Utusan Online - Sukan |
Johor DT sia-sia peluang, NS tergelincir ke Liga Perdana Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT Oleh NOR AZAN FITRI JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 pada saingan Liga Super menentang Felda United, tatkala pendahulu liga Lions XII juga menerima nasib yang sama ditambat 1-1 bertemu Perak. Keputusan seri itu juga menyaksikan Johor Darul Takzim hilang tempat kedua kepada Selangor yang mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas PKNS dari segi kelebihan jaringan. Sementara itu, Negeri Sembilan tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas mereka tewas 1-2 kepada T-Team dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, meskipun tanpa enam tonggak utama, Johor DT masih mampu menguasai perlawanan dan pemain gantian mereka, Muhd. Haidin Azman menceriakan para penyokong apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-64 selepas menolak masuk bola hantaran Nurul Azwan Roya. Bagaimanapun, harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh berkecai apabila Felda United menyamakan kedudukan pada minit ke-83 selepas pemain gantian, Rudie Ramli berjaya menanduk masuk hantaran lintang Mohd. Azmi Muslim. Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah berjaya menghalang hasrat pelawat, Lions XII untuk membawa pulang tiga mata penuh, Perak berada di depan pada minit ke-59 melalui Paulo Rangel namun Shahfiq Ghani berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Lions XII pada minit ke-77. Berlaku sedikit kekecohan di penghujung perlawanan apabila pemain kedua-dua pasukan saling tolak-menolak antara satu sama lain. Di Stadium Shah Alam, Selangor berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 untuk melonjak ke tangga kedua namun mereka dikejutkan dengan jaringan tuan rumah, Nizad Ayub pada minit ke-14 sebelum Mohd. Raimi Mohd. Nor menambah dua gol pada minit ke-63 dan 70. Di Stadium Sultan Muhammad IV, pula Kelantan berjaya menumpaskan Pahang 2-0. Ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi menjaringkan gol pertama pada minit ke-45 dan gol kedua daripada Muhammad Zamri Ramli selepas pemain tersebut menyudahkan susulan rembatan rakan sepasukan Mohd. Nor Farhan yang berjaya diselamatkan oleh Khairul Azhar sebelum itu. Keputusan lain menyaksikan ATM dan Terengganu seri 1-1 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, gol tuan rumah dijaringkan Christie Jayaselan pada minit ke-65 dan pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-79 melalui, Farderin Kadir. |
Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT Oleh YATIMIN ABDULLAH SEBAHAGIAN penyokong The Red Warriors memecah masuk pintu utama Stadium Sultan Muhammad IV selepas gagal membeli tiket di Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU - Ribuan penyokong The Red Warriors yang berang merempuh pintu utama stadium selepas tiket perlawanan akhir Piala FA habis dijual dalam tempoh lima minit sejurus kaunter jualan mula dibuka 9.30 pagi, semalam. Situasi tersebut menimbulkan kemarahan penyokong-penyokong The Red Warriors yang kebanyakan mula beratur di kaunter jualan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini seawal pukul 6.30 pagi untuk membeli tiket tersebut. Mereka yang ditemui meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang disifatkan tidak berlaku adil dengan tindakan tersebut. Seorang penyokong, Mohd. Hamdan Abdul Mutalib, 37, mempersoalkan bagaimana tiket tersebut boleh habis dijual dalam tempoh lima minit sebaik sahaja kaunter jualan dibuka. Menurutnya, dia hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan tiket mula dijual kepada penyokong mulai semalam. Ini bukan kali pertama masalah ini berlaku. Setiap kali Kelantan beraksi pada perlawanan akhir kejadian ini pasti berulang dan saya teramat kecewa dengan tindakan KAFA ini. Selaku penyokong saya rasa tertipu dengan tindakan ini. Saya beratur seawal pukul 7 pagi semata-mata untuk mendapatkan tiket final, namun apa yang ada hanyalah tiket perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang. Tindakan KAFA berbuat demikian bukanlah sesuatu yang bijak. Tiket final sepatutnya dijual secara berasingan dengan perlawanan biasa, ini bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter jualan," katanya di sini, semalam. Mohd. Hamdan mendesak KAFA memberikan penjelasan kepada penyokong berhubung insiden tersebut. Seorang lagi penyokong, Nurul Azuan Zulkifli, 23, memberitahu apa yang mengejutkannya, ada beberapa individu yang bertindak sebagai ulat menjual tiket final dengan harga tinggi daripada harga asal. Saya terkejut, bagaimana ulat boleh mendapat tiket-tiket final, sedangkan pengumuman yang dibuat pada pukul 10.30 pagi memberitahu tiket telah habis terjual. Bukan itu sahaja, tiket tersebut dijual dengan harga antara RM45 hingga RM80 untuk sekeping," ujarnya. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih 1,000 penyokong Kelantan beratur panjang untuk membeli tiket final, bagaimanapun gagal selepas tiket berkenaan habis dalam tempoh lima minit. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan