Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Azizul perlu waspada

Posted: 20 Jul 2012 01:22 PM PDT

PERKHABARAN jaguh Britain, Sir Chris Hoy yang tidak akan beraksi dalam acara pecut di Sukan Olimpik London bermula 28 Julai ini memberi petanda awal buat pelumba harapan negara, Azizulhasni Awang untuk lebih berwaspada dengan kelibat pelumba itu.

Hoy tidak akan turun mempertahankan pingat dimenanginya di Beijing dan ia bermakna, pelumba berusia 36 tahun itu hanya akan memberi tumpuan kepada acara pecut berpasukan dan keirin, acara yang menjadi sandaran pingat buat negara menerusi Azizul.


Malah Hoy tampak lebih yakin mempertahankan pingat acara keirin biarpun terpaksa melepaskan acara pecut kepada pelumba lebih muda, Jason Kenny yang lebih menyerlah dalam acara itu.

Hoy menegaskan, fokus kepada satu cara individu bakal memberi kelebihan buatnya meraih pingat.


Begitupun bagi Azizulhasni yang kini mula mengira detik untuk turun mempertaruhkan aksi menegaskan, dia tidak gentar dengan cabaran Hoy kerana peluang meraih pingat sentiasa terbuka.


"Saya memang tidak sabar menanti Olimpik kerana itulah peluang untuk bertemu Hoy. Saya boleh melihat sejauh mana prestasi saya setakat ini.

"Alhamdulillah, prestasi saya kini memang memberangsangkan tapi saya yakin ia masih dapat ditingkatkan dalam baki kurang daripada sembilan hari lagi," katanya yang mendapat suntikan semangat apabila meraih tangga kedua di GP von Deutschland 2012 baru-baru ini yang turut disertai pelumba lain yang akan beraksi di London.


"Kejohanan itu bagus untuk saya kerana ia boleh dianggap sebagai kejohanan pemanas badan kerana ramai pelumba handalan acara trek cuba mencari rentak sebelum beraksi di Olimpik," katanya.

Prestasi Olahragawan Kebangsaan 2010 itu yang kini berada di Gent, Belgium, pangkalan latihan pelumba basikal negara, amat memuaskan dengan seorang lagi pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa turut menempah nama apabila menjejakkan kaki ke podium di tempat ketiga acara keirin di kejohanan sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21


Shahril teraju cabaran

Posted: 20 Jul 2012 01:16 PM PDT

PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM yakin juara bertahan CP115, Shahril Izzuwan Mohd Noor mampu menghadiahkan gelaran juara keseluruhan kategori CP115, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 buat kali ketiga berturut-turut.

Pasukan AHM mempunyai rekod menakjubkan dalam kelas CP115 sejak dua tahun lalu apabila pelumba remaja, Mohd Ramdan Mohd Rosli meraih kejayaan pada 2010 dan Shahril musim lalu. Kini Shahril memburu gelaran peribadi kedua selepas mempamer aksi konsisten dalam enam pusingan awal musim ini.


Walaupun tidak beraksi pada pusingan pembukaan di Batu Kawan, Shahril berjaya meraih empat kedudukan podium termasuk dua gelaran juara ketika di Terengganu (Pusingan 2) dan baru-baru ini di Muar (Pusingan 6).

Ini sekali gus meletakkannya sebagai pendahulu kedudukan keseluruhan CP115 dengan 91 mata. Namun kedudukan Shahril masih belum selamat memandangkan beberapa pencabar lain seperti Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing), Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui) dan Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) mampu menjadi penghalangnya.


"Dengan baki empat pusingan lagi, empat pelumba teratas sekadar dipisahkan dengan 20 mata jadi kedudukan saya belum cukup selamat. Namun, memburu gelaran hatrik buat pasukan tetap menjadi keutamaan dan ketika ini, peluang kami boleh dikatakan agak cerah," jelas Shahril.


Pelumba 24 tahun itu menjelaskan pasukan AHM akan menggunakan sepenuhnya tempoh rehat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri bagi memastikan prestasi mereka kekal di tahap terbaik apabila kejuaraan musim ini bersambung di Kluang, Johor, pada 22 dan 23 September ini.

"Kami mempunyai tempoh rehat yang panjang namun ini tidak bermaksud kerja kami turut terhenti. Sebaliknya mekanik akan terus membangun dan melakukan ujian bagi memastikan jentera terus kompetitif dan saya pula akan meneruskan latihan kecergasan seperti biasa. Mudah-mudahan kami dapat kembali bersaing dengan momentum lebih tinggi berbanding enam pusingan awal di Kluang nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/21


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan