Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Artikel 88 dikaji

Posted: 10 Apr 2012 10:04 AM PDT

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kesediaan mengkaji semula Artikel 88 Statut FAM yang mengakibatkan rakan sejawatnya, Tan Sri Annuar Musa dijatuhkan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan.

Beliau berkata, tindakannya untuk mengkaji semula Artikel itu bukan bertujuan mempertikai keputusan Jawatankuasa Tatatertib berhubung isu Annuar sebaliknya ingin mencari jalan penyelesaian sekiranya terdapat sebarang kelemahan.


"Saya mahu meneliti semua Artikel itu, mungkin ada yang perlu dikaji semula, menambah Artikel baru demi kebaikan," katanya selepas sidang media pengumuman Jelajah Asia 2012 Arsenal ke Malaysia semalam.

Selain itu Tengku Abdullah turut mempertahankan kenyataannya berhubung isu Annuar, Sabtu lalu yang disifatkannya hanya berniat untuk membantu meredakan ketegangan yang tercetus biarpun ada pihak berpendapat beliau juga mungkin boleh dikenakan tindakan yang sama.


"Memang saya juga tertakluk kepada peraturan tapi ada masanya saya juga perlu menyuarakan pendirian, pendapat mengenai perkara itu, saya juga manusia. Saya harap kenyataan media saya itu OK, kenyataan saya itu tidak menyentuh hal skuad bola sepak kebangsaan atau polisi FAM.


"Saya cuma menawarkan diri sekiranya saya boleh membantu menyelesaikan masalah, bukannya untuk campur tangan. Saya mahu kita lebih memberikan tumpuan kepada bola sepak. Saya tidak mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib atau titah Tuanku mengenai keinginan saya itu," katanya.

Menerusi kenyataan yang dihantar menerusi emel kepada media, Tengku Abdullah menyatakan rasa simpati terhadap Annuar yang disabitkan bersalah atas dua pertuduhan kerana mengkritik secara terbuka prestasi skuad bola sepak kebangsaan dan beliau turut menawarkan diri sebagai pengantara untuk menamatkan kemelut itu.


Bagaimanapun kenyataan Tengku Abdullah itu disanggah Presiden Sultan Ahmad Shah yang tidak bersetuju dengan hasrat itu sambil menyatakan pendirian akan tetap menyokong penuh dengan keputusan diputuskan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak, minggu lalu.

Menurut Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.




Tawan Gong Badak

Posted: 10 Apr 2012 09:55 AM PDT

PELUMBA muda CP130, Mohd Zaqhwan Zaidi ingin meneruskan rentak kemenangan apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu bagi menghadapi pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas 2012, hujung minggu ini.

Pelumba 17 tahun itu mahu membuktikan kemenangannya di Batu Kawan (Pusingan 1) bukan sekadar nasib selepas pendahulu, Ahmad Fazli Sham (Yamaha Maju Motor Racing) dan duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman serta Mohd Affendi Rosli terbabit dengan kemalangan manakala jentera pelumba veteran, Ahmad Fuad Baharudin mengalami masalah teknikal ketika mendahului perlumbaan.


Sebaliknya pelumba Pachie Yuzy Honda Racing yang kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 25 mata menekankan kerja keras dan kesungguhannya menjadi faktor utama kejayaan mencatat kemenangan pertama kategori CP130 selepas membuat penampilan sulung musim lalu.

"Memang nasib antara penyumbang kepada kejayaan saya namun kemenangan ini bukan hanya bergantung kepada nasib saja. Sebaliknya, saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Sepanjang musim rehat, saya menjalani latihan secara konsisten bagi memastikan kecergasan saya berada di tahap terbaik dan turut mengkaji segala kesilapan dan kelemahan musim lalu bersama pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini," katanya.


"Pada masa sama, mekanik pasukan turut menjalankan tugas mereka dengan begitu baik sekali. Mereka menyediakan pelarasan jentera dengan lebih baik selepas belajar daripada masalah dialami musim lalu. Hasilnya, jentera Honda kami kini mampu bersaing dari semua aspek seperti kelajuan, ketahanan dan pengendalian." Selain itu, pembabitan pelumba remaja ini dalam perlumbaan SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia Petronas bersama Musashi Boon Siew Honda Racing Malaysia turut membantu meningkatkan kemampuannya.


"Latihan SuperSports 600cc lebih mencabar kerana menggunakan jentera yang lebih besar dan berat. Namun saya percaya, masa digunakan untuk menunggang jentera CBR600RR membantu meningkatkan prestasi mengendalikan jentera underbone. Jika dibanding musim lalu, bukan hanya fizikal dan stamina saya lebih mantap tapi persediaan mental dan fokus saya juga bertambah baik." Berada di belakang Zaqhwan dalam senarai keseluruhan ialah Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dengan 20 mata diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) ketiga, 16 mata.

Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas, www.malaysiancubprix.com.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan