Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tuah anak Chong Wei?

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei atau Sazali Samad? Datuk Nicol David atau Pandelela Rinong?. Teka-teki siapa yang bakal bergelar Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012, akan terjawab dalam Anugerah Sukan Negara Ke-48, malam ini.

Rezeki kelahiran Kingston Lee, Jumaat lalu mungkin akan berpihak kepada Chong Wei untuk naik ke pentas pemenang berdasarkan pencapaian pingat perak badminton pada Sukan Olimpik London, tahun lalu, selain lima gelaran Siri Super dan satu Grand Prix Emas.

Namun gelaran Mr. Universe kategori 70 kilogram pada Kejohanan Bina Badan Dunia WBDF Keempat di Bangkok, Disember lalu yang dimiliki Sazali tidak kurang hebatnya.

Ini akan menjadi pertaruhan anggota polis ini untuk dinobat sebagai Olahragawan selepas turut turut menjuarai Kejohanan Asia Ke-44 di China.

Chong Wei sudah bergelar Olahragawan Kebangsaan pada 2005, 2008 dan 2011 manakala Sazali pernah memenanginya pada 2000 dan 2006, sekali gus mencetuskan daya tarikan kepada pemerhati dan peminat sukan tanah air tentang siapa yang mampu melebarkan rekod kejayaan berprestij itu kali ini.

Kejutan juga mampu didatangkan oleh juara Master Piala Dunia AMF, Mohd. Syafiq Ridhwan, sambil sedikit tentangan bakal cuba diberikan oleh juara kata perseorangan dan berpasukanLiga Perdana Persekutuan Karate Dunia, Ogos lalu - Leong Tze Wai.

Persaingan merebut gelaran turut berlaku di antara ratu terjun negara, Pandelela dan jaguh skuasy No. 1 dunia, Nicol.

Kejayaan Pandelela meraih gangsa 10 meter platform individu pada Olimpik 2012 meletakkannya sebagai pilihan untuk membawa pulang gelaran Olahragawati.

Namun, Nicol dengan deretan kejuaraan, termasuk gelaran dunia ketujuh turut meletakkannya dalam kedudukan pilihan.

Mereka akan disaingi juara keirin berbasikal Asia, Fatehah Mustapa dan pemenang gangsa perseorangan Kejohanan Boling Dunia, Cheah Mei Lian.

Pandelela, Olahragawati Kebangsaan 2011 cuba menambah koleksi peribadi selepas turut dinobat sebagai pemenang Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Olimpian Wanita Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Nicol pula masih memegang rekod selaku Olahragawati Kebangsaan terbanyak dalam sejarah (lapan kali - 1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010).

Trofi dan ganjaran RM20,000 yang dinaikkan sekali ganda sejak tahun lalu, menanti Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012 dengan majlis penyampaian anugerah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) ini akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Anugerah lain, termasuk Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan (RM20,000), Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan (RM10,000); Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan (RM5,000) dengan persatuan sukan yang menaungi pemenangnya, mendapat RM2,000 di samping Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Kuasa 'bersuara' akan diperluas

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

KUALA LUMPUR - Artikel 88 Statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang telah menggantung ramai tokoh bola sepak negara gara-gara mengkritik persatuan, bakal mengalami transformasi.

Jika sebelum ini hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan bersuara, Artikel 88 akan diubahsuai untuk membenarkan lebih ramai pegawai melontarkan pandangan.

Pengerusi Jawatankuasa Peraturan FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, pegawai lain juga akan diberi kebenaran untuk bersuara oleh Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM berdasarkan portfolio masing-masing, sekiranya pindaan kecil artikel itu dipersetujui Kongres, pertengahan Ogos ini.

Katanya, cadangan pindaan yang disifatkannya sebagai lebih jelas dan bertujuan memudahkan semua pihak itu bakal dihantar kepada ahli gabungan FAM, tiga bulan menjelang mesyuarat Kongres.

Ia bertujuan untuk memberi makluman kepada mereka agar dapat diselaraskan dengan perlembagaan persatuan masing-masing.

"Cadangan pindaan Artikel 88 itu memiliki sedikit pengubahsuaian daripada yang sekarang tetapi masih dalam kawalan tertentu. Kami tidak mahu ada lagi pihak yang mengambil tafsiran berbeza. Kami akan senaraikan apa yang boleh dan tidak boleh untuk mereka mengulas (kepada media) berdasarkan portfolio masing-masing," katanya.

Afandi yang juga Naib Presiden FAM, mengulas mengenai hasil mesyuarat Exco dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang turut dihadirinya di sini, semalam.

Agenda utama mesyuarat ialah cadangan pindaan Artikel 88.

Tokoh bola sepak yang digantung dan didenda kerana menyalahi artikel berkenaan ialah Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa; Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan yang terbaharu bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib ialah ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Mohd. Taufek Abd. Razak berkata, kes jurulatih berkenaan bakal dibicarakan selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 20 April ini bersama kes pergaduhan dua pemain Selangor dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Januari lalu.

"Sekarang ini saya sangat sibuk dengan PRU. Tunggulah kemungkinan besar (kes Rajagobal yang dikatakan mengkritik khidmat penyerang import dalam Liga Malaysia) selepas hari penamaan calon.

"Kesnya akan disebut bersama kes pergaduhan pemain Selangor, Afiq Azmi dan Shukur Jusoh dengan ATM dalam Piala FA itu," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Argentina pilihan Johor DT

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Dari kiri, Mohd. Farid, Muhammad Nazri, Leonel Jorge Nunez, Andre Francisco William serta Jasazrin yang akan memikul cabaran pasukan Johor Darul Takzim dalam saingan Liga Super musim ini. Mereka diperkenalkan kepada peminat dii Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim mempertaruhkan pemain import baharu dari Argentina, Leonel Jorge Nunez bagi memperkukuhkan jentera serangan pasukan itu mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2013.

Bekas pemain Argentinos Juniors berusia 29 tahun itu mengikat kontrak dengan jumlah gaji yang tidak didedahkan bersama pasukan tersebut dan bakal beraksi sehingga akhir musim ini menggantikan tempat Daniel Guiza.

Nunez yang berasal dari Buenos Aires diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dalam satu majlis di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dekat sini, semalam.

Pemain yang mempunyai ketinggian 1.83 meter itu pernah beraksi bersama pasukan Olympiacos, Independiente serta Bursaspor.

Selain Nunez, PBNJ turut memperkenalkan empat pemain baharu iaitu Andre Francisco Da Silva (tengah), Mohd. Farid Ramli (pertahanan), Muhammad Nazri Ahmad (pertahanan) dan Jasazrin Jamaluddin (tengah).

Kempat-empat pemain yang beraksi bersama pasukan Johor dalam saingan Liga Perdana sebelum ini sudah membuat penampilan pertama dengan Johor Darul Takzim ketika menentang Terengganu 12 April lalu yang menyaksikan pasukan itu menang 1-0.

Pengumuman pengambilan Andre dan Nunez itu sekali gus melengkapkan kuota pemain import pasukan Johor Darul Takzim.

Timbalan Presiden PBNJ, Datuk Obet Tawil berkata, jika semua berjalan lancar termasuk urusan sijil perpindahan antarabangsa (ITC), Nunez bakal diturunkan untuk perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Selangor 16 April ini.

"Pihak PBNJ berharap kehadiran kelima-lima pemain baharu itu dapat memperkukuhkan lagi pasukan dalam segenap aspek sekali gus mempertingkatkan lagi mutu persembahan Johor Darul Takzim dalam usaha memburu kemenangan musim ini," katanya.

Nunez berazam jadi penyerang hebat

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

JOHOR BAHRU - Penyerang import baharu Johor Darul Takzim, Leonel Jorge Nunez bersedia memberi tentangan hebat kepada pasukan lawan sekali gus memastikan kemenangan pasukan setiap kali beraksi.

Biarpun tidak berapa dikenali, pemain yang memulakan karier bola sepaknya bersama Argentinos Juniors itu akan berusaha menyesuaikan diri dengan rakan-rakan yang lain bagi membentuk satu pasukan mantap.

Nunez yang berasal dari Argentina itu juga bersedia untuk meledakkan gol untuk pasukan, namun tidak menetapkan sebarang sasaran gol kerana yang penting berusaha untuk Johor Darul Takzim menjulang piala musim ini.

Pada masa sama, pemain berusia 29 tahun itu juga meminta semua pihak termasuk penyokong tidak membandingkan dirinya dengan bekas pemain import Johor Darul Takzim dari Sepanyol, Daniel Guiza.

"Kami adalah dua individu yang berbeza. Saya tidak mahu dibandingkan bersamanya, namun saya memiliki keazaman selaku penyerang seperti dia (Guiza) untuk menghasilkan gol demi kemenangan pasukan.

"Saya gembira dan saya mempunyai harapan besar datang ke sini untuk bersama-sama pasukan ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Baharu Johor Darul Takzim di sini, semalam.

Nunez memulakan karier profesional bersama Argentinos Juniors pada tahun 2004 hingga 2007 sebelum bersama Olympiacos (2007-2008) serta Independiente (2008-2010).

Dia kemudiannya memilih kelab Turki, Bursaspor (2010) untuk meluaskan pengalaman dalam kariernya sebelum kembali menyarung

jersi Independiente (2011) dan Argentinos Juniors (2012-2013).

Katanya, keputusan untuk menyertai Johor Darul Takzim dibuat selepas mendengar perancangan masa depan pasukan selain diberitahu mengenai gelombang perubahan demi misi memburu kejayaan dalam saingan Liga Malaysia.

Pada masa sama, dia juga tertarik dengan pihak pengurusan yang mempunyai pentadbiran tersusun selain mempunyai penyokong yang memenuhi stadium yang mampu menaikkan semangat seseorang pemain.

"Saya berharap tidak akan menghampakan semua pihak dengan memberi persembahan terbaik pada setiap perlawanan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Johor DT perkenal pemain baharu ganti tempat Guiza

Posted: 13 Apr 2013 09:56 PM PDT

JOHOR BAHRU 14 April - Johor Darul Takzim hari ini memperkenalkan pemain import baharu pasukan itu dari Buenos Aires, Argentina, Leonal Jorge Nunez bagi mengharungi baki saingan Liga Super 2013.

Pemain berusia 29 tahun yang pernah bermain untuk Olympiakos, Inpendiente dan Bursaspor itu bakal beraksi sehingga akhir musim ini menggantikan Daniel Guiza - UTUSAN ONLINE

EPL: Arsenal mengamuk pada penghujung perlawanan

Posted: 13 Apr 2013 09:58 AM PDT

LUKAS Podolski (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Norwich City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London semalam. - REUTERS

LONDON 14 April - Arsenal menjaringkan tiga gol dalam masa lima minit terakhir untuk menewaskan Norwich City 3-1 di Stadium Emirates dan melonjak ke tempat ketiga Liga Perdana sebentar tadi.

Tandukan Michael Turner pada awalnya kelihatan cukup untuk menundukkan anak-anak buah Arsene Wenger, tetapi Mikel Arteta menyamakan kedudukan pada minit ke-85 sebelum jaringan sendiri Sebastien Bassong dan percubaan Lukas Podolski pada masa kecederaan menyempurnakan kebangkitan Arsenal.

Kemenangan itu membolehkan Arsenal memintas Chelsea dan Tottenham Hotspur, kedua-duanya tidak beraksi, sekali gus mengekalkan peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-juara.

Kemenangan Arsenal itu pastinya mengecewakan Everton, yang mahu merapati mereka selepas menang 2-0 di tempat sendiri ke atas pasukan kedua tercorot, Queens Park Rangers.

Darron Gibson menghasilkan gol pertama perlawanan di Goodison Park sebelum Victor Anichebe mengukuhkan kedudukan Everton menerusi gol 11 minit selepas rehat.

Pasukan tercorot, Reading pula berjaya mengekang serangan berbahaya Liverpool untuk seri 0-0 di Stadium Madejski.

Dalam perlawanan lain Aston Villa seri 1-1 di tempat sendiri dengan Fulham manakala West Ham United juga seri dengan jaringan sama dengan Southampton. - AGENSI

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Raja mengaku tidak bersalah

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Rajagobal

KUALA LUMPUR - Seperti dijangka, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mengaku tidak bersalah dalam surat pertuduhan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), satu hari sebelum tarikh tutup pada hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud yang berkata, Sekretariat FAM telah menerima surat jawapan daripada Rajagobal dan tarikh pendengaran kes tersebut akan diputuskan tidak lama lagi.

Namun, beliau menambah keputusan penetapan tarikh perbicaraan itu bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM tetapi dijangka hampir pasti berlangsung pada minggu depan.

Rajagobal telah membalas surat pertuduhan yang telah dihantar oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada hari ini (semalam) dan di dalam suratnya (Borang B), dia menyatakan pendirian bahawa dia tidak bersalah.

Selaras dengan prosedur yang ditetapkan oleh FAM, Rajagobal berpeluang membela diri ketika perbicaraan yang tarikhnya masih belum ditentukan lagi.

Jawatankuasa Tatatertib akan bersidang dan menetapkan tarikh perbicaraan namun saya jangka dalam minggu hadapan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufik Abdul Razak yang ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketujuh, Rabu lalu ada membayangkan akan mengadakan perbicaraan sebelum 20 April, iaitu sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Rajagobal yang mendapat surat pertuduhan pada 5 April lalu terselamat daripada dikenakan tindakan di bawah Artikel 88 apabila hanya akan disiasat mengikut kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM.

Punca utama Rajagobal tidak disiasat di bawah Artikel 88 adalah kerana dia mempunyai kebenaran untuk bercakap dengan pihak media tetapi melanggar arahan FAM.

Walaupun begitu, dia tidak boleh lari daripada risiko kehilangan jawatan apabila boleh dikenakan penggantungan enam bulan serta denda RM8,000 jika bersalah.

Semuanya gara-gara kerana mengatakan skuad negara sudah ketiadaan penyerang berkualiti dalam saingan Liga Malaysia dalam tempoh dua tahun pada sidang media selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Arab Saudi, 17 Mac lepas.

Hamidin calon pilihan?

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Hamidin

KUALA LUMPUR - Desas-desus bahawa Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini akan meninggalkan badan induk bola sepak itu bagi menerima jawatan selaku Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) telah terjawab pada Rabu lalu.

Tidak dinafikan antara jawatan cukup penting selepas Presiden yang kini masih dipikul Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung sahaja yang mempunyai kebenaran khusus untuk bercakap dengan media apabila membicarakan perihal bola sepak negara selain melaksanakan dan mengetuai Sekretariat FAM.

Namun, persoalan paling besar selepas Azzuddin akan mengucapkan salam perpisahan kepada FAM pada penghujung Mei ini, siapakah yang akan mengambil tempat yang akan ditinggalkan oleh beliau?

Buat masa ini, belum ada sebarang petanda jelas siapakah individu akan menggantikan tempat yang akan ditinggalkan oleh Azzuddin, namun jika dilihat situasi di FAM, ada satu nama yang boleh dikaitkan di kerusi paling panas badan bola sepak induk berkenaan iaitu Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Jangan dilupakan bahawa beliau sebenarnya pernah diletakkan sebagai calon utama sebagai Setiausaha Agung FAM pada tahun 2007 sebelum Datuk Azzuddin Ahmad yang akhirnya mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah.

Kini, mungkinkah rezeki akan menjadi milik Hamidin pada kali ini jika pengalaman dan pengaruhnya menjadi sandaran?

Dianggap di antara individu paling kana di FAM buat masa ini, Hamidin juga mendapat kepercayaan Sultan Ahmad Shah untuk mengendalikan salah satu portfolio paling penting iaitu Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT).

Komitmen beliau untuk menswastakan sepenuhnya Liga Malaysia selewat-lewatnya tahun 2015 mungkin akan menjadi nilai tambah Hamidin untuk menjadi individu paling popular mengambil alih posisi Azzuddin.

Hamidin yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semenjak tahun 1998 mempunyai pengalaman yang cukup luas selama lebih 20 tahun menguruskan pentadbiran bola sepak negeri.

Di peringkat FAM, beliau pernah menjawat beberapa tugasan penting seperti Setiausaha penganjur Kejohanan Piala Belia Dunia 1997 di Kuala Lumpur dan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai pada penggal sebelumnya.

Malahan, beliau berkhidmat di bawah empat Presiden FAS iaitu Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Datuk Abu Hassan Omar, Tengku Ahmad Shah dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Walaupun begitu, semuanya bergantung kepada percaturan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah kerana jawatan itu adalah di bawah lantikan baginda sepenuhnya.

Namun, jika ia menjadi kenyataan, beliau akan menjadi Setiausaha Agung FAM ketujuh selepas Datuk Kwok Kin Keng (1951-1980), Datuk Paul Murugasu (1980-1985), Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (2000-2005), Datuk Seri Ibrahim Saad (2005-2007) dan Azzuddin (2007-2013).

Di samping itu, dia akan menjadi Naib Presiden kedua selepas Ibrahim Saad yang dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


FAM bakal berdepan bahaya

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, menganggap cadangan untuk memansuhkan Artikel 88 Statut FAM sebagai tidak wajar dan boleh membahayakan masa depan badan induk itu apabila terlalu ramai individu akan bersuara tanpa batasan dan kawalan.

Titah baginda semasa Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketujuh semalam, bukan FAM sahaja terikat dengan peraturan tetapi mana-mana industri juga ada peraturan yang bertujuan melindungi kepentingan industri mereka dan semua pihak.

Namun begitu, baginda mengingatkan FAM tidak pernah sesekali menyekat mana-mana pihak untuk menyuara pendapat atau melontarkan kritikan.

''Sejak kebelakangan ini saya mendapati terlalu banyak spekulasi, ulasan dan komentar terutamanya yang berkaitan dengan Artikel 88 sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah FAM bersikap diktator dan tidak mahu menerima sebarang kritikan.

"Kekalutan ini timbul, tidak syak lagi akibat keengganan sesetengah pemimpin dan ahli FAM untuk memahami falsafah dan dasar yang termaktub dalam Statut FAM.

"FAM tidak pernah sesekali menyekat mana-mana pihak untuk menyuarakan pendapat atau melontar kritikan. Malangnya, ada ahli-ahli FAM masih tidak mahu memahami bahawa kita mempunyai saluran tertentu untuk menyampaikan apa-apa perkara.

"Saya difahamkan Jawatankuasa Peraturan sudah bersidang untuk meneliti Artikel 88 sama ada ia perlu dikaji semula atau diperjelaskan agar tidak boleh ditafsir secara meluas, " titah baginda.

FAM sebelum ini telah menerima kritikan hebat dari pelbagai pihak berhubung Artikel 88.

Antara yang lantang bersuara adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah mengesahkan pihak Jawatankuasa Peraturan kini sedang membincangkan secara mendalam terhadap sebarang pindaan Artikel 88.

"Kita akan putuskan pada mesyuarat minggu depan selepas ia dibahaskan cukup mendalam pada hari ini (semalam) dan jika dipersetujui, isu ini akan dibawa ke Mesyuarat Kongres kali ke-49 pada Ogos ini kerana sebarang pindaan pada Statut perlulah menerusi persetujuan ahli Kongres.

"Kita mahu mengelak sebarang tafsiran, kita mahu apabila kita baca Artikel 88 kita tahu apakah maksud dan tujuannya," katanya.

Azzuddin tinggalkan FAM

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

KUALA LUMPUR - Setelah hampir enam tahun memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad (gambar) bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak negara apabila memilih haluan baru sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), penghujung Mei depan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Azzuddin yang mengakui, beliau bersedia melepaskan jawatan setelah namanya diusulkan oleh Presiden AFF, Sultan Ahmad Shah bagi mengisi jawatan yang ditinggalkan Datuk Seri Paul Mony Samuel.

"Saya cukup gembira dan bangga kerana Sultan Ahmad Shah selaku presiden telah mengusulkan nama saya untuk mengisi jawatan Setiausaha Agung AFF.

"Segala titah baginda saya akan ambil dengan penuh serius dan bersedia memberikan komitmen yang tinggi kepada AFF," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Eksekutif FAM kali ketujuh, semalam.

Bakal memulakan tugasan pada 1 Jun, Azzuddin menjelaskan sehingga tempoh itu, Setiausaha Agung FAM yang baru akan dilantik.

Sepanjang bersama FAM, beliau antara watak penting membantu kejayaan Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF kali pertama pada 2010 dan menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas di Sukan SEA Laos 2009 serta memenanginya sekali lagi di Indonesia pada 2011.

Beliau pernah mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pemain dan menyarung jersi negara sekitar 1970-an, selain menganggotai skuad yang muncul naib juara Pestabola Merdeka pada 1972.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin mengesahkan FAM telah menghantar bidaan rasmi untuk menjadi penganjur kejohanan Piala Asia 2019.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


TMJ kembali terajui PBNJ

Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Tunku Ismail

KUALA LUMPUR - Tidak sampai seminggu meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik balik keputusannya berkuat-kuasa serta merta dan kembali menerajui badan bola sepak itu.

Semuanya selepas beliau menghadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah di Istana Pahang dekat sini, semalam.

Keputusan penarikan balik itu diumumkan sendiri oleh Sultan Ahmad Shah kepada sekumpulan wartawan pada sidang akhbarnya.

Difahamkan, keputusan Tunku Ismail itu juga mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang turut berangkat pada pertemuan itu selain anakanda Sultan Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Titah Sultan Ahmad Shah, keputusan itu berjaya dicapai setelah baginda sendiri memujuk Tunku Ismail untuk menarik balik pendirian awalnya dalam pertemuan yang berlangsung hampir satu jam.

"Pada hari ini, sebagaimana harapan saya telah menjadi kenyataan, bahawasanya Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) akan kembali sebagai Presiden PBNJ, jadi saya telah menasihatkan Tunku Ismail supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan bola sepak di Johor.

''Tambahan, Johor mempunyai dua pasukan (Liga Malaysia) iaitu di Liga Super dan Liga Perdana, jadi keputusan ini memang tepat," titah baginda selepas mengadakan perbincangan dengan Tunku Ismail dan Sultan Ibrahim.

Pun begitu, baginda memberi peringatan bahawa Tunku Ismail tidak terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang selain hukuman penggantungan enam bulan yang beliau sedang jalani akan terus kekal.

''Sekali memutuskan untuk menjadi anggota persatuan... kita tertakluk kepada undang-undang yang diperuntukkan, tiada siapa boleh melarikan diri daripada undang-undang yang termaktub bertahun-tahun.

''Mengenai hukuman, ia masih berjalan, seperti mana yang saya katakan, dia mesti bertanggungjawab dengan undang-undang yang ditetapkan," tegas Presiden FAM berkenaan.

Pada 3 April lalu, Tunku Ismail membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBNJ selepas mengakui rasa sukar mengikuti undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh FAM.

Memilih mahu menjadi sebagai penaung PBNJ, dia melepaskan jawatan Presiden PBNJ kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Sebelum ini, Tunku Ismail digantung enam bulan dan denda RM18,000 pada 8 Mac lalu oleh Jawatankuasa Tata Tertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia.

Namun, beliau membuat kontroversi apabila berada di bangku simpanan pemain pada babak kedua perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Terengganu pada 30 Mac di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ketika sedang menjalani hukuman.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang hadir pada sidang akhbar itu berkata, hanya surat amaran dikeluarkan dan tidak akan ada hukuman tambahan diberikan.

"Keputusan untuk tidak menjatuhkan hukuman Tunku Ismail adalah mengikut budi bicara Jawatankuasa Tatatertib FAM dan bukannya kerana perbezaan apabila berdepan dengan pihak beraja.

"Hanya surat amaran diberikan kepada Tunku Ismail dan diharapkan pihak media faham bahawa bukan semua kes yang diadili perlu dikenakan hukuman, semuanya bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM," katanya.

Selangor berjaya raih mata berharga

Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT

SHAH ALAM - Masih bernyawa. Selangor menghidupkan kembali sisa-sisa perjuangan ke suku akhir Piala AFC apabila menewaskan kelab Vietnam, Sai Gon Xuan Thanh 3-1 dalam saingan Kumpulan H di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan sulung yang dikecapi oleh Red Giants meletakkan mereka kini di tangga ketiga kumpulan dengan empat mata dan perlu menang dalam baki dua lagi perlawanan bertemu wakil India, East Bengal pada 23 April ini dan aksi terakhir menentang Tampines Rovers, 30 April.

Janji jurulatih Selangor, Irfan Bakti untuk menurunkan ramai pemain simpanan nampaknya hanya satu helah semata-mata apabila tonggak-tonggak utama seperti Asraruddin Putra Omar, Francis Forkey Doe dan Mohd. Amri Yahyah tetap diturunkan.

Red Giants telah menggegar seawal minit ke-10 apabila pemain import dari Slovakia, Michal Kubala melepaskan satu rembatan menarik melalui situasi sepakan percuma dari jarak 25 meter.

Penjaga gol, Sharbinee Allawee mempamerkan kecemerlangan tersendiri apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya penyerang Sai Gon bagi memastikan babak pertama berakhir 1-0 memihak kepada tuan rumah.

Cengkaman Selangor semakin kukuh pada separuh masa kedua apabila Forkey Doe meledak jaringan kedua pada minit ke-62 hasil umpanan cantik daripada Amri berhampiran kotak penalti dan pemain antarabangsa Liberia itu berjaya melepaskan satu tendangan menarik melalui kaki kiri untuk menewaskan Bui Tan Trong.

Amri juga tidak ketinggalan meletakkan nama dalam senarai penjaring dengan satu gol yang dianggap paling menarik dalam perlawanan itu apabila melakukan satu percubaan sungkit memperdayakan Tan Trong pada minit ke-71.

Jaringan pada minit ke-80 oleh Moses Oloya sudah terlambat buat Sai Gon apabila ia tidak menghalang kemenangan Selangor di tempat sendiri.

Dalam satu lagi perlawanan, East Bengal kini hanya memerlukan satu sahaja lagi mata untuk melayakkan diri ke suku akhir apabila tidak menghadapi masalah menewaskan Tampines Rovers 2-1 sekali gus menyaksikan kelab Singapura hampir pasti tersingkir daripada saingan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kebangkitan Zakry-Fairuzizuan

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my

ZAKRY (kiri) dan Fairuzizuan hampir pasti akan memintas V Shem-Khim Wah apabila ranking terbaharu dunia keluar, Khamis ini menjadikan peluang mereka untuk ke Kejohanan Dunia di Guangzhou semakin cerah.

KUALA LUMPUR - Biarpun belum mengibar bendera putih, namun ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her mengakui, kelebihan untuk mengisi slot terakhir Kejohanan Dunia kini dimiliki oleh pasangan KLRC, Mohd. Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari ekoran prestasi hambar anak buahnya, Goh V Shem-Lim Khim Wah pada Terbuka Australia.

Zakry-Fairuzizuan hampir pasti akan memintas V Shem-Khim Wah apabila ranking terbaharu dunia keluar, Khamis ini selepas melangkah ke separuh akhir Terbuka Australia, pada ketika gandingan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu pula tersingkir seawal pusingan kedua.

Walaupun V Shem-Khim Wah memiliki kelebihan satu kejohanan berbanding pesaingnya, kerana turut disenarai ke Kejohanan Asia di Taiwan, 16-21 April ini, namun itu bukan jaminan mereka mampu mengutip mata yang mencukupi untuk membuat penampilan sulung pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, Ogos nanti.

Pasangan muda negara itu tidak boleh menerima keputusan selain daripada memasuki final apabila beraksi pada Terbuka New Zealand yang bermula esok atau hanya menyempitkan lagi peluang.

"Saya tengok peluang V Shem-Khim Wah untuk mengisi slot terakhir Kejohanan Dunia memang susah selepas mereka gagal meraih keputusan baik di Australia. Sekarang semua bergantung kepada apa yang boleh mereka lakukan di New Zealand atau Kejohanan Asia nanti.

"Sudah pasti Zakry dan Fairuzizuan akan potong V Shem-Khim Wah sebaik sahaja tamat Terbuka New Zealand, kecuali kalau anak-anak buah saya berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir. Jadi, final patut menjadi sasaran paling minimum untuk mereka di sini (New Zealand)," ujar Kim Her.

Pada Terbuka New Zealand, V Shem-Khim Wah diletak sebagai pilihan kedua dan akan memulakan aksi dengan menentang Lin Yen Jui-Wang Chih Hao dari Taiwan, manakala Zakry-Fairuzizuan, yang turun sebagai pilihan ketiga bermula dengan berdepan satu lagi beregu Taiwan, Cheng Po Wei-Lin Yu Hsieh.

Zakry-Fairuzizuan tidak akan beraksi pada Kejohanan Asia, pertandingan terakhir untuk mencari mata kelayakan, sebaliknya V Shem-Khim Wah bakal mengetuai skuad muda negara.

Laluan mereka bagaimanapun amat getir kerana akan berdepan Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech di pusingan pertama. Jika berjaya melepasi beregu Thailand itu, juara All England, Liu Xiaolong-Qiu Zihan dari China bakal menanti, manakala Eun-Baek Cheol pula lawan akan ditemui pada pusingan seterusnya.

"Suku akhir adalah sasaran minimum buat mereka pada Kejohanan Dunia tetapi kalau hendak selamat, mereka kena mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir. Namun, laluan tidak mudah dan saya harap ada kejutan mampu dilakukan,'' tambah Kim Her lagi.

Malaysia boleh menghantar maksimum tiga beregu pada Kejohanan Dunia andai pasangan mereka berada dalam kelompok 24 terbaik dunia pada ranking hujung bulan ini.

Beregu No. 2 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon dan pasangan No. 7 dunia, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong hampir pasti mengesahkan tiket, tetapi slot terakhir menjadi perebutan antara V Shem-Khim Wah (No. 14), Zakry-Fairuzizuan (No. 16) dan Gan Teik Chai-Ong Son Hock (No. 19).

'Masa untuk kami bangkit'

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

(Dari kiri) pemain Selangor, Asraruddin Putra Omar, pemain tengah Sai Gon, Oloya Moses, Tran Tien Dai serta Irfan Bakti bersalaman antara satu sama lain selepas sidang akhbar Piala AFC di Shah Alam, semalam. Kedua-dua pasukan akan berentap hari ini.

SHAH ALAM - Tidak ada perkara lain dalam fikiran jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim selain mencatat kemenangan ke atas Sai Gon Xuan Thanh pada perlawanan Piala AFC peringkat kumpulan hari ini.

Menurut Irfan Bakti, mereka masih lagi boleh memikirkan tentang mara ke pusingan kedua Piala AFC tetapi dengan syarat mencatat kemenangan seterusnya beraksi dengan baik pada baki dua perlawanan lagi.

"Kita perlu buat yang terbaik, tiga perlawanan sebelum ini kita hanya meraih satu mata sahaja, jadi untuk baki tiga perlawanan lagi kita harus mencatat kemenangan.

''Sebenarnya ketika menentang Sai Gon tempoh lalu kita boleh mencatat kemenangan tetapi hilang konsentrasi menyebabkan kita gagal berbuat demikian," katanya pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam, semalam.

Pada tiga perlawanan sebelum ini, Selangor hanya mencatat sekali seri ketika bertemu Tampines Rovers dan dua kali tewas kepada Sai Gon dan juga East Bengal, menyaksikan mereka menduduki tempat ketiga Kumpulan H.

"Saya yakin jika berjaya mencatat kemenangan ke atas Sai Gon esok (hari ini) kita mampu untuk melakukan sesuatu pada dua perlawanan selepas itu, walaupun East Bengal adalah pasukan paling bagus dalam kumpulan ini.

"Pemilihan pemain akan dilakukan dengan teliti kerana jadual pertandingan baik peringkat Asia mahupun domestik sangat padat. Saya akan merehatkan pemain utama, tetapi pemain yang diturunkan esok masih mampu untuk melakukan sesuatu," katanya.

Irfan Bakti menjelaskan bahawa dua pemain import mereka, Peter Chrappan dan Michal Kubala akan diturunkan dalam perlawanan hari ini, manakala pemain tengah, K. Gurusamy sudah sepertinya tidak beraksi kerana mengalami masalah kecederaan.

Kedudukan ketua pasukan, Mohd Asraruddin Putra Omar juga masih lagi menjadi tanda tanya, sama ada akan diturunkan atau pun tidak kerana memikirkan tentang jadual perlawanan domestik yang perlu diharungi mereka selepas ini.

Selangor akan bertemu Felda United dalam saingan Liga Super Sabtu ini, selepas itu mereka akan menentang Johor Darul Takzim bagi perlawanan Piala FA di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, Asraruddin berkata, dia yakin dengan komitmen rakan-rakannya yang akan mengulangi persembahan terbaik ketika mereka mencatat kemenangan suku akhir pertama Piala FA menewaskan Johor DT 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu.

"Komitmen antara pemain utama dan simpanan adalah sama bagus, jadi saya yakin kami mampu meraih tiga mata di sini, walaupun pasukan lawan mempunyai pemain import yang bagus," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


GP Qatar: Zulfahmi raih tempat keenam

Posted: 07 Apr 2013 10:02 AM PDT

ZULFAHMI KHAIRUDDIN... Pelumba Moto3 Malaysia.

QATAR 8 April - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin berjaya memulakan saingan pada tahun 2013 dengan baik apabila berjaya meraih tempat keenam pada perlumbaan GP Qatar.

Walaupun bermula dari petak ke-11, Zulfahmi yang menunggang Red Bull KTM Ajo berjaya menunjukkan ketenangan ketika menunggang untuk mengejar kelompok pelumba hadapan bagi meraih 10 mata dalam kedudukan keseluruhan kejuaraan dunia.

Perlumbaan itu berjaya dimenangi rakan sepasukannya, Luis Salom sementara naib juara Moto3, Mark Vinales di tempat kedua dan Alex Rins berada di kedudukan ketiga. - UTUSAN ONLINE

Raddy ganti Rajagobal?

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Radojko Avramovic

KUALA LUMPUR - Belum pun nasib Datuk K. Rajagobal diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), nampaknya ada individu yang sudah mula menunjukkan minat mengisi kerusi panas jurulatih Harimau Malaya.

Berdasarkan sumber yang diperoleh Utusan Malaysia, bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic yang lebih dikenali dengan nama panggilan Raddy, cukup berminat menggantikan Rajagobal pada masa akan datang.

Malah, berdasarkan maklumat yang diterima, Raddy telah menghantar permohonan rasmi kepada FAM, termasuk profil peribadi pada 2 April lalu bagi memaklumkan hasratnya menjadi jurulatih Harimau Malaya jika terdapat sebarang kekosongan.

Walaupun FAM belum menyatakan jawapan secara rasmi, namun Raddy, pengendali dari Serbia yang dianggap antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah bola sepak Singapura, dilihat menjadi calon utama yang boleh mengambil alih peranan Rajagobal berdasarkan pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa selain cukup masak dengan situasi bola sepak di Asia Tenggara.

Namun, personaliti jurulatih berusia 63 tahun itu mungkin boleh menimbulkan sedikit kesulitan kerana dia bukan seorang yang mesra media.

Antara sebab utama Raddy masih berminat bertugas di Asia Tenggara adalah kerana dia mempunyai anak yang bertugas di Singapura dan selesa tinggal di sini.

Selain kejuaraan Piala AFF 2012 yang dirangkul baru-baru ini, Raddy yang menjadi jurulatih Singapura dari 2003 hingga 2012 telah memberikan dua lagi kejuaraan Piala Suzuki AFF pada 2004 dan 2007.

Beberapa keputusan sensasi yang pernah dicatatkan oleh Singapura ketika di bawah kendaliannya adalah menewaskan Kuwait 2-0 dan seri tanpa jaringan dengan Australia pada 2008.

Sebelum bersama dengan Singapura, jurulatih yang berasal dari Serbia itu pernah bertindak menjadi jurulatih Bawah 23 tahun Kuwait yang layak ke pusingan akhir Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia.

Pada penghujung 2001, dia menjadi jurulatih skuad kebangsaan Kuwait dan pasukan itu dinobatkan sebagai juara Asia Barat 2002 dan membawa Kuwait mara ke suku akhir Sukan Asia Busan, Korea Selatan pada tahun yang sama.

Namun, kontraknya ditamatkan pada Disember 2002 apabila gagal membawa Kuwait melepasi peringkat kumpulan Piala Negara-Negara Arab.

Rajagobal yang baru sahaja mendapat surat pertuduhan daripada Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Jumaat lalu, bakal berdepan kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM dan boleh digantung enam bulan serta denda RM8,000 jika bersalah.

Jika berjaya melepaskan diri, Rajagobal hanya berpeluang mengendalikan Harimau Malaya sehingga hujung tahun ini kerana kontraknya bakal berakhir pada Disember 2013, kecuali beliau ditawarkan kontrak baru.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Selangor bawa bekalan selesa

Posted: 06 Apr 2013 11:59 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR, SHAHRINNAHAR LATIB dan YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my

Pemain Selangor, Peter Chrappan menanduk bola keluar dari kawasan bahaya pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Larkin, malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim gagal mempertahankan rekod tanpa kalah di laman sendiri, sebaliknya Selangor membawa pulang bekalan selesa ke Shah Alam selepas menang 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Aksi terakhir dua pemain import Johor Darul Takzim, Daniel Guiza dan Simone Del Nero nyata mengecewakan selepas kedua-dua pemain gagal membantu mencipta jaringan gol.

Selangor hampir mengejutkan pasukan tuan rumah seawal minit ketiga perlawanan menerusi tandukan deras pemain import, Peter Chrappan, namun ketangkasan penjaga gol Zaulfadli Mohamed menafikan percubaan itu.

Pasukan pelawat akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi rembatan deras Mahali Jasuli yang berjaya menewaskan Zulfadli.

Tiga minit kemudian, pasukan Harimau Selatan memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma selepas G. Gurusamy menjatuhkan Nurul Azwan Roya di luar kotak penalti, namun kapten pasukan, Safiq Rahim gagal memanfaatkan peluang itu.

Pasukan bimbingan Fandi Ahmad memiliki dua peluang terbaik menerusi Guiza pada minit ke-32, namun rembatannya dari jarak 30 meter dan rembatan deras Mohamad Muslim Ahmad seminit selepas itu berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Separuh masa kedua menyaksikan pasukan tuan rumah lebih banyak mengasak bagi mencari gol penyamaan dan hasilnya pada minit ke-55, Johor dihadiahkan sepakan penalti selepas Safee Sali dijatuhkan Mohd. Asarudin Putra Omar, namun rembatan Guiza berjaya ditepis Norazlan.

Johor terus tertekan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-63 apabila Irfan Abd. Ghani dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Gurusamy.

Mohd. Amri Yahyah turut mencatatkan nama selaku penjaring pada pertemuan itu apabila berjaya mencipta jaringan pada minit ke-68 hasil hantaran Francis Forkey Doe yang berjaya memperdayakan pertahanan serta penjaga gol tuan rumah.

Tuan rumah akhirnya memperolehi gol tunggal pada minit ke-81 apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti selepas Mohd. Nasriq Baharom menjatuhkan Safee Sali dan Safee berjaya menewaskan Zulfadli menjadikan kedudukan 1-2.

Sementara itu, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan berjaya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan meraih kemenangan 2-1 menewaskan Sarawak.

Kemenangan tersebut membolehkan Kelantan beraksi untuk perlawanan suku akhir kedua Piala FA dengan lebih selesa pada 16 April ini.

Dalam pada itu, pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan menyaksikan Pahang dan Sime Darby sekadar terikat tanpa jaringan sekali gus memerlukan kedua-dua pasukan bekerja keras pada perlawanan kedua nanti.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tuan rumah, Negeri Sembilan terpaksa akur dengan kekalahan kepada Terengganu dengan keputusan 1-3 di laman sendiri.

Chong Wei tumbang kepada pemain muda China

Posted: 06 Apr 2013 11:59 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Malaysia mengakhiri cabaran badminton Terbuka Australia selepas Datuk Lee Chong Wei tumbang mengejut kepada pemain yang menghuni ranking 196 dunia, Tian Houwei pada separuh akhir di Sydney, semalam.

Houwei, 21, pemain muda China yang pernah menjulang gelaran remaja dunia pada 2009 mara daripada peringkat kelayakan pada kejohanan ini.

Dia yang tidak pernah bersemuka dengan Chong Wei sebelum ini mengheret pemain No. 1 dunia itu untuk bermain rubber set sebelum menang 19-21, 21-17, 18-21.

Sementara itu, jurulatih pemain perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, kekalahan Chong Wei mungkin ada kaitan dengan tahap kesihatan pemain itu yang tidak begitu sihat sebelum ini.

"Dari segi latihan memang ada mengganggu kerana sebelum ini dia tidak sihat dan kejohanan ini saya lebih anggap sebagai latihan buatnya untuk mempelbagaikan corak permainannya.

"Saya juga memuji aksi yang dipamerkan oleh pemain China tersebut (Tian Houwei) kerana telah bermain dengan berani dalam permainan tersebut dan saya juga tidak menjangka dia mampu bermain dengan sehebat itu," kata Seu Bock.

Pada perlawanan tersebut Chong Wei dikerah bekerja keras dengan mata yang tidak terlalu jauh sebelum akur kepada lawannya.

Kemenangan yang diraih Tian Houwei membolehkannya melangkah ke saingan akhir menentang rakan senegara, Song Xue.

Song Xue yang juga bukan pemain pilihan kejohanan turut membuat kejutan apabila menguburkan impian pemain pilihan ke-12, Alamsyah Yunus dari Indonesia 21-10, 18-21, 21-15.

Sementara itu, harapan untuk melihat pasangan beregu negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari mengibarkan Jalur Gemilang di pentas akhir turut musnah apabila mereka tewas kepada Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 18-21, 18-21.

Kekalahan tersebut juga melepaskan peluang mereka untuk mencari tiket ke Kejohanan Dunia.

Ahsan-Hendra akan menentang pilihan kedua kejohanan yang juga rakan senegara, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


TMJ wajar timbang semula

Posted: 04 Apr 2013 12:56 PM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah berharap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan membuat pertimbangan atas keputusannya meletakkan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Sultan Ahmad Shah yang dukacita dengan keputusan drastik itu percaya seluruh penyokong bola sepak negeri Johor termasuk PBNJ sendiri memerlukan khidmat Tunku Ismail.

"Kita tengok sejak TMJ jadi Presiden, kedatangan peminat-peminat sukan bola sepak di negeri Johor sangat menggalakkan. Ini apa yang saya lihat di televisyen.

"Apa yang saya hendak katakan, tidak ada satu makhluk pun yang tidak membuat kesilapan. Jadi sebagai kita mengabdikan diri kita kepada Allah SWT, mesti terima ini semua. Kita buat perkara yang salah, kita kena menghadapinya," katanya.

Presiden FAM itu berkata demikian ketika ditemui para pemberita selepas Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2013 di sini, kelmarin.

Tunku Ismail kelmarin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden PBNJ berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau bertindak demikian kerana merasakan sukar untuk terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM pada masa sama sebagai Tunku Mahkota Johor lalu memilih menjadi penaung PBNJ.

Jawatan Presiden PBNJ kini dipikul Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Pada perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Terengganu, 30 Mac lalu, Tunku Ismail yang digantung enam bulan selepas didapati melanggar Artikel 88 Statut FAM dilihat berada di bangku simpanan pemain ketika perlawanan berlangsung pada separuh masa kedua.

Mengenai kenyataan TMJ bahawa amat sukar untuknya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM, Sultan Ahmad Shah berkata, tiada sesiapa pun di negara ini yang boleh lari daripada undang-undang.

"Kita tidak boleh lari daripada undang-undang, bila kita sanggup berkhidmat untuk apa jua jawatan kita mempunyai satu undang-undang yang telah ditetapkan, jadi kita kena mematuhinya," ujar Sultan Ahmad Shah.

Teruskan siasatan atau tutup kes

Posted: 04 Apr 2013 12:56 PM PDT

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim belum boleh menyangka bahawa siasatan sudah berakhir memandangkan perkara itu masih belum menjadi kepastian.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, sama ada Tunku Ismail tetap disiasat atau sebaliknya, semuanya bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk membuat penilaian.

"Terpulang kepada Jawatankuasa Tatatertib dalam hal ini untuk menyiasat atau tidak kerana kesalahan yang dilakukan beliau adalah sebelum meletak jawatan," katanya dalam satu sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia, semalam.

Namun, percubaan Utusan mendapatkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak gagal apabila dia tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan bagi isu berkenaan.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor membuat kejutan apabila bertindak mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Punca utama mengapa beliau bertindak demikian kerana merasakan cukup sukar untuk terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM pada masa sama selaku Tunku Mahkota Johor, lalu memilih mahu bertindak sebagai penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ akan dipikul Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Pada perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Terengganu, 30 Mac lalu, Tunku Ismail yang digantung enam bulan kerana mengkritik pengadil dalam saingan Liga Malaysia kelihatan berada di bangku simpanan pemain pada separuh masa kedua.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin menjelaskan, FAM mahu meneliti terlebih dahulu pembabitan pasukan negara bagi bertanding pada Kejohanan Liga Super ASEAN (LSA).

Beliau mengakui masih ada perkara perlu diberi perhatian terutama kos perbelanjaan yang begitu besar di samping mahu menilai syarat-syarat yang dikemukakan pada kejohanan yang dijangka bakal bermula pada tahun 2015 tersebut.

"Kami (FAM) masih lagi belum dijelaskan dengan lebih terperinci mengenai LSA jadi saya perlu tengok cadangan itu terlebih dahulu.

"Kejohanan selama lapan bulan ini melibatkan perlawanan liga timbal balik (di stadium tuan rumah dan gelanggang lawan) yang mana setiap pasukan dihantar harus memiliki stadium sendiri dan memiliki deposit wang yang besar.

"Begitupun, kami akan putuskan keputusan untuk menghantar dua wakil negara selepas mendapat butiran terperinci mengenai LSA nanti tetapi apa yang pasti dua pasukan ini bukan dari Liga Malaysia," katanya.

Kewujudan LSA telah disahkan oleh Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang merangkap Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa liga dwi tahunan itu bakal melihatkan dua pasukan terbaik daripada setiap anggota ASEAN tanpa perlu beraksi pada pusingan kelayakan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Sultan Ahmad Shah dukacita Tunku Ismail letak jawatan

Posted: 03 Apr 2013 08:44 PM PDT

KUANTAN 4 April - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah meluahkan rasa dukacita susulan peletakan jawatan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam.

Sambil mengharapkan Tunku Ismail mengubah keputusannya, Sultan Ahmad Shah bertitah sejak menerajui PBNJ, TMJ diterima baik peminat bola sepak Johor.

"...saya rasa mereka (peminat dan PBNJ) memerlukannya," titah baginda kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN, di sini semalam.

Pada masa yang sama, titah baginda, TMJ harus bersedia mematuhi undang-undang badan induk bola sepak tanah air itu jika ingin membabitkan diri dalam pengurusan sukan berkenaan.

"Dia tak boleh lari daripada undang-undang, bila kita sanggup berkhidmat demi apa juga jawatan, sebab kita (FAM) mempunyai undang-undang.

"Tiada siapa mengatasi undang-undang di Malaysia, macam saya cakap.. tidak ada satu makhluk yang tidak membuat kesilapan," titah baginda.

Semalam, Tunku Ismail dalam kenyataan medianya mengumumkan peletakan jawatan selaku Presiden PBNJ berkuat kuasa serta-merta, selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan jawatan itu kini disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Baginda membuat keputusan itu selepas berasakan kedudukannya selaku TMJ menyukarkan baginda menjalankan tugas sebagai presiden PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang FAM.

Tunku Ismail bagaimanapun bertitah, selaku TMJ baginda layak menjadi penaung PBNJ. - BERNAMA

TMJ letak jawatan Presiden PBNJ

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, selain hasil perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

"Keputusan ini saya buat kerana merasakan jika saya memegang jawatan sebagai presiden dan pada masa sama sebagai TMJ, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

"Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk mentadbir PBNJ sebagai penaung serta-merta mulai hari ini. Ini kerana mengikut hirarki protokol, saya sebagai TMJ layak memegang jawatan penaung dalam PBNJ," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini , semalam.

Beliau berkata, dengan menjadi penaung, ia akan membuka lebih banyak ruang dan peluang serta kelebihan bagi Tunku Ismail untuk mentadbir urus PBNJ termasuk aspek kewangan, kebajikan kakitangan dan pemain serta mampu membuat keputusan lebih tepat.

Jawatan Presiden PBNJ kini akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Tunku Ismail turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bola sepak Johor yang selama ini bersusah payah memberi sokongan tidak berbelah agi kepada pasukan negeri ini.

"Sokongan padu anda semua amatlah saya hargai dan harap ia berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan bola sepak negeri ini boleh terus gah berdiri di persada bola sepak tanah air.

"Sokongan anda diharap dapat diteruskan di masa akan datang.

"Saya berharap anda semua tidak akan risau kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda sebagai TMJ dan sentiasa memantau serta mengikuti segala perjalanan aktiviti bola sepak negeri ini di peringkat akar umbi hingga ke peringkat global," katanya lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS