Utusan Online - Sukan |
Saya pasti tinggalkan FAM - Azzuddin Posted: 04 Jun 2013 10:58 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang sepatutnya memulakan tugas sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada 1 Jun lalu menegaskan, beliau tetap akan meninggalkan FAM tidak lama lagi. Menurutnya, beliau tidak dapat memulakan tugas barunya bersama AFF bukan kerana wujud masalah, sebaliknya disebabkan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah belum dapat mencari pengganti untuk mengisi kerusi panas Setiausaha Agung di FAM. Azzuddin menjangkakan pada pertengahan Jun ini segala persoalan siapa Setiausaha Agung FAM yang baru akan terjawab, seterusnya beliau akan memulakan tugas selaku Setiausaha Agung AFF. "Masih belum ada sebarang arahan daripada Tuanku untuk saya menyertai AFF kerana baginda masih belum dapat keputusan siapa pengganti saya di FAM. "Perkara ini telah diumumkan kepada seluruh pegawai AFF dan saya akan mula bertugas bersama AFF berkemungkinan selepas final Piala FA atau pertengahan Jun. "Saya masih Setiausaha Agung FAM selagi belum mendapat sebarang arahan dari Tuanku selain nama calon baharu Setiausaha Agung FAM tidak diumumkan," katanya ketika dihubungi, semalam. Sebelum ini, Azzuddin diumumkan akan memulakan tugas selaku Setiausaha Agung AFF pada 1 Jun bagi menggantikan Datuk Seri Paul Mony Samuel yang melepaskan jawatan. Ekoran pelantikan tersebut, Azzuddin perlu meninggalkan FAM dan badan induk bola sepak negara itu akan mendapat Setiausaha Agung yang baru. Antara dua nama yang dikaitkan akan mengisi jawatan itu sebelum ini adalah Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Pengarah Pertandingan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Windsor Paul John. Azzuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada September 2007, bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad. Dalam masa sama, kelewatan pelantikan Setiausaha Agung FAM yang baru tidak patut diperbesarkan dan beliau yakin pelantikan akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi. "Selagi saya tidak menghantar surat peletakan jawatan, saya akan kekal di FAM tetapi saya percaya perkara ini akan diumumkan secara rasmi," katanya. |
Saingan musim ini lebih sengit - Zulfahmi Posted: 04 Jun 2013 10:58 AM PDT Oleh AIZAWATI AHMAD KUALA LUMPUR - Perlumbaan Moto3 musim ini jauh lebih sengit berbanding tahun lalu apabila menyaksikan peningkatan begitu ramai pelumba yang mampu memberikan tentangan dalam saingan kejuaraan motosikal dunia, akui pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin. Penunggang yang mewakili Red Bull KTM Ajo itu berkata, berbanding musim lepas, untuk perlumbaan 2013 begitu ramai pelumba yang tampil dengan jentera yang lebih kompetitif. "Banyak pelumba tahun ini yang laju daripada tahun lepas. Tapi bila saya lihat semula keputusan tahun lalu, saya berasa tahun ini ada peningkatan," katanya yang kini berada di Mugello, Itali ketika dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, semalam. Untuk membuktikan pendapatnya itu benar, Zulfahmi memberitahu, pada tahun lalu, dia sering bermula pada kelompok depan, bagaimanapun menamatkan perlumbaan pada kedudukan belakang. "Sebagai contoh saya bermula pada petak keenam dan saya menamatkan perlumbaan pada tempat ketujuh. Tetapi, tahun ini saya bermula dari petak ke-18, namun saya melengkapkan saingan lebih baik dari kedudukan yang saya catat pada sesi kelayakan," jelasnya. Pelumba berusia 21 tahun itu turut mengakui tuah tidak berpihak kepadanya setakat ini apabila mencatat keputusan yang kurang memberangsangkan pada sesi kelayakan. Tambahnya, perasaan gementar yang gagal dibuang jauh turut menjadi penyumbang kepada keputusan tersebut, selain halangan pelumba lain yang turut bersaing untuk mencatat masa terbaik pada sesi ujian masa. "Saya sering melakar keputusan yang baik pada sesi latihan satu hingga tiga, tetapi setiap kali ujian masa dilaksanakan saya gagal memperoleh masa yang baik. Nampaknya tuah masih tidak menyebelahi saya setakat ini," ujarnya. Sehubungan itu, Zulfahmi amat berharap pada perlumbaan berikut, dia dapat memperbaiki kedudukannya pada sesi kelayakan. "Saya rasa saya bersedia untuk beri yang lebih baik atau 120 peratus terutama pada sesi kelayakan," tegasnya. Malah Zulfahmi melahirkan keyakinan sekiranya berada pada petak yang lebih baik, dia mampu berada dalam kelompok pendahulu. Mengenai perancangan menjelang perlumbaan di Catalunya pada 16 Jun ini, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu berkata, pasukannya kini giat menjalani sesi ujian semalam di Mugello, Itali bagi menguji banyak peralatan untuk jentera barunya selain memberi tumpuan kepada teknik tunggangan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan