Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Hazwan cetus impak

Posted: 30 Aug 2011 07:32 AM PDT

PERCATURAN jurulatih Ong Kim Swee menyenaraikan penyerang muda Ahmad Hazwan Bakri bersama skuad Olimpik negara menjalani latihan di Slovakia bulan lalu nyata berbaloi apabila penyerang muda dari Kuala Lumpur itu mula memberikan impak kepada pasukan.

Biarpun tidak sampai dua bulan bersama skuad muda negara itu, Ahmad Hazwan menyerlahkan potensi sebenar dirinya dengan menyumbat dua gol dalam lima perlawanan persahabatan dengan skuad liga Slovakia dan Hungary ketika menewaskan Tatran Liptovsky Mikulas 2-1 dan MFK Dolny Kubin 2-0.


Bagi Kim Swee, beliau puas hati prestasi dipamer Ahmad Hazwan apatah lagi ketika penyerang asal skuad Olimpik masih kurang menjadi dalam mencipta jaringan.

"Ahmad Hazwan antara pemain baru yang menonjol dalam skuad Olimpik. Dia menunjukkan prestasi baik dari perlawanan ke perlawanan.


"Apa yang menarik mengenai pemain ini adalah dia memiliki disiplin baik untuk dijadikan contoh kepada pemain lain, tidak kiralah pemain kebangsaan atau Harimau Muda A yang berada dalam skuad Olimpik ini," katanya.


Ahmad Hazwan antara pemain baru yang dipanggil Kim Swee bagi mengikuti latihan dan siri perlawanan persahabatan di Slovakia selain Azrul Azmi (Felda United), Muhamad Syazwan Tajuddin, Muhd Nazmi Faiz Mansor (Harimau Muda B), Mohd Azrif Nasrulhaq (Selangor PKNS) dan Mohd Izuan Solahuddin (Kelantan).

Kim Swee berkata, beliau tidak mahu memberikan tekanan kepada Ahmad Hazwan sebaliknya mahu memberi ruang kepada pemain berusia 20 tahun itu untuk meningkatkan prestasi dan menyesuaikan diri bersama skuad Olimpik.


"Saya tidak perlu terlalu mendesak Ahmad Hazwan dengan meletakkan bebanan terlalu tinggi sebaliknya mahu dia memberi tumpuan menjadi pemain lebih baik. Dia pemain berbakat, kehadirannya akan memberi saingan kepada pemain lain," katanya.

Ketika ini barisan serangan negara dibarisi Ahmad Fakri Saarani, A Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd Izuan Solahuddin dan Izzaq Faris Ramlan.


Skuad Olimpik akan memulakan kempen Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik 2012 London menentang Jepun di Stadium Tosu pada 21 September ini.

Norizman tekad terus konsisten

Posted: 30 Aug 2011 07:28 AM PDT

NORIZMAN Ismail mahu memastikan tunggangannya pada baki empat pusingan saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim ini kekal konsisten bagi membolehkannya dinobat juara mutlak kategori Perdana CP130.

Norizman yang mewakili pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing kini mendahului pelumba lain dengan 87 mata selepas enam pusingan sekali gus menyaksikan peluangnya untuk muncul juara pada musim ini semakin terbuka luas.


"Mengikut kiraan matematik, saya perlu berada pada kedudukan lima terbaik pada baki empat pusingan ini untuk kekal di tangga teratas pungutan mata dan akhirnya menggenggam kejuaraan.

"Tapi ia bukanlah satu tugas mudah kerana saingan pelumba lain sangat sengit. "Saya perlu berhati-hati pada setiap pusingan selepas ini dan mengekalkan tunggangan konsisten seperti enam pusingan terdahulu.


"Saya harap tidak membuat kesilapan untuk terus ungguli kedudukan," katanya.


Musim lalu, nasib tidak menyebelahi Norizman apabila hanya muncul pelumba kedua terbaik keseluruhan selepas tewas tipis kepada Hafiz Syahrin Abdullah yang dinobat juara.

Untuk itu, pelumba berusia 26 tahun yang pernah muncul juara kategori expert pada 2005 itu tidak mahu dihambat kekecewaan lagi pada saingan musim ini selepas selesa mendahului pelumba lain ketika ini.


"Tahun lalu memang saya kecewa kerana tewas pada saat-saat akhir. "Harap perkara sama tidak berulang pada musim ini kerana saya memang mengimpikan kejuaraan.

"Sebab itu seperti saya katakan tadi, saya perlu kekal konsisten bagi baki saingan musim ini. Andai dapat muncul pemenang pada dua pusingan selepas ini, saya akan muncul juara," katanya.


Baki empat pusingan lagi ialah di Kluang (24 hingga 25 September), Melaka (29 hingga 30 Oktober), Sepang (12 hingga 13 November) dan Pulau Pinang (3 hingga 4 Disember).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan