Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Yunus tuntut keadilan

Posted: 17 Feb 2012 08:16 AM PST

"SAYA mahu menuntut keadilan," tegas atlet 4x400m negara Muhammad Yunus Lasaleh yang berasa dirinya teraniaya dan tampil membuat laporan polis selepas disahkan positif doping sampel B.

Keputusan Sampel B diterima pada 14 Februari lalu daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Indonesia (Inasoc) yang mengesahkan atlet kelahiran Tawau, Sabah itu positif doping di temasya Sukan Sea, Indonesia, November lalu.


Yunus tiba di Balai Polis Brickfields di Seri Petaling, pada jam 3.30 petang semalam untuk membuat laporan bagi memperjelaskan dan mempertahankan dirinya selain mendedahkan punca di sebalik semua kejadian yang menyebabkan dia didapati positif dadah metandienone metabolitem. Dia turut diiringi jurulatih, K Jayabalan, Hamberi Mahat dan 10 atlet. "Saya rasa dianiaya. Laporan ini semata-mata untuk membersihkan nama saya dan memperjelaskan perkara sebenar yang berlaku kerana saya sangat kecewa.

"Saya mahu semua orang tahu apa yang terjadi bukan disengajakan. Saya mahu menuntut keadilan dan berharap laporan ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terbabit agar lebih berhati-hati dan polis juga dapat mengambil tindakan terhadap orang yang menjadi punca semua kejadian ini," katanya.


Memperjelaskan isi kandungan, Yunus berkata, laporan polis itu menceritakan perkara yang berlaku di Miri dan Brunei apabila dia menerima pil dan suntikan berlainan warna iaitu merah dan putih.


"Semuanya bermula pada 23 September lalu apabila seramai 14 atlet olahraga negara bertolak ke Miri, Sarawak untuk menjalani latihan pusat sebagai latihan fasa terakhir menghadapi Sukan Sea bersama jurulatih dari Bulgaria, Vasco Nedyalkov.

"Pada 15 Oktober, kami beralih ke Brunei dengan kekerapan suntikan berubah apabila saya menerima suntikan setiap pagi di lengan kiri. "Suntikan itu diterima daripada seorang doktor Bulgaria yang dibawa Datuk Karim Ibrahim (Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia) yang tidak mahu menerangkan secara lebih jelas apa sebenarnya suntikan itu," katanya.


Pingat emas dimenangi Yunus dan kuartet 4x400m itu 'bagaikan telur di hujung tanduk' dan hanya menunggu masa untuk ditarik balik selain bakal dikenakan hukuman penggantungan sekurang-kurangnya dua tahun mengikut peraturan Agensi Anti Doping Dunia (Wada).

Bagaimanapun, hukuman itu boleh dikurangkan andai jawatankuasa siasatan yang menyiasat punca kejadian mendapati atlet itu tidak bersalah.


Yunus yang tenang selepas membuat laporan polis berkata, dia kini hanya menunggu keputusan hukuman dikenakan kepadanya dan andai hukuman itu dalam tempoh yang panjang, mungkin dia terpaksa melupakan olahraga dan memilih untuk menyambung pelajaran.



Perak sah tempat

Posted: 17 Feb 2012 08:10 AM PST

PERAK memastikan tiket ke pusingan kedua Piala FA apabila menyingkirkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keputusan 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Jaringan tunggal pemain import, Michal Kubala menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti seawal minit keempat sudah cukup untuk membolehkan skuad kendalian Norizan Bakar melepasi halangan pusingan pertama dan menanti pemenang antara juara bertahan Piala FA, Terengganu yang turut menentang PDRM malam ini.


Perak yang menguasai perlawanan bagaimanapun berpeluang menutup terus kebangkitan ATM apabila mendapat beberapa peluang menambah jaringan menerusi Kubala selain jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada masa kecederaan penghubung babak pertama yang tidak disahkan kerana ofsaid. ATM yang hanya sekali mengancam kubu Perak pada babak pertama menerusi rembatan kencang penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-18 cuba menggandakan tekanan pada babak kedua untuk mencari gol penyamaan.

Namun kemampuan kapten Perak, Shahrulnizam Mustapa menguasai bahagian tengah bergandingan dengan Kubala memberi kesukaran kepada ATM untuk memecah bentang tuan rumah selain tindakan Norizan yang memasukkan penyerang import dari Serbia, Lazar Papovic pada awal babak kedua.


Situasi itu menyebabkan tuan rumah semakin rancak menyerang kubu ATM walaupun pelawat tidak berputus asa apabila cuba menggunakan hantaran bola jauh dan gerakan solo yang gagal membuahkan sebarang hasil.


Lima minit terakhir perlawanan menyaksikan ATM mengasak habis-habisan untuk mencari gol penyamaan dengan peluang terakhir mereka hadir menerusi rembatan Irwan Fadhli Idrus yang berjaya diselamatkan pemain pertahanan Perak, K Nanthakumar ketika penjaga gol Mohd Nasril Nourdin sudah tertewas.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan