Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Beasley undur diri?

Posted:

Beasley undur diri?

Beasley undur diri?

Daripada AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI
azizulfahmi.zabidi@kosmo.com.my


BEASLEY (tengah) dilaporkan mahu membimbing pasukan baru selepas temasya Sukan Olimpik 2012.


KORAT, Thailand - Jika benar apa yang dikata, ketua jurulatih, John Beasley tidak lagi akan membimbing skuad lumba basikal trek negara selepas berakhirnya temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Difahamkan, jurulatih kelahiran Australia itu telah memaklumkan mengenai hasratnya untuk mengundur diri daripada membimbing skuad trek negara kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut sumber, Beasley dilapor mahu mencari 'angin baru' selepas temasya Olimpik 2012 dan dia juga dikatakan mendapat tawaran untuk melatih skuad kebangsaan Iran - antara negara yang mula memperlihatkan peningkatan mendadak dalam acara trek.

"Beasley telah memaklumkan kepada MSN bahawa dia mahu berhijrah ke pasukan lain. MSN mungkin terpaksa menerima hasrat Beasley itu kerana dia menang mahu membimbing pasukan baru selepas melatih pelumba-pelumba trek negara sejak empat tahun lalu.

"Jika Beasley benar-benar meninggalkan skuad trek negara, MSN perlu bertindak lebih awal bagi mencari pengganti yang sesuai bagi menggantikan tempatnya. Kita tidak mahu prestasi pelumba-pelumba trek elit yang ada sekarang menghadapi masalah jika Beasley melepaskan tugasnya nanti," kata sumber tersebut.

Beasley yang mula membimbing skuad trek negara pada 2006 dilihat telah berjaya menjulang nama Malaysia di peta dunia dengan lahirnya beberapa jaguh seperti Mohd. Azizulhasni Awang, Mohd. Rizal Tisin dan Fatehah Mustapa.

"Kemampuan Beasley melahirkan jaguh dunia menyebabkan dia memiliki reputasi tinggi sebagai seorang jurulatih trek yang hebat.

"Ketika dia memulakan tugas membimbing skuad trek negara, memang kita tidak dapat hasilnya tetapi tiga tahun kemudian, kita sudah lihat ada perubahan dengan lahirnya jaguh keirin negara, Azizulhasni.

"Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) juga mengakui Beasley sebagai antara jurulatih terbaik di dunia. UCI juga kini menganggap Malaysia sebagai antara negara kuasa besar dalam acara trek.

"Jadi tidak mengejutkan jika Beasley mendapat tawaran daripada beberapa negara yang berminat untuk menggunakan kepakarannya," tambah sumber itu lagi.

Ketika MSN menawarkan kontrak baru kepada Beasley dua tahun lalu, jurulatih yang diperkenalkan oleh pelumba negara, Josiah Ng itu dilapor telah dipancing oleh beberapa negara termasuk China dan Iran.

Bagaimanapun, Beasley tetap dengan keputusannya untuk meneruskan khidmatnya membimbing barisan pelumba trek negara.

"Jika kali ini, Beasley sudah tidak mahu menyambung kontrak untuk membimbing skuad trek negara, kita sudah tidak boleh buat apa-apa lagi. Semua ini (pertukaran jurulatih) adalah lumrah dalam dunia sukan termasuk basikal.

"Setakat ini, kita belum ada calon yang sesuai untuk menggantikan tempat Beasley. Namun, satu persoalan lagi, jika kita mendapat pengganti yang sesuai, adakah kita bersetuju pula dengan soal pembayaran gaji.

"Semua ini harus diteliti dengan sebaik-baiknya agar semua pihak dapat manfaat bersama," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pelumba negara perlu masa

Posted:

Pelumba negara perlu masa

Pelumba negara perlu masa

Daripada AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI
azizulfahmi.zabidi@kosmo.com.my


DARI kiri, Jupha, Norazimah dan Lauretta menampilkan kayuhan bertenaga dalam acara kejar mengejar berpasukan.


KORAT, Thailand - Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 melabuhkan tirai secara rasminya kelmarin.

Edisi ke-31 kejohanan paling berprestij di rantau Asia itu menyaksikan kuasa-kuasa besar seperti China, Korea Selatan, Jepun serta Iran sekali lagi membayangi penampilan pelumba-pelumba dari negara lain.

Tidak terkecuali barisan pelumba negara khususnya dalam acara lebuh raya yang 'tenggelam' dek penangan jagoan-jagoan Asia itu.

Empat hari acara lebuh raya berlangsung, skuad lebuh raya negara gagal menjelmakan sebarang kilauan pingat, sekali gus membayangkan betapa reputasi mereka semakin tercalar.

Tidak seperti penampilan skuad trek yang berjaya menghadirkan 15 pingat pada ACC 2011, skuad lebuh raya yang tampil di bumi Korat dengan 1,001 macam cerita, sekali lagi gagal memukau dengan kayuhan bertenaga.

Lebih mengecewakan apabila penampilan skuad lebuh raya elit negara kali ini lebih banyak dibayangi dengan beberapa masalah sehingga timbul keraguan terhadap kecintaan mereka dalam menyumbang keringat dan tenaga kepada Malaysia.

Menyedari perkara tersebut yang mungkin akan menjerat anak-anak buahnya suatu hari nanti, jurulatih skuad lebuh raya negara, Graham Seers tidak mahu cepat melatah atau panik.

Sebaliknya, jurulatih kelahiran Australia itu tetap percaya barisan pelumba negara mampu menandingi kehebatan pelumba-pelumba ternama jika mereka terus dibimbing dengan cara yang betul.

"Saya baru membimbing pelumba Malaysia (awal bulan lalu) dan banyak lagi program yang saya rancangkan untuk mereka. Saya lebih suka menekankan program pembangunan kerana daripada situ, kita akan mendapat hasil yang positif.

"Biarlah kita bermula dengan program-program sebegini kerana jika ia dapat berjalan berterusan, saya percaya suatu hari nanti, Malaysia mampu melahirkan jaguh-jaguh lebuh raya," kata Seers ketika ditemui kelmarin.

Seers berkata, walaupun anak-anak buahnya menampilkan kayuhan cemerlang dalam dua tugasan bersamanya - ACC 2011 dan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, dia tidak mahu melihat situasi tersebut sebagai satu kegagalan.

Jelas Seers, kedua-dua kejohanan itu menjadi kayu pengukur kepadanya untuk menguji kemampuan dan prestasi pelumba-pelumba negara yang dilihat semakin longlai ketika berkayuh dalam beberapa kejohanan utama sejak tahun 2007.

"ACC dan LTdL yang telah dilalui setakat ini merupakan satu penilaian yang baik kepada pelumba-pelumba saya. Walaupun ada pihak yang melihat penampilan mereka tidak begitu memuaskan tetapi saya lihat mereka sudah menunjukkan kemajuan.

"Berikan mereka sedikit masa lagi dan saya yakin mereka mampu memberi cabaran yang lebih kompetitif. Buat masa ini, saya gembira dan berpuas hati melihat perkembangan prestasi mereka," tambah Seers.

Skuad lebuh raya gagal menyerlah sejak ACC 2007 di Bangkok, Thailand; ACC 2008 di Nara, Osaka, Jepun; ACC 2009 di Banjarmasin, Indonesia; ACC 2010 di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu; Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand; Sukan SEA 2009 di Vientianne, Laos; Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Mengulas persoalan mengenai barisan pelumba senior negara yang sedia ada, Seers menjawab: "Kita memiliki pelumba-pelumba yang tidak kurang hebatnya... cuma mereka perlu dibimbing untuk menjadi seorang juara.

"Bagaimanapun, dalam usaha melahirkan juara, kita memerlukan masa dan ia tidak akan hadir dalam sekelip mata. Dalam masa yang sama, pelumba-pelumba negara harus didedahkan dengan kejohanan-kejohanan yang lebih kompetitif.

"Dengan cara itu, mereka akan mendapat lebih banyak pendedahan dan pengalaman kerana dapat bersaing dengan pelumba-pelumba ternama dunia. Ini semua (penampilan dalam ACC 2011 dan LTdL 2011) hanya permulaan dalam usaha mencipta kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Seers juga gembira melihatkan prestasi beberapa pelumba remaja seperti Mohd. Arfy Qhairant Amran dan Jupha Somnet yang dianggap 'permata' baru dalam dunia lumba basikal negara.

"Pada ACC kali ini, saya lihat ada pelumba remaja yang telah menunjukkan prestasi yang cukup mengagumkan. Ini juga memberi satu petanda yang baik bahawa Malaysia sentiasa melahirkan pelumba-pelumba muda yang berpotensi bergelar juara dunia.

"Contohnya, Maq (Arfy) dan Jupha beraksi dengan cukup baik di Korat. Mereka baru berusia 18 tahun tetapi cukup matang ketika berlumba. Saya yakin mereka mempunyai masa depan yang cukup cerah jika terus mendapat bimbingan serta latihan yang efektif," ujarnya.

Pada ACC kali ini, Arfy yang disebut-sebut jelmaan jaguh keirin negara, Mohd. Azizulhasni Awang berjaya mencuri tumpuan apabila menyambar tiga pingat termasuk emas dalam acara pecut individu lelaki junior.

Jupha pula turut menampilkan prestasi cemerlang dengan membawa pulang lima pingat - empat perak bagi acara 500 meter ujian masa individu wanita junior, scratch, pecut berpasukan dan kejar mengejar berpasukan serta satu gangsa (keirin).

Jurulatih skuad junior negara, Suod Hussain menjadi individu paling gembira melihatkan prestasi cemerlang yang dilakar Arfy dan Jupha di Korat.

"Sejak awal lagi, kita mengharapkan Arfy dan juga Jupha mampu menghadirkan kejayaan cemerlang buat skuad junior negara pada kejohanan kali ini. Ternyata mereka telah membuktikan kepada saya bahawa mereka mampu menggalas amanah yang diberikan.

"John Beasley (ketua jurulatih negara) sendiri telah memberitahu saya bahawa Arfy dan Jupha mempunyai masa depan yang cerah jika bakat dan skil mereka terus digilap. Saya hanya berharap Arfy dan Jupha diserapkan dalam skuad elit selepas ini," kata Suod.

Suod menambah, biarpun penampilan pelumba-pelumba remaja dalam acara lebuh raya kurang menyinar tetapi dia mempunyai sebab untuk tidak menuding jari ke arah anak-anak buahnya itu.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita tidak meletakkan sasaran dalam acara lebuh raya tetapi kalau dapat (pingat), ia satu bonus.

"Jadi kita banyak melakukan persiapan dalam acara trek bagi menghadapi ACC 2011 di Korat. Disebabkan itu, saya memilih untuk membuat persiapan lebih rapi dalam acara trek kerana ia menawarkan pingat yang lebih banyak berbanding acara lebuh raya.

"Acara lebuh raya yang kita sertai lebih kepada pendedahan dan medan mencari pengalaman kepada pelumba-pelumba remaja. Menerusi kejohanan ini juga, saya lihat ada beberapa pelumba yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti Yaya (Nurul Nadia Mohd. Fauzi) dan Lauretta Eva (Adrian).

"Dalam sukan lumba basikal, kita kena pilih sama ada mahu beraksi dalam acara trek atau lebuh raya. Bagi pelumba-pelumba junior yang ada sekarang, mereka akan beraksi dalam kedua-dua acara.

"Hanya selepas memasuki skuad senior (elit), baru mereka akan membuat pilihan mahu beraksi dalam acara trek, lebuh raya atau kedua-duanya sekali. Bagaimanapun, semuanya itu turut bergantung kepada keputusan jurulatih," katanya.

Dalam pada itu, Suod berkata, kejayaan yang ditempa anak-anak buahnya sehingga kini tidak mampu direalisasikan jika mereka tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada MSN dan juga ISN kerana banyak membantu dalam program pembangunan atlet. Projek Pelapis yang diusahakan selama ini telah membuahkan hasil dengan lahirnya beberapa pelumba muda berbakat.

"Jika tidak ada bantuan sebegini, agak sukar untuk kita mencungkil bakat-bakat muda dan usaha ini harus berterusan agar kita dapat melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba pelapis yang berbakat," katanya.

Dengan berakhirnya ACC 2011 kelmarin, maka Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sudah boleh tersenyum seketika kerana pencapaian skuad negara kali ini berjaya memperbaiki prestasi pada ACC 2010 di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Pujian harus diberikan kepada skuad elit kerana sekali lagi menyelamatkan maruah negara apabila mereka menyumbang 15 pingat secara keseluruhannya, sekali gus membayangi kutipan sepuluh pingat yang dibawa pulang dari bumi Sharjah tahun lalu.

Daripada kutipan 15 pingat tersebut, skuad trek elit menyambar satu emas, satu perak dan lima gangsa manakala skuad trek junior negara pula membawa pulang satu emas, enam perak dan satu gangsa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Shakir, Fakri berjaya temui sentuhan jaringan

Posted:

Shakir, Fakri berjaya temui sentuhan jaringan

Shakir, Fakri berjaya temui sentuhan jaringan

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my


SHAKIR (belakang) menjadi taruhan utama skuad kebangsaan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam, Rabu ini.


DUA penyerang skuad Olimpik kebangsaan, Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani berjaya menemui sentuhan jaringan menjelang pertemuan dengan Pakistan pada Rabu ini.

Aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 itu bakal berlangsung di Stadium Shah Alam manakala aksi kedua pula dijadualkan berlangsung di Lahore, Pakistan pada 9 Mac depan.

Petang semalam berlangsung perlawanan simulasi membabitkan pemain utama skuad Olimpik kebangsaan menentang pemain simpanan Harimau Muda A di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Keputusannya, skuad pemain utama itu berjaya mencatat kemenangan 4-0 menerusi dua jaringan Shakir dan masing-masing satu gol oleh Fakri dan Gary Steven Robbat.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, dia lega kerana Shakir dan Fakri akhirnya menamatkan kemarau gol sepanjang mereka beraksi bersama Kedah dan Negeri Sembilan musim ini.

"Walaupun sekadar aksi persahabatan, tapi tahap permainan pada petang ini (semalam) cukup tinggi. Apa yang penting, Shakir dan Fakri menjaringkan gol.

"Saya harap ia dapat meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk bergandingan di jentera serangan pada aksi bertemu Pakistan nanti," katanya ketika ditemui petang semalam.

Sentuhan Shakir, 22, dan Fakri, 22, ditagih selepas dua penyerang utama Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim terpaksa diketepikan akibat kecederaan baru-baru ini.

Pada aksi semalam, kesebelasan bayangan untuk aksi Rabu ini menampilkan Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Affize Faisal Mamat, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, K. Gurusamy, Irfan Fazail, Fandi Othman, Shakir dan Fakri.

Pada babak kedua, Kim Swee melakukan tujuh pertukaran dengan memasukkan Gary Steven, Izham Tarmizi Roslan, Wan Zack Haikal Wan Noor, D. Saarvindran, S. Sivanesan, Faizal Muhamad dan Faizal Abu Bakar.

"Selepas menilai prestasi kesemua 25 pelatih, saya akan umumkan senarai 18 pemain untuk aksi Rabu ini pada esok (hari ini)," jelas Kim Swee.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen