Kosmo Online - Sukan |
Posted: Tengku Abdullah kesal
TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah rasa dukacita dengan kontroversi berhubung platform di Kompleks Akuatik Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota yang dikatakan 'tidak bersedia' digunakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ke-15 Pahang gara-gara tidak menepati piawaian. Tengku Abdullah menegaskan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku walaupun platform tersebut sudahpun dibaiki segera oleh pihak penganjur. "Saya diberitahu masalah itu sudah selesai, ia terjadi gara-gara masalah komunikasi antara Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dengan penganjur. "Saya sendiri tertanya-tanya di mana silapnya dan ia sepatutnya tidak berlaku. "Saya difahamkan, model platform itu merujuk kepada model lama. Sekarang ia sudah diperbaiki, jadi tiada lagi masalah," titah baginda kepada pemberita semasa melawat kompleks itu semalam. Turut hadir Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar. Akhbar semalam melaporkan mengenai masalah kemudahan terjun di kompleks yang dinaik taraf dengan peruntukan RM21 juta itu yang didapati tidak menepati piawaian. Kesilapan tersebut yang hanya dikesan sehari sebelum acara terjun membuka tirai kelmarin, didapati berlaku pada platform 10 meter apabila panjang pentas itu dibina kurang semeter. Ia boleh mengundang risiko untuk atlet yang terjun dari ketinggian itu kerana dia berkemungkinan terlanggar satu lagi platform (7m) di bawahnya ketika membuat terjunan. Ketika ditanya apakah tindakan susulan yang bakal diambil berhubung kesilapan itu, Tengku Abdullah bertitah: "Kita akan siasat, sekarang bukan masa untuk salahkan sesiapa. "Pokoknya, ia sudah selamat digunakan sekarang." Dalam pada itu, Tengku Abdullah juga menegur pihak penganjur supaya sentiasa peka dengan masalah yang dihadapi pihak media dalam membuat liputan temasya kali ini. Menurut baginda, setiap teguran perlu dipandang berat kerana ia melibatkan imej penganjur. Dalam pada itu, suasana di bilik media kompleks berkenaan bertukar kecoh apabila 'dibanjiri' limpahan air hujan sehingga menyukarkan petugas media membuat liputan acara renang yang sedang berlangsung malam tadi. Ia ekoran bahagian atas bilik tersebut didapati bocor gara-gara hujan lebat dan berlaku beberapa jam selepas lawatan Tengku Abdullah. Selain bilik media, bumbung tempat duduk penonton di kompleks itu juga mengalami masalah yang sama. Senario itu menimbulkan persoalan dalam kalangan media memandangkan kos menaiktaraf kompleks tersebut bukannya murah iaitu RM21 juta. Dengan beberapa masalah tersebut, kredibiliti Pahang sebagai satu-satunya penganjur temasya Sukma buat kali kedua dilihat sedikit tercalar. | |
Posted: Ian James gegar kolam renangBAGAIKAN pahlawan di medan perang, perenang Wilayah Persekutuan, Ian James Barr melakar sejarah apabila berjaya melebur rekod kebangsaan acara renang 200 meter rampaian individu lelaki di Kolam Renang Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam. Kesengsaraan akibat kecederaan bahu kiri yang dialaminya sejak tiga minggu lalu jelas tidak menghalang Ian James, 17, daripada melakar rekod baharu kebangsaan, 2:05.82 saat. Rekod lama, 2:06.98s sebelum ini turut dilakukan Ian James ketika temasya Sukan SEA Indonesia 2011 sebelum dia kembali menyamai rekod itu pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Mei lepas. Kejayaan Ian James semalam juga memperbaharui rekod lama Sukma, 2:08.09s yang dicatatkannya pada temasya di Melaka tahun 2010 lalu. Lebih manis, ia juga merupakan pingat emas kedua peribadinya pada temasya kali ini apabila turut memecah rekod Sukma bagi acara 50m kuak lentang lelaki kelmarin dengan kepantasan 26.86s, mengatasi rekod lama, 27.81s yang sebelum ini dipegang oleh Brian Derrick Lim dari Sarawak dua tahun lepas. "Sejujurnya, saya tidak menyangka dapat merangkul pingat emas, apatah lagi memperbaharui rekod kebangsaan gara-gara kecederaan bahu kiri yang dialami sejak tiga minggu lepas. "Saya mengalami kecederaan itu kerana telah melakukan latihan berlebihan sebelum ini. Meskipun kesakitan, saya gagahkan diri berenang habis-habisan ke garisan penamat dan saya puas dapat melakukannya dengan cukup sempurna," katanya. Ian James memberitahu, dia akan berehat seketika bagi menumpukan perhatian kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas gagal melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik di London hujung bulan ini. "Kejayaan ini cukup bermakna dan saya mendedikasikan kejayaan ini kepada keluarga saya serta jurulatih yang tidak pernah meragui kemampuan saya," katanya. Ternyata, kejayaan Ian James itu merupakan penutup terbaik hari kedua acara akuatik yang sebelum itu 'sunyi' tanpa sebarang rekod baharu semalam. Pencapaian terbaik hanyalah sekadar catatan masa pemenang pingat emas acara 50m kuak kupu-kupu lelaki, Lee Chen Voon dari Pulau Pinang iaitu 25.86s, kurang 0.10s daripada rekod lama milik perenang Selangor, Foo Jian Beng pada Sukma Terengganu 2008. Kontroversi 'rumah siap pahat berbunyi' ekoran tahap venue pertandingan yang dilihat bocor sana-sini ketika hujan lebat, terutamanya di bilik media yang membuat liputan semalam juga mencalarkan kredibiliti Pahang selaku penganjur. Lain-lain pemenang pingat emas semalam ialah perenang Selangor, Caroline Xin yang muncul juara acara 200m kuak lentang wanita, Han Jian Tern dari Johor (200m kuak lentang lelaki), Ling Kok Cher (Selangor - 100m gaya bebas wanita) dan Hwang Lim Ching (Selangor - 100m gaya bebas lelaki). Turut memenangi emas semalam ialah Hui Yap Siew (Selangor - 50m kuak kupu-kupu wanita) serta perenang Sarawak, Erika Kong yang meraih pingat emas acara 200m rampaian individu wanita. Selepas hari kedua, kontinjen Selangor kekal selaku kuasa besar acara akuatik yang merupakan 'lubuk emas' temasya kali ini apabila membolot tujuh emas, diikuti kontinjen Wilayah Persekutuan (tiga emas), Johor (tiga emas) serta Sarawak dan Perak masing-masing meraih dua emas. Kini, hanya tinggal 27 emas sahaja lagi daripada 48 pingat emas yang ditawarkan acara akuatik pada temasya kali ini dan bakal menjadi rebutan kontinjen bertanding sebelum Sukma edisi ke-15 ini melabuhkan tirai Khamis depan. | |
Pardika tak kenal erti cemburu Posted: Pardika tak kenal erti cemburuPARDIKA (kiri) bersama pasangannya, Abdul Rashid menyumbang emas buat kontinjen Sarawak dalam acara terjun seirama lelaki semalam. PERKATAAN cemburu tidak pernah wujud dalam diri Pardika Indoma Pamg Joheng, abang kepada seri kandi terjun negara, Pandelela Rinong. Meskipun pencapaian peribadi Pardika, 20, dengan Pandelela, 19, boleh diibaratkan seperti langit dan bumi, atlet terjun Sarawak itu sentiasa tenang dan tersenyum setiap kali diajukan soalan sedemikian oleh media. "Saya sebenarnya sudah lali dengan soalan-soalan seperti ini. "Pandelela merupakan idola saya, jadi soal cemburu tidak pernah timbul kerana saya cukup berbangga mempunyai adik seperti- nya," kata Pardika. Semalam, Pardika bersama pasangannya, Abdul Rashid Muhammad berjaya meraih pingat emas acara platform seirama lelaki di Kompleks Akuatik Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Ia merupakan emas Sukma ketiga peribadinya dalam empat penampilan setakat ini, dan temasya kali ini merupakan edisi terakhir buat Pardika gara-gara faktor usia. Biarpun masih belum berpeluang mengecap nikmat kilauan emas peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan SEA mahupun Komanwel seperti mana Pandalela, Pardika belum menekan butang panik kerana percaya kepada rezeki dan peluang masing-masing. "Sudah tentu saya memiliki impian meraih emas Sukan SEA seperti mana atlet lain, jadi saya tidak akan berputus asa sebegitu sahaja selagi belum dapat membuktikannya," kata anak sulung daripada empat beradik itu. Pingat perak acara tersebut pula dimenangi pasangan Wilayah Persekutuan, Muhammad Danial Sabri dan Muhammad Nazreen Abdullah dengan 298.2 mata sementara pasangan Perak, Kua Chee Yeap dan William Kum Weng (268.71 mata) terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa. Dalam pada itu, atlet penerjun Perak, Jasmine Lai meneruskan kecemerlangannya di Kompleks Akuatik apabila meraih emas acara platform seirama wanita bersama pasangannya, Kam Lim Kar berjaya mencatat 276.78 mata. Kelmarin, Jasmine yang juga penerjun pelapis kebangsaan berjaya meraih emas Sukma pertamanya apabila mengungguli acara 1 meter papan anjal wanita. "Saya bersyukur dapat meraih emas kedua peribadi bagi temasya Sukma, jadi saya harap saya dapat mengekalkan momentum sekali gus meraih lebih banyak emas dalam tiga lagi acara selepas ini," kata Jasmine. Pasangan terjun Wilayah Persekutuan, Nur Dhabitah Sabri dan Loh Zhiayi pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila sekadar mencatat 243.69 mata, manakala pasangan Selangor, Adeline Chin dan Ling Zheng Ni (229.77 mata) meraih pingat gangsa. Dalam pada itu, penerjun kebangsaan, Ooi Tze Liang dari Pulau Pinang menepati ramalan awal apabila meraih emas acara 1m papan anjal lelaki. Tze Liang mencatat 351 mata, mengatasi penerjun Perlis, Ahmad Amsyar Azman yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah meraih 346.15 mata. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan