Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Caroline garang

Posted: 08 Jul 2012 03:10 PM PDT

MUNGKIN namanya kurang dikenali, namun Caroline Chan berjaya membuktikan kewibawaannya apabila menundukkan Olahragawati Sukma 2010, Chan Kah Yan dengan meraih pingat emas acara 50 meter kuak lentang, semalam.

Bukan saja menewaskan atlet elit, Caroline turut memperbaharui rekod Chui Lai Kwan, 30.39 pada Sukma 2010.


"Tiada apa yang lebih menggembirakan saya hari ini apabila berjaya merangkul pingat emas pertama saya di Sukma selepas sekadar tamat di tempat keempat dalam acara sama pada 2010.

"Malah, lebih menakjubkan saya berjaya mengatasi perenang senior serta atlet elit negara di temasya kebangsaan.


"Saya hadiahkan kemenangan ini buat ibu saya, Phang Siew Har yang selama ini tidak pernah penat memberi sokongan padu buat saya," kata wakil Selangor itu.


Caroline, 17, gah mengatasi wakil Wilayah Persekutuan, Kah Yan yang sudah mewakili negara di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi dan Sukan Asia 2010 Guangzhou dengan catatan masa 30.34.

Kah Yan sekadar tewas tipis dengan catatan masa 30.35 akur di tangga kedua manakala Tan Rou Ying dari Wilayah Persekutuan (31.89), ketiga.


Mengulas lanjut, Caroline berkata, kejayaan semalam lantas menaikkan lagi semangatnya memburu pingat emas dalam acara 200m kuak lentang hari ini.

Selain Caroline, Christina Loh dari Wilayah Persekutuan yang mengungguli acara 100m kuak dada dengan catatan 1.12.41 turut berjaya memperbaharui rekod dicatat perenang Sarawak, Erika Kong, 1.12.45 pada 2010.


Seorang lagi wakil Wilayah Persekutuan, Ian James Barr mendominasi acara 50m kuak lentang dengan catatan 26.86 sekali gus memperbaharui rekod kemenangan sendiri 27.08 diraih dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09


Tebus duka tahun lalu

Posted: 08 Jul 2012 11:12 AM PDT

BERTAM ULU FC menjanjikan saingan sengit dalam Grand Final Karnival Futsal Harian Metro 2012 Sabtu ini bagi menebus semula imej mereka yang tercalar pada tahun lalu.

Kekecewaan kecundang pada peringkat kumpulan dalam aksi Grand Final tahun lalu mahu dipadamkan juara Zon Tengah itu apabila tampil di Kompleks Sukan Batu Berendam, Melaka menentang 31 pasukan lain dalam kategori Terbuka Lelaki.


"Sebolehnya kami mahu bergelar juara pada kali ini selepas kecewa pada tahun lalu. Kami sudah membuat persiapan yang rapi sejak bergelar juara Zon Tengah pada Mac lalu dengan mendapat pendedahan kira-kira 15 kejohanan dalam dan luar negara selain latihan yang tersusun.

"Malah Grand Final kali ini di negeri sendiri sekali gus menambahkan lagi semangat kami dengan kehadiran penyokong tempatan. Kami sememangnya berharap edisi kali ini juga diharapkan mampu mengembalikan kegemilangan kami ketika bergelar juara pada Grand Final 2007 dan 2010," kata kapten pasukannya, Mohd Ayob Alias.


Pasukan yang diuruskan Sani Abd Rahman itu juga mengekalkan barisan pemain sama yang melonjakkan mereka menjuarai Zon Tengah dengan menewaskan Court Soccer B 3-0 dalam aksi final.


"Kami tidak melakukan perubahan kerana yakin dengan kemampuan pemain yang ada," katanya yang turut tidak memandang rendah kemampuan pasukan lain yang pastinya memberikan cabaran sengit bagi merebut hadiah keseluruhan Terbuka Lelaki yang berjumlah RM56,000 dengan juara meraih RM20,000.

Saingan kemuncak di Melaka ini bukan saja menghimpunkan lapan pasukan terbaik di Zon Tengah, Timur, Utara dan Selatan bagi Terbuka Lelaki, malah membabitkan Terbuka Wanita dan Lelaki Bawah 17 Tahun dengan hadiah keseluruhan RM125,000 selain pertandingan bola jaring membabitkan lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan