Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Gementar undang padah

Posted: 23 Sep 2011 08:51 AM PDT

SIKAP terlalu menghormati kehebatan Jepun mencetuskan rasa gementar skuad Olimpik negara hingga mereka gagal mempamerkan aksi sebenar ketika tumpas 0-2 pada perlawanan pertama Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Tosu, Rabu lalu.

Menurut tonggak pertahanan tengah negara, Mohd Muslim Ahmad, permainan mereka terjejas khususnya pada babak pertama permainan sehinggakan mereka tertekan dengan asakan bertali arus pasukan tuan rumah.


"Jepun pasukan yang hebat tapi kita tak boleh terlampau menghormati mereka, sebab itu pemain-pemain agak takut-takut pada separuh masa pertama. Tapi kami bermain lebih baik pada babak kedua selepas mendapat teguran daripada jurulatih (Ong Kim Swee).

"Kami sudah mencuba yang terbaik untuk memberi tentangan kepada Jepun tapi memang tak ada rezeki apabila kalah 2-0. Tapi masih ada perlawanan timbal balik dengan Jepun selepas ini jadi kami masih ada peluang untuk menebus kesilapan," katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba dari Fukuoka kelmarin.


Pada perlawanan itu, skuad bawah 22 tahun negara yang dibimbing Kim Swee tumpas menerusi jaringan setiap babak Keigo Higashi dan Ryohei Yamazaki biarpun berhempas pulas bertahan sejak wisel permulaan dibunyikan.


Muslim, pemain Harimau Muda A yang kini berusia 22 tahun bagaimanapun berpuas hati dengan prestasinya selepas dikritik hebat ketika skuad kebangsaan tumpas 3-5 di tangan Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu.

"Saya sudah dapat rentak semula pada perlawanan semalam (kelmarin), memang sebelum ini ramai yang meragui kemampuan saya apabila kalah teruk dengan Singapura. Tapi saya sudah berjaya mendapat motivasi diri dan yakin mampu memberikan aksi lebih baik selepas ini," katanya yang semakin membentuk persefahaman jitu di bahagian pertahanan tengah bersama Mohamad Fadhli Shas.


Kekalahan di tangan pasukan pilihan Jepun itu meletakkan Malaysia di tangga terakhir Kumpulan C. Syria yang menewaskan Bahrain 3-1 menerajui tangga teratas kumpulan dengan tiga mata diikuti Jepun dan Bahrain.

Skuad Olimpik negara bakal berdepan Syria 23 atau 24 November ini diikuti Bahrain pada 27 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


Malaysia beraksi buat kali pertama di Sukan Olimpik Munich 1972 dan kemudian layak beraksi sekali lagi di Moscow pada 1980 namun tidak mengambil bahagian kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Chong Wei unggul

Posted: 23 Sep 2011 08:45 AM PDT

JIKA dijadikan ukuran dan penilaian di atas kertas serta berdasarkan perbezaan ranking pemain Jepun, Kenichi Tago bukanlah lawan sebenar buat Datuk Lee Chong Wei yang kini menduduki ranking pertama dunia.

Begitupun Chong Wei terpaksa bermandi peluh sebelum dapat menewaskan Tago 21-23, 21-7, 21-18 dalam tempoh 56 minit untuk mara ke separuh akhir menentang pemain yang cukup sinonim dengannya, Peter Gade yang menewaskan pemain Indonesia Simon Santoso pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka Jepun, hari ini. Bagi jurulatih, Tey Seu Bock, Chong Wei sebenarnya tidak berdepan dengan masalah dan semuanya berjalan lancar sehinggalah di set ketiga apabila dilihat mula hilang fokus.


"Dia mungkin boleh menamatkan permainan lebih awal sekiranya dapat menumpukan perhatian. Melihat daripada kesilapan demi kesilapan dilakukan, Chong Wei mula mengikut rentak lawan. Apapun bagi saya dia tidak mempunyai sebarang masalah," katanya.

Kali terakhir dua pemain ini bertemu adalah setahun lalu di kejohanan Siri Super Terbuka Jepun dengan kemenangan mudah berpihak kepada Chong Wei.


Dalam pertarungan tiga set itu, Tago terlebih dulu mengejutkan Chong Wei dengan kemenangan 23-21 di set pertama biarpun pemain utama negara itu mendahului dengan selesa pada kedudukan 16-11.


Kealpaan Chong Wei akhirnya menghukum diri sendiri apabila Tago berjaya menyamakan kedudukan 18-18 dan episod kejar mengejar bermula sebelum kemenangan berpihak kepada Tago.

Chong Wei, yang memegang rekod 7-0 ke atas pemain Jepun itu, mudah menundukkan lawannya 21-7 pada set kedua.


Bagaimanapun, Chong Wei terus melakukan kesilapan pada set penentuan dengan membenarkan Tago yang sebelum itu ketinggalan sembilan mata untuk terus mengejarnya sebelum menang 21-18.

Sementara itu dalam acara beregu lelaki yang menemukan dua pasangan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menewaskan Goh Wei Shem-Lim Khim Wah 21-16, 19-21, 21-17 dalam masa 44 minit.


Kien Keat-Boon Heong, pilihan ketiga, bagaimanapun berdepan ranjau berduri pada separuh akhir hari ini apabila bertemu pilihan utama Cai Yun-Fu Haifeng dari China. Cai Yun-Haifeng, yang mendahului 7-4 ke atas pasangan Malaysia itu, menundukkan beregu Indonesia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan 21-12, 21-14 pada suku akhir semalam.


Namun, pada pertembungan terakhir antara kedua-dua pasangan itu, Kien Keat-Boon Heong menang straight set pada separuh akhir Seluruh England Mac lalu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan