Kosmo Online - Sukan |
Posted: Itali berdepan tugas getir
KRAKOW, Poland - Itali berdepan tugas sukar pada aksi kedua Kumpulan B menentang Croatia di Stadium Municipal, Poznan tengah malam ini. Jurulatih Itali, Cesare Prandelli berkata, Croatia yang dibimbing Slaven Bilic adalah sebuah pasukan yang sukar untuk diramal. Selain itu, nasib sering kali tidak menyebelahi anak-anak buah Prandelli apabila beraksi dalam mana-mana kejohanan utama sebelum ini. Mengimbas kembali rekod kedua-dua pasukan sebelum ini, Itali sukar untuk menewaskan Croatia dalam lima pertemuan terakhir sejak tahun 1991. Lebih memburukkan keadaan, skuad The Azzurri tidak pernah merekodkan kemenangan pada perlawanan kedua mereka dalam lima kejohanan utama sebelum ini. Ketika ini, Croatia menerajui takhta liga Kumpulan B selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Republik Ireland, manakala Itali pula sekadar seri 1-1 dengan juara bertahan, Sepanyol. "Ia bakal menjadi perlawanan getir buat kami (Itali) apabila menentang Croatia dalam saingan peringkat kumpulan. "Seperti yang saya katakan sebelum ini, Croatia merupakan sebuah pasukan yang berbahaya kerana corak permainan mereka terlalu sukar untuk diramal. "Mereka sentiasa mengubah corak permainan dan ada ketika mereka menerapkan corak permainan berbeza pada babak kedua permainan," kata Prandelli. Berdasarkan ranking dunia yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Itali jelas memiliki kelebihan kerana menduduki tangga kelapan, manakala Croatia di ranking ke-12. Bagaimanapun, ranking dunia itu tidak memberikan apa-apa makna buat Bilic. "Bagi saya, Itali tidak sebaik Sepanyol tetapi kami tidak boleh memandang rendah kerana mereka memiliki banyak pilihan dalam corak permainan. - Agemsi | |
Posted: Poland tangguh hajat RusiaWARSAW - Impian Rusia untuk menjadi pasukan pertama yang mara ke pusingan suku akhir pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 tidak kesampaian. Kegagalan itu hadir selepas Rusia terikat 1-1 dengan pasukan tuan rumah bersama, Poland pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Nasional awal pagi semalam. Meskipun seri, Rusia masih mengungguli kedudukan teratas kumpulan selepas mengumpul empat mata, satu mata di depan Republik Czech yang menang 2-1 ke atas Greece. Kini, Rusia hanya perlu seri pada perlawanan terakhir menentang juara 2004, Greece, Ahad ini. Jurulatih Rusia, Dick Advocaat, 64, dari Belanda memuji persembahan pemain-pemain Poland tetapi tetap berpuas hati dengan kejayaan mengutip satu mata itu. "Poland bermain dengan baik malam ini (awal pagi semalam) meskipun berdepan risiko terlepas peluang untuk mara ke suku akhir sekiranya mereka tewas. Namun, kami memberi ruang kepada mereka untuk melakukan banyak serangan. "Ini bermakna, kami perlu memperkemaskan benteng pertahanan. "Kami juga bermain dengan baik dan menjaringkan gol sebelum rehat serta memperoleh banyak peluang pada babak kedua. "Secara keseluruhannya, saya akui seri adalah satu keputusan yang baik bagi kami," kata Advocaat. Sementara itu, selain menghidupkan peluang untuk menempah slot ke suku akhir, kejayaan Czech menewaskan Greece dianggap sebagai 'membalas dendam' sele- pas mereka tewas pada aksi separuh akhir Euro 2004. Kini, Poland perlu menewaskan Czech pada aksi terakhir peringkat kumpulan untuk mencipta sejarah melayakkan diri ke suku akhir, Ahad ini. Bagaimanapun, Poland dijangka tidak menghadapi masalah untuk melakukannya selepas memperoleh 'berita baik'. Ini kerana, kapten Czech, Tomas Rosic- ky bergelut untuk pulih selepas mengalami kecederaan serius pada tendon Achilles. - AFP | |
Posted: England tagih sentuhan RooneyROONEY (depan) akan disenaraikan dalam skuad England pada aksi terakhir Kumpulan D menentang Ukraine, 20 Jun ini. KIEV, Ukraine - England perlu menewaskan Sweden pada aksi kedua Kumpulan D di Stadium Olimpik di sini awal pagi Sabtu ini. Jurulatih England, Roy Hodgson berkata, kemenangan akan menjadi platform terbaik buat penyerang, Wayne Rooney untuk kembali bersama skuad The Three Lions. Bekas pengurus West Brom Albion dan Liverpool itu yakin penyerang Manchester United tersebut mampu memberikan impak, sekali gus membantu England memburu gelaran juara Euro 2012. "Rooney bakal menjadi senjata utama England. Dia sangat cergas dan sudah bersedia untuk diturunkan," kata Hodgson. Rooney akan menyarung jersi England pada aksi terakhir menentang Ukraine selepas menamatkan hukuman penggantungan dua perlawanan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini. Hodgson yakin barisan pemain England akan bekerja keras untuk mencatat kemenangan, sekali gus menjadikan kepulangan Rooney dalam pasukan itu lebih bermakna. Tambah Hodgson, kehadiran Rooney bakal memberikan suntikan motivasi kepada pemain-pemain England untuk melangkah ke pusingan suku akhir Euro 2012. "Rooney sudah tidak sabar untuk beraksi pada Euro 2012. Kehadiran Rooney dalam skuad ini amat ditagih kerana dia merupakan salah seorang penyerang terbaik di dunia. "Kami akan memperoleh manfaat sekiranya memiliki penyerang yang berkualiti seperti Rooney. "Saya berharap kami dapat menunjukkan satu persembahan mantap seperti pertemuan dengan Perancis. Kami akan berusaha untuk memenangi baki kedua-dua perlawanan ini," katanya. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan