Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Lakar sejarah

Posted: 12 May 2012 03:08 PM PDT

LONDON: Manchester City bertekad melangkah ke era baru bola sepak Inggeris apabila menjulang gelaran pertama dalam tempoh 44 tahun, sebaik kempen Liga Perdana Inggeris yang begitu mendebarkan melabuhkan tirainya malam ini.

Empat tahun selepas dibeli Kumpulan Abu Dhabi United, pemilik hartawan kelab itu sedia memperoleh pulangan pelaburan besar-besaran yang mereka lakukan.


Kemenangan ke atas Queens Park Rangers, malam ini memastikan skuad Roberto Mancini menjulang trofi rebutan itu, melainkan jika Manchester United mencatat kemenangan besar ke atas Sunderland.

Namun pemilik City yang didakwa membelanjakan hampir 1 bilion (RM4.9 bilion) berazam memastikan kejayaan liga musim ini sebagai batu loncatan untuk memburu kejayaan lebih besar.


City dilapor bersedia mendapatkan pemain sayap Lille, Eden Hazard, selain penyerang berprofil tinggi Napoli dari Uruguay, Edinson Cavani.


Malah Mancini percaya ia satu perkembangan positif buat Liga Perdana Inggeris jika City menjulang kejayaan pertama dalam tempoh 44 tahun.

"Jika ada pasukan lain yang bukannya pasukan sama dalam tempoh 10 tahun terakhir, ia bagus untuk Liga Perdana Inggeris," kata Mancini.


"Pemain saya tahu mereka memiliki segala-galanya. Mereka bekerja keras dan berjuang untuk setiap perlawanan dalam kejohanan yang sengit. Ini peluang terbaik mereka.

"Kami membuktikan pasukan ini kuat dengan mentaliti yang kukuh dan boleh melakukan perkara sama Ahad ini (malam ini)," katanya.


Mancini turut memahami erti kemenangan itu buat penyokong setia City.


"Kami tidak pernah menang gelaran ini hampir 50 tahun dan berada di bandaraya di mana pasukan jiran menang setiap tahun. Ia sesuatu yang sukar bagi penyokong. Saya harap dapat mengubah keadaan.


"Adakah saya bertemu dengan mereka? Ya. Mereka terlalu gembira pada masa ini. Mereka memberitahu saya adalah jurulatih hebat dan terbaik. Mereka mahu kami menang satu lagi perlawanan," katanya. - AFP




Pamer sengat

Posted: 12 May 2012 03:05 PM PDT

FRENZ United Biru mencatat kemenangan sulung selepas membelasah pasukan Projek 11, 5-1 dalam saingan Kumpulan C Kejuaraan liga remaja Piala Frenz Bawah 14 Tahun, malam tadi.

Tandukan Akhmar Haiqal Azhar seawal minit kelapan hasil hantaran lintang Amirul Haziq Rasmizal membuka tirai jaringan.


Tiga minit kemudian Frenz United Biru menambah jaringan menerusi rembatan deras Akhmar Haiqal.

Namun Projek 11 yang dibimbing jurulatih Jamaluddin Abdul Rahim tidak mudah mengalah dan pada minit ke-13, usaha mereka berhasil apabila Mohd Nazree merapatkan kedudukan.


Belajar daripada kesilapan, Frenz United Biru yang seri 2-2 dengan Victoria Institution (VI) minggu lalu, tidak memberi ruang kepada Projek 11, lalu menambah jaringan pada minit ke-18 menerusi Aideed Norman Farizuan.


Pada minit ke-36, Mohd Hafizuddin Bustaman melebarkan jurang sebelum Aideed menjaringkan gol kedua secara peribadi pada minit ke-52. VI pula menewaskan CIMB-YFA 2-1.

CIMB-YFA membuka tirai jaringan hasil tandukan R Kogileswaran pada minit ke-13 tapi Muhammad Azarul Nazarith Azhar menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-37.


Khairu Anwar Khazali muncul wira VI dengan jaringan kemenangan pada minit ke-70.

Disaksikan 200 penonton di Stadium UiTM Shah Alam, Kuala Lumpur Youth Soccer mengatasi SMK Seri Tanjong 1-0 hasil jaringan Hannu Pak Fai Tam dalam Kumpulan A.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen