PERMUSUHAN antara Belanda dan Jerman mungkin dapat disimpulkan dengan baik oleh bekas pengurus Belanda, Rinus Michels apabila beliau berkata "bola sepak antara kedua-dua negara bagaikan peperangan."
Ada ketikanya sejak empat dekad lalu, garisan yang memisahkan antara metafora dan realiti menjadi kabur apabila kedua-dua pasukan itu bertemu. Perbalahan yang membabitkan keganasan, saat-saat luar biasa serta sejarah sentiasa menyelubungi perlawanan membabitkan kedua-dua negara itu. Yang pasti, luka lama mungkin sudah mula sembuh tapi parutnya kekal.
Awal pagi esok, kedua-dua pasukan itu akan bertemu bagi perlawanan kedua masing-masing dalam Kumpulan B di Euro 2012. Seperti sudah ditakdirkan, pertemuan itu membawa makna besar sebelum Belanda tewas kepada Denmark pada aksi pembukaan Sabtu lalu.
Kekalahan kepada Jerman hampir pasti menyaksikan Belanda bakal tersingkir daripada kejohanan itu ketika ramai meramalkan mereka akan muncul juara kali ini.
"Aksi Jerman dan Belanda sentiasa menjadi perlawanan istimewa," kata jurulatih Belanda, Bert van Marwijk. "Kini kami perlu menewaskan mereka tapi ia tidak mudah." Bekas kapten Jerman, Franz Beckenbauer yang menjadi tonggak ketika permusuhan meletus pada 1970-an menyifatkan perlawanan itu menjanjikan aksi bola sepak terbaik.
"Perlawanan menentang Belanda menyebabkan saya kehilangan beberapa tahun," katanya. "Tapi, saya tidak akan menukarkannya untuk apa-apa sekalipun. Perlawanan itu sentiasa menampilkan bola sepak bermutu penuh emosi dan ketegangan memuncak." Patrick Kluivert membesar dengan melihat permusuhan itu melonjak. Ketika bekas penyerang Ajax dan Barcelona itu mengakui ketegangan antara kedua-dua negara itu mungkin sudah menurun, kesan daripada perlawanan itu masih lagi dirasai.
"Ia ada kaitan dengan sejarah," katanya. "Atas padang, kami menghormati satu sama lain - tapi bukan selalu. Permusuhan itu akan sentiasa kekal dan pada sesuatu ketika, situasi seperti itu boleh dianggap baik. Tapi, paling penting atas padang, pemain bermain dengan baik dan adil selain menunjukkan rasa hormat terhadap satu sama lain kerana itulah bola sepak sebenar." Bagi pihak Belanda, perasaan itu masih kekal. Belanda masih mempunyai 18 muzium yang menggariskan dengan begitu terperinci sejarah bola sepak mereka dengan Jerman.
Permusuhan yang bermula pada 1974 apabila pasukan Belanda yang hebat, diketuai Johan Cruyff dan Neeskens serta dibimbing Michels - tewas final Piala Dunia kepada Jerman Barat. Ia kali pertama kedua-dua negara itu bertemu secara kompetitif sejak Jerman menduduki Belanda. Emosi ketika itu begitu tinggi.
Vogts, bekas pengurus Scotland, mengawal Cruyff sepanjang perlawanan itu dan masih mengingati insiden selepas wisel penamat.
"Dia enggan bersalam dengan saya tapi tiga tahun selepas itu kami bertemu di satu acara penaja dan dia berkata "Tahniah. Saya minta maaf. Kami mempunyai pemain yang lebih baik tapi kami tewas." Mereka bertemu sekali lagi empat tahun kemudian. Karl-Heinz Rummenigge masih ingat perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 1978.
"Tekanan ketika itu begitu tinggi. Media pula membakar semangat dengan kisah permusuhan lama. Agak malang kerana Belanda menggunakan bola sepak sebagai alat menyalurkan rasa benci mereka dengan apa yang berlaku ketika Perang Dunia Kedua," kata Rummenigge.
Perlawanan itu berakhir seri 2-2 dan Belanda kemudiannya ke final - hanya untuk tewas kepada Argentina. Jerman menang semula di Naples dalam laluan menjulang takhta Kejohanan Eropah kedua mereka.
Selepas itu, pada 1988, permusuhan itu sekali lagi meletus. Pada petang Jun yang nyaman di Hamburg, Ruud Gullit, Frank Rijkaard dan Marco van Basten menampilkan persembahan menakjubkan untuk mara ke final Kejohanan Eropah dengan kemenangan 1-0 ke atas Jerman. Mereka menjulang trofi berprestij itu empat hari kemudian.
Sembilan juta orang, hampir 60 peratus daripada penduduk Belanda, membanjiri jalan raya untuk meraikan kemenangan itu - paling ramai sejak kemerdekaan.
Gullit masih ingat perasaannya ketika itu. "Kami memberikan kegembiraan kepada generasi lama, saya lihat mereka begitu emosi, melihat air mata mereka." Sejak itu, kedua-dua pasukan bertemu tiga kali dan yang paling diingati adalah ketika pertarungan hebat Piala Dunia 1990 apabila Rijkaard dan Rudi Voller diperintah keluar padang selepas pemain Belanda itu meludah rambut pemain Jerman itu.
Kini, perasaan itu tidak lagi tegang tapi Wesley Sneijder tetap menganggap pertemuan awal pagi esok penting. "Perlawanan itu pasti menarik. Saya membesar dengan melihat perlawanan membabitkan negara kami dan Jerman di televisyen. Saya sentiasa bermimpi untuk bermain dan menjaringkan gol kemenangan ke atas Jerman." - Agensi
0 ulasan:
Catat Ulasan