Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Hafiz pulang lebih awal

Posted:

Hafiz pulang lebih awal

Hafiz pulang lebih awal

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

HAFIZ gagal melepasi aksi kelayakan Seluruh England 2012 di Birmingham semalam.


ANGGOTA Pasukan Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj ternyata kecewa dengan kegagalan Muhammad Hafiz Hashim menempatkan diri pada pusingan pertama kejohanan badminton Seluruh England 2012.

Awal pagi semalam, Hafiz gagal membuktikan bahawa dia masih merupakan pemain perseorangan kedua terbaik negara apabila terkandas di peringkat kelayakan.

Meskipun menang pada aksi kelayakan pertama ke atas pemain Hong Kong, Chan Yan Kit 21-11, 21-15, namun ia masih belum cukup untuk menjamin tempat Hafiz ke pusingan pertama apabila dia tewas dalam aksi kedua kelayakan di tangan Chou Tien Chien 21-11, 15-21, 12-21 awal pagi semalam.

Kekalahan tersebut ternyata memalukan kerana Hafiz berada dalam ranking dunia lebih tinggi berbanding lawannya iaitu ke-32, manakala Tien Chien sekadar menghuni tangga ke-56.

James berkata, kegagalan Hafiz sememangnya suatu yang mengejutkan selepas dua pemain muda negara, Liew Daren dan Chong Wei Feng, masing-masing berjaya mengesahkan slot ke pusingan pertama.

"Saya memang kecewa dengan kekalahan Hafiz itu kerana Daren dan Wei Feng berjaya ke pusingan pertama.

"Yang pasti, keputusan itu bukan suatu yang baik buat Hafiz kerana bagi saya, dia masih merupakan pemain kedua terbaik negara selepas Datuk Lee Chong Wei," kata James ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, James berharap juara Seluruh England 2003 itu segera bangkit dan bekerja lebih keras menjelang kempen Piala Thomas di Wuhan Mei depan.

"Hafiz tidak ada pilihan lagi. Dia perlu bekerja keras ketika sesi latihan. Apabila dia pulang ke Malaysia nanti, dia akan menjalani latihan di bawah kendalian Hendrawan (jurulatih perseorangan) semula sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas.

"Saya harap, dia akan dapat melakukan latihan yang lebih terutama bagi memastikan fizikalnya benar-benar cergas sebagai persiapan menghadapi sebarang kejohanan ataupun perlawanan.

"Saya percaya, jika dia dapat meningkatkan lagi keupayaan fizikalnya, dia mampu beraksi dengan baik," jelas James.

Kegagalan Hafiz pada Seluruh England kali ini seharusnya memberi petanda jelas buat BAM untuk membuat keputusan yang benar-benar tepat bagi menyenaraikan pemain yang bakal menggalas cabaran skuad negara pada pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China Mei depan.

Jika kegagalan terus menghantui Hafiz, badan induk itu mungkin boleh meletakkan sandaran kepada barisan pemain muda negara bagi memikul tanggungjawab di Wuhan nanti.

Pusingan akhir Piala Thomas 2012 di Wuhan akan bermula 20 hingga 27 Mei depan.

'Jangan anggap diri

Posted:

'Jangan anggap diri <i>superstar</i>

'Jangan anggap diri superstar

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


DOE (kiri) didakwa mempunyai masalah disiplin.


DI sebalik pujian melambung yang diterima hasil kemenangan 1-0 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An dalam kempen Piala AFC kelmarin, ada pesanan ringkas yang sempat dititipkan Menteri Besar Terengganu kepada para pemain skuad Penyu.

Jelas Datuk Seri Ahmad Said (gambar kecil), para pemain Terengganu perlu sentiasa beringat akan tanggungjawab yang dipikul dan tidak sesekali berasakan diri mereka sebagai superstar dalam pasukan.

Lantas, penegasan awal diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) agar sentiasa memantau penyerang importnya, Francis Forkey Doe yang didakwa mempunyai masalah disiplin.

"Kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada semangat sepasukan dan setiap pemain mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.

"Jadi, kita tidak mahu ada pemain yang merasakan diri mereka sebagai superstar kerana ia hanya memberi kesan buruk kepada pasukan," katanya ketika ditemui selepas Karnival Remaja Terengganu di Kuala Terengganu kelmarin.

Terdahulu, timbul khabar angin apabila Doe yang juga penyerang kebangsaan Liberia dan pernah beraksi bersama kelab Mesir, Al-Ahly dikatakan enggan berlatih bersama pemain lain, selain kerap ponteng.

Perkembangan itu sekali gus dikatakan telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada pemain lain dan berkemungkinan mampu menjejaskan prestasi pasukan bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga-M).

"Kita bersedia memecat mana-mana pemain yang tidak mempunyai disiplin dan tidak mengikut arahan. Kita tidak mahu perkara ini berlaku dalam pasukan.

"Sebab itu juga saya beritahu pada Datuk Che Mat Jusoh (Presiden PBSNT) agar beri amaran terakhir kepada pemain itu atau kita singkir sahaja," katanya lagi.

Untuk rekod, Doe yang memiliki penyudah luar biasa kini telah merekodkan tujuh gol bersama Terengganu, termasuk satu gol dalam kempen Piala FA.

Ahmad turut memaklumkan beliau sentiasa memantau perkembangan skuad Penyu selain kerap mendapatkan maklum balas daripada peminat dan penyokong pasukan.

Malah, Ahmad secara terbuka mendesak PBSNT agar memantau pergerakan para pemain Terengganu bagi memastikan mereka bebas daripada terlibat sebarang aktiviti menjual perlawanan.

Desakan Menteri Besar itu dibuat dalam satu program bual bicara bersama media baru-baru ini ekoran prestasi `mencurigakan' yang dipamerkan Terengganu ketika menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super minggu lalu.

"Saya tengok sendiri perlawanan itu dan saya rasa macam ada yang tidak kena," jelasnya.

Ketika ini, Terengganu yang juga juara Piala FA musim lalu dan kini dibimbing Mat Zan Mat Aris berada di tangga ketiga Liga Super di belakang Kelantan dan Lions XII.

Chelsea lega, Di Matteo teruja

Posted:

Chelsea lega, Di Matteo teruja

Chelsea lega, Di Matteo teruja

BIRMINGHAM - Pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo memberitahu, mencapai sasaran untuk merebut kedudukan keempat Liga Perdana England adalah menjadi keutamaannya.

Beliau berkata demikian apabila 'dihujani' dengan pelbagai persoalan mengenai tempoh tugas sementaranya itu untuk menguruskan skuad utama di Stamford Bridge.

Di Matteo berjaya membantu kelab London itu mara ke peringkat suku akhir Piala FA selepas menewaskan Birmingham City 2-0 di St. Andrew awal pagi semalam.

Bekas pemain tengah Chelsea dan Itali itu dilantik oleh pemilik Chelsea, Roman Abramovich sehingga berakhirnya musim ini ekoran pemecatan Andre Villas-Boas pada Ahad lalu.

Namun, Di Matteo enggan mengulas sama ada beliau ingin meneruskan tugasnya itu selepas tamat musim ini.

"Saya sangat letih malam ini (semalam) dan saya perlu memikirkan pertemuan dengan Stoke City pada Sabtu ini. Saya hanya lebih mengutamakan perlawanan yang akan dihadapi Chelsea," kata Di Matteo.

Ketika perlawanan pusingan kelima itu berlangsung, penyokong Chelsea sering melaungkan nama bekas pengurus kelab London itu, Jose Mourinho untuk menggantikan Villas-Boas.

"Mourinho merupakan sebahagian daripada sejarah kelab ini. Beliau telah melakukan banyak kejayaan ketika membimbing Chelsea," tambah Di Matteo yang tidak berkecil hati.

Chelsea yang bakal berdepan Leicester pada saingan suku akhir Piala FA juga akan menghadapi misi yang sukar dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 1-3 kepada kelab Itali, Napoli pada 21 Februari lalu.

Kelab yang mendapat jolokan The Blues itu perlu menang besar pada aksi kedua pusingan kedua minggu depan (14 Mac) sekiranya mahu layak ke suku akhir saingan peringkat Eropah itu.

Dalam saingan liga domestik pula, Chelsea kini ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal yang berada di tempat keempat dengan berbaki 11 perlawanan lagi. - AFP

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen