, serta menghargai segala sokongan dan layanan yang diberikan pihak media sepanjang isu tersebut berlaku. "Saya masih belum berjumpa dengan pemain dan mungkin akan turun semula melatih mereka esok (hari ini), bagaimanapun saya gembira dengan perbincangan yang diadakan hari ini (semalam)," katanya. Pertemuan tersebut berlangsung selama 40 minit dengan masing-masing diberi teguran dan penjelasan oleh Zolkples yang mahu mereka berdamai secara ikhlas dan menumpukan kepada tugas masing-masing. Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad. Kelmarin, Khairy berjaya memujuk jurulatih itu menarik balik keputusan peletakan jawatannya dan akan terus membimbing pasukan sekurang-kurangnya sehingga Liga Hoki Dunia di Johor Baharu bermula 29 Jun ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan