Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Zulfadli berada dalam dilema

Posted:

Zulfadli berada dalam dilema

Zulfadli berada dalam dilema

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

ZULFADLI mendapat tawaran daripada BAM untuk menjalani kem latihan skuad Piala Thomas negara.


ZULKIFLI SIDEK, bapa kepada juara badminton remaja dunia, Zulfadli menyambut baik keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menawarkan anaknya itu untuk menjalani latihan di bawah badan induk tersebut.

Bagaimanapun, Zulkifli (gambar kecil) menegaskan, beliau perlu mengkaji terlebih dahulu syarat yang mungkin ditetapkan BAM sebelum membenarkan Zulfadli menyertai latihan pusat Piala Thomas di Stadium Juara, Bukit Juara bermula 5 Mac ini.

Selaku jurulatih Zulfadli, Zulkifli berkata, tindakan tersebut bertujuan bagi memastikan pemain berusia 19 tahun itu yang kini berada di bawah naungan Kuala Lumpur Racket Club (KLRC) tidak mendapat sebarang masalah khususnya melibatkan pihak penaja.

Zulkifli berkata, Zulfadli mendapat tajaan daripada pengeluar barangan sukan dari Denmark, FZ Forza iaitu pakaian dan raket selama tiga tahun sejak 1 Oktober tahun lalu.

"Saya belum mendapat surat tawaran rasmi lagi (mengenai tawaran menjalani latihan kepada Zulfadli) daripada pihak BAM.

"Sekiranya BAM menetapkan syarat bahawa setiap pemain perlu memakai peralatan sukan yang ditetapkan badan induk itu, ia mungkin akan menimbulkan masalah.

"Ini kerana Zulfadli sudah mendapat tajaan daripada FZ Forza dan jika dia memakai peralatan atau pakaian selain penaja itu, kami mungkin akan disaman," kata Zulkifli ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Zulkifli tetap berharap tiada halangan yang akan dihadapi oleh anaknya itu untuk menyertai kem latihan pasukan negara kelak.

"Tetapi sekiranya syarat itu menjadi halangan (kepada Zulfadli) saya akan cuba berbincang dengan pihak pengurusan BAM.

"Malah saya juga akan berjumpa dengan FZ Forza dan mungkin akan mengadakan pertemuan antara pihak penaja itu dengan BAM bagi membuat perbincangan selanjutnya," ujarnya.

Selain mendapat tawaran untuk mengikuti latihan pusat Piala Thomas, Zulfadli turut disenaraikan bagi menghadapi Piala Axiata yang bermula 23 Mac ini.

Zulfadli akan mengetuai Malaysia (Kumpulan B) yang dibarisi pemain Bawah 21 tahun, manakala Kumpulan A disertai barisan pemain lelaki elit negara.

"Saya mahu berterima kasih kepada BAM kerana membuka pintu mereka dengan menyenaraikan Zulfadli untuk mewakili latihan skuad negara.

"Bagi saingan Piala Axiata, Zulfadli sudah pasti tersenarai, tetapi bagi kempen Piala Thomas, tempat Zulfadli masih belum terjamin," ujar Zulkifli.

Buru juara Remaja Asia

Posted:

Buru juara Remaja Asia

Buru juara Remaja Asia

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my


MOHD. ALI (tengah) menerima jersi skuad Malaysia daripada Azmi (kiri) selepas majlis pelancaran logo Kejohanan Hoki Kelayakan Remaja Asia 2012 di Ayer Keroh semalam.


BUKAN sesuatu yang mustahil buat Malaysia meraih status selaku juara Kejohanan Hoki Kelayakan Remaja Asia 2012 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka bermula 3 Mei depan.

Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Datuk Nur Azmi Ahmad, pihaknya yakin skuad Projek 2013 itu mampu melakar kejutan dengan muncul juara pada kejohanan selama 10 hari itu.

Menurut Nur Azmi, keyakinan itu berdasarkan prestasi skuad negara ketika menjuarai Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor pada November tahun lalu selepas menewaskan Australia 3-2 di pentas final.

"Kita akan menghantar pasukan yang sama muncul juara (Piala Sultan Johor B-21) untuk bertanding pada Kejohanan Hoki Kelayakan Remaja Asia 2012 selain diperkuatkan lagi tiga pemain kebangsaan.

"Berdasarkan prestasi semasa, kita kini mempunyai sebuah pasukan yang mantap selain pemain juga berjanji untuk memenangi kejohanan itu, sekali gus menempatkan diri pada Kejohanan Hoki Remaja Dunia yang akan diadakan di India pada November tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian logo Kejohanan Hoki Kelayakan Remaja Asia 2012 di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam

Nur Azmi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Hoki Melaka berkata, terdapat 10 pasukan yang akan mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan iaitu Malaysia, Singapura, Pakistan, Iran, Sri Lanka, Bangladesh, China, India, Jepun dan Korea melibatkan kira-kira 500 pemain dan pegawai.

"Pasukan yang mengambil bahagian akan dibahagikan kepada dua kumpulan di mana tiga pasukan terbaik akan layak mewakili Asia ke Kejohanan Hoki Remaja Dunia pada tahun depan.

"Pada kejohanan itu nanti, sejumlah 16 negara terbaik dari seluruh dunia akan bertanding untuk bergelar juara dunia," katanya.

Sementara itu, Mohd. Ali berkata, kejohanan yang menelan kos berjumlah kira-kira RM1.2 juta itu akan membawa banyak kebaikan kepada Melaka.

"Melaka sebelum ini sudah banyak menganjurkan program di peringkat antarabangsa dan sekali lagi diberi amanah untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan hoki ini.

"Ia sekali gus memberi peluang kepada negeri ini menunjukkan kemampuan dalam menguruskan kejohanan di peringkat antarabangsa selain dapat menjadi platform bagi mempromosikan sektor pelancongan di Melaka," katanya.

Cardiff City sedia hulur bantuan

Posted:

Cardiff City sedia hulur bantuan

Cardiff City sedia hulur bantuan

Daripada NORZASRUDIN
MOHAMED NOR
norzasrudin@yahoo.com.my


ASPEK pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi harus dipertingkat bagi melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti.


CARDIFF, Wales – Program pembangunan bola sepak negara perlu diberi nafas baharu dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa depan.

Selain mendapat pendedahan yang secukupnya, barisan pemain muda perlu mempelajari aspek-aspek penting dalam bola sepak dengan mengikuti latihan yang berjadual, komprehensif dan sistematik.

Pengurus Akademi Kelab Bola Sepak Cardiff City, Neal Ardley yakin pemain-pemain Malaysia mampu bermain di peringkat yang lebih tinggi sekiranya aspek pembangunan akar umbi dipertingkatkan.

"Di sini (Akademi Cardiff City), terdapat seramai 127 pemain muda menjalani latihan dalam program elit kami," kata Ardley kepada pemberita Malaysia di Universiti Glamorgan Sport Park di Treforest, selatan Wales semalam.

"Situasi tersebut tidak berlaku dalam tempoh sehari, tetapi kami mengambil masa lima tahun untuk mencapainya. Ia diperoleh menerusi program latihan remaja yang kami gunakan di akademi ini.

"Perkara yang paling penting adalah memberi peluang kepada golongan kanak-kanak bermain dan meluangkan waktu bermain secara berjadual.

"Setiap tahun, seramai 50,000 pemain akan mengikuti program latihan kami di beberapa buah sekolah di selatan dan tengah Wales. Setiap program dikendalikan oleh jurulatih dan skuad peninjau kami.

"Semakin ramai kanak-kanak bermain bola sepak, semakin ramai pemain berbakat yang akan kita peroleh."

Ardley yang meluangkan masa selama 11 hari untuk mengendalikan klinik kejurulatihan di seluruh Malaysia tahun lalu berkata, tunjuk ajar jurulatih adalah aspek yang paling penting dalam meningkatkan pembangunan bola sepak negara.

"Menjadi seorang jurulatih yang baik adalah perkara yang sukar sangat sukar untuk dicapai. Ilmu ini akan diperoleh dalam satu tempoh yang panjang dan barisan jurulatih ini perlu dididik secara berterusan.

"Ketika saya berada di Malaysia, saya melihat bahawa jurulatih remaja yang ada sangat ghairah tentang permainan tetapi mereka tidak mempunyai teknik yang betul untuk mengajar pemain dalam kumpulan umur ini."

Menurut Ardley, edisi kedua Liga Bola Sepak Bawah 12 Tahun 1Malaysia Cardiff City (1MCC) yang akan bermula di Sungai Buloh pada 3 Mac ini dianggap sebagai medan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat pemain muda.

Menerusi kejohanan itu juga para pemain yang dikenal pasti akan diberi peluang untuk menjalani ujian percubaan di Akademi Cardiff.

Sebanyak 32 kelab bola sepak, termasuk dua pasukan dari Pulau Pinang dan satu dari Perak akan berentap pada kejohanan tersebut.

Dalam masa yang sama, Ardley berkata, peluang pemain Malaysia untuk beraksi bersama Cardiff agak sukar disebabkan beberapa faktor.

Jelasnya, dua faktor utama yang menghalang pemain tempatan untuk 'melebarkan' sayap ke Eropah adalah masalah permit kerja dan kedudukan skuad kebangsaan Malaysia dalam ranking dunia.

Meskipun memenuhi kriteria untuk beraksi dalam liga domestik di England, dua masalah itu akan menyekat hajat langkah mana-mana pemain negara.

Itulah yang berlaku kepada dua pemain negara - Mohd. Safee Sali dan Safiq Rahim yang pernah menjalani sesi ujian bersama kelab Liga Kejuaraan England itu.

Bagaimanapun, Ardley yakin impian para pemain negara akan menjadi kenyataan sekiranya aspek pembangunan di peringkat akar umbi dan ranking skuad Malaysia berjaya diperbaiki.

"Buat masa ini, peluang pemain Malaysia untuk bermain di kelab ini (Cardiff City) boleh dianggap sebagai sesuatu yang sukar. Banyak aspek perlu diambil kira termasuk masalah permit kerja dan ranking FIFA.

"Namun, kami mengalu-alukan kedatangan pemain dan jurulatih Malaysia di sini. Mereka boleh menjalani latihan di akademi kami, menggunakan segala kemudahan yang ada, berkongsi idea dan menyertai perlawanan yang kompetitif.

"Saya yakin, segala ilmu yang diperoleh di sini mampu membantu pembangunan skuad bola sepak Malaysia," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan