Sukan
FINAL impian kali keempat, tahun ini antara dua jagoan badminton dunia - Lee Chong Wei dan Lin Dan - semakin menjadi realiti apabila masing-masing melepasi halangan suku akhir Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.
Bagaimanapun, kedua-dua jaguh itu yang sudah bertemu tiga kali di final, tahun ini dengan rekod dua kemenangan milik Lin Dan di final Terbuka Korea dan Kejohanan Dunia dan Chong Wei menang sekali (Seluruh England), terpaksa memerah keringat sebelum menewaskan lawan masing-masing.
Chong Wei, pilihan pertama, cemas apabila tewas pada set pertama 21-23, namun juara bertahan itu bingkas bangkit pada set kedua dan penentuan menundukkan jaguh tuan rumah, Kenichi Tago 21-7, 21-18 dalam saingan 56 minit. Walaupun Chong Wei tewas set pertama, saya sedikit pun tidak bimbang. Saya yakin dia mampu bangkit dan menangani tekanan perlawanan dengan baik seperti dibuktikan pada set kedua dan penentuan, kata jurulatih Chong Wei, Tey Seu Bock, semalam.
Lin Dan turut terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menebus semula kekalahan kepada Chen Jin di separuh akhir China Masters, minggu lalu apabila menundukkan rakan negara, 20-22, 21-14, 22-20 dalam tempoh satu jam lapan minit.
Bagaimanapun, sebelum Chong Wei dan Lin Dan bertembung dalam final impian itu, kedua-duanya perlu menewaskan lawan masing-masing di separuh akhir hari ini dengan Chong Wei akan menentang pilihan ketiga dari Denmark, Peter Gade.
Gade mara selepas mudah menyingkirkan Simon Santoso dari Indonesia 21-14, 21-15, manakala Chen Long yang juga pilihan keempat akan menjadi penghalang Lin Dan di separuh akhir selepas mudah menundukkan seorang lagi wakil Denmark, Jan O Jorgensen 21-14, 21-13.
Turut mengiringi Chong Wei ke separuh akhir ialah pasangan emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menundukkan beregu muda negara, Goh Wei Shem-Lim Khim Wah 21-16, 19-21, 21-17.
Pilihan ketiga itu bagaimanapun berdepan cabaran getir apabila dijadualkan menentang beregu nombor satu dunia dari China, Cai Yun-Fu Haifeng yang hanya memerlukan 24 minit menewaskan Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan dari Indonesia 21-12, 21-14.
0 ulasan:
Catat Ulasan