Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Saya tidak perlu jawab'

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR - Itu hak dia, saya tidak perlu jawab. Demikian reaksi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai kritikan terbaru Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap badan induk bola sepak negara itu.

Menurut Tengku Abdullah, FAM bersikap terbuka malah berpendapat jika kritikan seperti yang dilemparkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu kelmarin terarah kepada kebaikan, ia perlu diambil iktibar.

Ujar beliau, FAM tidak perlu lari daripada kritikan sedemikian sebaliknya jika apa yang dikritik itu salah, ia harus membetulkannya.

FAM sudah berpuluh tahun kena kritik, itu hak mereka, kita hanya perlu menerimanya," katanya kepada pemberita selepas perasmian kejohanan Piala Guruhara di sini, semalam.

Kelmarin, Tunku Ismail melemparkan kritikan terbaru terhadap FAM sambil meminta FAM telus dan adil.

Antara yang dibangkitkan oleh Tunku Ismail adalah mengenai hukuman yang dikenakan terhadap PBNJ ekoran kekecohan penyokong pada separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Kuantan, baru-baru ini.

Johor DT didenda RM20,000 kerana meninggalkan padang pada aksi di Kuantan, tempoh hari.

Perlawanan tersebut kemudiannya dilangsungkan di venue berkecuali di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang akhirnya dimenangi oleh Johor DT.

Tunku Ismail mempersoalkan layanan FAM yang mengenakan hukuman tersebut tanpa memberi peluang kepada PBNJ membuat rayuan.

Menjawab isu tersebut, Tengku Abdullah berkata: Ia terpulang kepada FAM untuk tentukan (kritikan), apa yang ditanya Tunku Ismail itu perlu dijawab pihak pentadbiran kerana ia lebih kepada pertandingan, mereka yang tentukan perlawanan ditunda atau ditukarkan.

Itu hak dia, FAM yang akan tentukan nanti, saya hanya individu yang berada dalam FAM tetapi tidak boleh membuat keputusan sendiri," katanya.

Fahami sebelum buat kritikan

Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Pemimpin bola sepak negeri dinasihatkan membaca dan memahami terlebih dahulu setiap peraturan yang ada dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum mengkritik atau mempersoalkan sebarang tindakan yang diambil badan induk bola sepak negara itu.

Exco FAM yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, semua perkara dalam bola sepak tanah air terikat dalam peraturan termasuklah peraturan pertandingan sendiri, justeru setiap keputusan berdasarkan kepada apa yang sudah termaktub.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, peraturan FAM diluluskan oleh Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mentadbir sukan bola sepak, bukannya undang-undang yang digunakan di mahkamah.

"Saya memberi pandangan ini secara umum di mana semua pemimpin perlu membaca.

"Kita ada peraturan FAM, ada statut FAM malah kita ada peraturan pertandingan bola sepak yang diadakan dan mesti dipatuhi, jadi jangan cepat sangat buat komen kata FAM tidak relevan.

"Saya kesal bila ada pihak kata FAM tidak telus, berat sebelah dan bila didenda tidak boleh merayu sedangkan perkara ini adalah peraturan yang dibuat dan diakui sendiri oleh FIFA.

"Maka semua pihak perlu baca peraturan ini, mereka kena faham peraturan FAM untuk sukan bola sepak bukan undang-undang mahkamah, kalau mahu pakai macam itu (undang-undang mahkamah), maka tidak main bolalah kita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Meskipun tidak menujukan kenyataannya kepada sesiapa, Takiyuddin secara jelas memberi respon komen beberapa pemimpin sebelum ini terhadap FAM termasuk terbaru kritikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seperti dilaporkan media semalam.

Tunku Ismail dalam komennya seperti dilaporkan Utusan Malaysia sekali lagi meminta FAM supaya telus dan adil serta mempersoal beberapa peraturan dalam FAM termasuk tidak membenarkan persatuan atau individu menyuarakan sebarang pendapat dan cadangan kepada persatuan.

Kritikan Tunku Ismail itu jelas merupakan luahan rasa tidak puas hati baginda rentetan daripada pertembungan separuh akhir kedua Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang di Kuantan tempoh hari yang terpaksa dibatalkan ekoran kerenah penyokong menyebabkan JDT didenda RM20,000.

Ekoran kekecohan tersebut, perlawanan antara kedua pasukan terpaksa diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan FAM memberi hak tuan rumah kepada Pahang yang seterusnya mendapat kelebihan jumlah tiket sebanyak 60,000 keping berbanding JDT hanya 20,000.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut mengkritik keputusan FAM yang memberi kelebihan kepada Pahang dengan menganggap persatuan itu tidak berlaku adil kepada JDT.

Sementara itu, Takiyuddin berharap semua pihak yang mempunyai pandangan untuk kemajuan bola sepak negara agar menyalurkannya kepada FAM melalui saluran yang betul demi kebaikan semua pihak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan