Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Pentas senior

Posted: 18 Jul 2011 10:15 AM PDT

SEMBILAN pemain senior yang dipanggil menyertai skuad pilihan Malaysia bukan pemain 'buangan' sebaliknya, jurulatih negara Ong Kim Swee menegaskan pemain berpengalaman itu akan menjadi tonggak utama dalam membimbing pemain muda menghadapi barisan bintang Chelsea dalam perlawanan persahabatan Khamis ini.

"Tidak, tidak, mereka ini pemain berpengalaman," kata Kim Swee mengenai kehadiran Mohd Badri Mohd Radzi, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam (Kelantan), Joseph Kalang Tie (Terengganu), Hairudin Omar, Mohd Farizal Marlias (Terengganu), Shahrulnizam Mustapa (Perak) dan Mohd Amri Yahyah (Selangor).


Pemain senior ini mendapat tempat dalam skuad pilihan Malaysia selepas tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal.

Menurut Kim Swee, selepas seminggu menjalani latihan, pemain senior menunjukkan sikap baik dalam membimbing pemain muda yang majoriti skuad Olimpik.


"Saya harap pemain akan semakin serasi pada hari perlawanan dan pemain senior ini akan dapat membimbing pemain muda ke peringkat lebih jauh.


"Kali ini saya akan turunkan dalam 20 atau 21 pemain untuk beri peluang kepada pemain senior membuktikan mereka mampu mendapat tempat dalam skuad kebangsaan. "Pada masa sama ini adalah peluang keemasan buat pemain skuad Olimpik untuk menimba pengalaman," katanya ketika ditemui selepas sidang media perlawanan skuad pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea semalam.

Turut serta pada sidang media itu, pengurus The Blues, Andre Villas-Boas yang tiba bersama 26 pemain bagi Jelajah Asia 2011 ke negara ini semalam.


Pasukan kebangsaan tidak diturunkan bagi berdepan Chelsea kerana mahu memberi tumpuan kepada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar Sabtu ini.

Kim Swee berkata, pendekatannya berbeza berbanding sewaktu Harimau Malaya tumpas 4-0 dan 6-3 di tangan Arsenal dan Liverpool sebelum ini.


"Bagi saya pasukan kebangsaan mempunyai persiapan berlainan kerana pasukan kebangsaan mahu mendapatkan strategi dengan mencuba pemain. "Saya tidak boleh katakan ini persiapan skuad Olimpik kerana tujuh pemain saya bersama skuad senior dan untuk mengimbangi pasukan ini, saya terpaksa memanggil pemain berpengalaman," katanya yang membimbing skuad Olimpik mara ke saingan peringkat kumpulan kelayakan Olimpik London 2012 bermula September ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Boas serius

Posted: 18 Jul 2011 10:08 AM PDT

PENGURUS baru Chelsea, Andre Villas-Boas berjanji akan menurunkan kesemua pemain bintangnya pada perlawanan persahabatan dengan skuad pilihan Malaysia, Khamis ini, sekali gus menyajikan satu lagi aksi menarik kelab Liga Perdana Inggeris selepas Arsenal dan Liverpool minggu lalu.

Pengendali kelahiran Portugal itu tiba di Kuala Lumpur semalam bersama skuad 26 pemain, antaranya penyerang, Fernando Torres, Nicolas Anelka, pemain tengah Frank Lampard dan kapten John Terry.


Villas-Boas yang berusia 33 tahun - sebaya dengan Lampard nyata amat gembira dapat bersama skuad the Blues ke Malaysia dalam siri Jelajah Asia 2011 meskipun kelabnya ketika ini turut sibuk dengan urusan jual beli pemain sebelum jendela perpindahan pemain berakhir 31 Ogos ini.

"Kami gembira dapat berkongsi pengalaman dengan anda di sini. Jelajah ini penting untuk kami menjaga pasaran di Asia kerana kami memiliki ramai peminat di Asia.


"Ia bukan sesuatu yang baru buat pasukan ternama Eropah mengadakan jelajah ke luar negara, bukan saja untuk menghargai sokongan peminat di luar sebaliknya untuk kami berkumpul bersama. Tempoh 15 hari Jelajah Asia ini penting untuk kami tidak kira anda pergi ke Asia, Eropah atau Amerika, ia tetap penting untuk mendekati peminat yang memberi sokongan padu kepada anda," katanya yang ditemui pada sidang media Jelajah Asia Chelsea 2011.


Turut hadir pada majlis itu, jurulatih skuad Olimpik negara Ong Kim Swee yang diberi tanggung jawab mengendalikan skuad pilihan Malaysia, Lampard dan Branislav Ivanovic.

Sebelum memulakan Jelajah Asia mereka, the Blues, juara empat kali liga dan menamatkan kempen musim lalu di tangga kedua terlebih dulu diuji dalam perlawanan persahabatan pra musim dengan menewaskan Portsmouth 1-0 Sabtu lalu.


Dan bagi perlawanan dengan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Villas-Boas yang mengambil alih tempat Carlo Ancelotti tanpa berselindung menyatakan akan menggunakan strategi sama dengan menurunkan dua pasukan yang berbeza pada setiap babak.

"Kami akan terus menggunakan pendekatan sama seperti dalam perlawanan pertama dengan menurunkan dua pasukan berbeza untuk setiap 45 minit permainan seperti yang kami gunakan ketika menentang Wycombe dan Portsmouth.


"Kami cuba untuk membentuk corak permainan baru dan mengumpul semua idea. Saya berharap pada 7 Ogos ini, kami sudah bersedia untuk menentang Stoke City (perlawanan pertama liga)," kata bekas jurulatih Porto itu.


Sebelum ini Chelsea bertandang ke Kuala Lumpur pada 2003 bagi Piala Barclays Asia 2003 dan Jelajah Asia 2008. The Blues menang kedua-dua pertemuan, menewaskan Malaysia dengan keputusan 4-1 dan 2-0.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan