Utusan Online - Sukan |
Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT Oleh YATIMIN ABDULLAH Mohd. Badhri Mohd. Radzi hanya menjalani latihan ringan akibat kecederaan setelah menyertai kem latihan skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif KOTA BHARU - Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi mengakui wujud salah faham berhubung isu kegagalannya melaporkan diri bagi menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sejak Khamis lalu. Bagi merungkai segala permasalahan yang timbul berhubung isu berkenaan, Mohd. Badhri atau Piya mengambil keputusan melapor diri ke kem pasukan kebangsaan semalam, bersama surat tunjuk sebab serta laporan perubatannya. Menurut Piya, surat tunjuk sebab serta laporan perubatan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai mana yang diarahkan sebelum ini. "Saya akui wujud sedikit salah faham dalam isu ini. Kegagalan melapor diri ke kem latihan pasukan bukan bermakna saya ingkar kepada jurulatih dan pasukan. "Saya berharap FAM dapat menerima surat tunjuk sebab serta laporan perubatan dan membuat keputusan seadilnya berhubung isu ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini semalam. Turut mengiringi Piya ketika di LTSIP ialah Penolong Pengurus The Red Warriors, Wan Badri Wan Omar serta pegawai media Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Mohd. Zuki Abdul Rahman. Anak kelahiran Kampung Atas Paloh, di sini berharap, keputusannya melapor diri menepis segala tohmahan yang mengatakan dia enggan menabur bakti bersama skuad negara. Kelmarin, Piya memberitahu dia bersedia menjawab surat tunjuk sebab kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalannya melaporkan diri dalam latihan skuad kebangsaan. Hasil pemeriksaan kesihatan yang dibuat sebelum ini, doktor mengesahkan pemain tonggak The Red Warriors itu mengalami kecederaan otot paha (hamstring) dan menasihatkannya supaya berehat selama dua minggu daripada menjalani sebarang latihan. Ditanya sama ada dia bersedia menggalas tugas untuk mengemudi jentera tengah Harimau Malaysia, perancang tengah itu dengan nada tegas memberitahu, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk memerah keringat. Kata Piya, berdasarkan prestasi semasa, dia bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya. "Jikalau ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih. "Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku pemain akan memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang," katanya. |
Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD PETALING JAYA - Isu Badhri Radzi yang lewat melapor diri ke kem latihan skuad negara, hanya akan dianggap selesai setelah doktor dan ahli fisioterapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memeriksa dan memastikan keadaan kecederaan ketua pasukan Kelantan itu kepada jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal. Semalam di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, pakar sepakan bebas berusia 31 tahun itu menunaikan tuntutan pihak pengurusan pasukan negara supaya tetap hadir sekalipun sebelum ini mendakwa dia tercedera urat pelipat lutut, sekali gus mungkin melupuskan kemungkinan sebarang tindakan tatatertib ke atasnya. Kata Rajagobal: "Kita tunggu dan dapatkan nasihat doktor dan ahli fisioterapi yang akan memeriksa Badhri sebelum memulakan sesi latihan (menjelang persahabatan dengan Chonburi Thailand, esok dan Chelsea, 21 Julai) . Selepas itu barulah kita buat keputusan tentang keadaan sebenar kecederaannya." Mengenai kemungkinan tindakan FAM akibat kelewatannya menyahut panggilan skuad negara, katanya: "Yang penting dia datang melapor diri dan semua pihak kena faham dasar FAM apabila sesiapa pemain yang dipanggil, mesti (berbuat demikian) kecuali kalau alasan kecederaan itu begitu teruk (sampai) tidak boleh jalan. "Kami juga masih boleh menerima alasan (selain itu) tetapi mesti ada laporan pihak tertentu seperti (pengesahan) doktor," katanya. Rajagobal juga enggan mengulas sama ada Badhri perlu diarah menjalani sesi pemulihan daripada kecederaan itu hanya di bawah pengawasan FAM, selepas diketepikan dengan Azammuddin Akil daripada senarai 25 pelatih kebangsaan. Ditanya selama mana pemain tengah Red Warriors itu perlu menjalani pemeriksaan pakar perubatan FAM, kata Rajagobal: "Ini hanya pemeriksaan normal dan doktor atau ahli fisioterapi pasti lebih tahu walaupun saya rasa tidak memerlukan masa yang panjang untuk melakukannya." Selain Badhri, dalam kalangan 25 pelatih negara sekarang, hanya Mohd. Amri Yahyah, Farizal Marlias dan Zubir Azmi pernah berdepan Blues kali pertama pada 21 Julai 2011 yang hanya menewaskan tuan rumah 1-0 dengan sepakan bebas kontroversi penyerang Ivory Coast, Didier Drogba. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan