Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Shahidan tumbang

Posted: 23 Sep 2012 10:24 AM PDT

INILAH hakikat sebuah kehidupan yang perlu diteruskan. Itulah kata-kata terakhir dilontarkan Datuk Seri Shahidan Kassim yang akur apabila gagal pertahankan jawatannya pada pemillihan KOM, semalam.

Beliau pemimpin yang telus, tenang menerajui kesatuan namun kekalahannya itu dikatakan berpunca daripada kontroversi yang dicetuskan timbalannya sendiri, Datuk Karim Ibrahim.

Ikuti luahannya kepada wartawan Aida Adilah Mat pada hari terakhir beliau bergelar presiden.

"SAYA sudah buat yang terbaik mungkin rezeki tidak memihak kepada saya. Terima kasih kerana menjadikan AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) berjalan dengan lancar.


Semua pihak harus terima hakikat dan apa yang terjadi ini saya terima. Bagi saya hidup mesti diteruskan dan saya akan terus berjuang agar cita-cita kita untuk mendapatkan sembilan pingat emas di Sukan Sea nanti akan dapat dicapai.


Tahniah kepada mereka yang berjaya, tahniah saya ucapkan kepada presiden dan jawatankuasa baru KOM.

"Saya akan terus memberi sumbangan kerana apa yang saya buat ini adalah kerana Allah dan untuk mencari keredaan Allah. Semua ini bukan untuk diri saya.

Manusia datang dan pergi. Presiden juga begitu. Saya sudah melakukan yang terbaik. Tak mengapa hari ini saya kalah, esok mungkin saya menang.

Saya masih lagi dalam jawatankuasa kesatuan, sebagai Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis. Saya seorang peminat sukan dan sukan tidak akan hilang daripada hidup saya. Saya akan tetap berada di arena perdana sukan negara di mana-mana saja.

Kepada atlet dan jurulatih, teruskan perjuangan dan saya akan sentiasa menyokong mereka. Apa yang terjadi kepada saya adalah contoh kepada pemimpin lain dan ia boleh dijadikan sebagai teladan.

Saya berdoa dan berharap rakan baru dalam KOM akan dapat menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang.

Ada yang kata saya tewas kerana isu dan kontroversi...saya tidak mahu tahu.
Apapun saya berterima kasih kepada mereka yang memberi sokongan padu kepada saya selama ini, begitu juga kepada MSN. Keputusan sudah dibuat dan kita perlu terima.

Ahli gabungan sudah membuat pengundian dan memilih wakil mereka. Jadi bukan isu sama ada kontroversi yang terpalit selama ini menjadi punca kepada kekalahan saya. Sudah bukan rezeki saya dan saya menerimanya dengan hati terbuka.

Kekalahan saya ini tidak membuatkan saya bersedih kerana apa yang saya lakukan bukan untuk diri saya. Saya lakukan untuk negara, Malaysia.

Terima kasih juga kepada isteri dan anak-anak saya yang sentiasa memberi sokongan dan berkorban masa sepanjang memimpin KOM."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


Rahsia anak beranak edar dadah terbongkar

Posted: 23 Sep 2012 10:09 AM PDT

CHUKAI: Pakatan seorang bapa berusia 53 tahun menjalankan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah bersama dua anak lelakinya sejak hampir tiga tahun lalu berakhir apabila mereka ditahan polis, kelmarin.

Rahsia tiga beranak itu terbongkar dalam serbuan sepasukan anggota polis sempena Ops Tapis di rumah lelaki terbabit di Kampung Padang Kubu, di sini, kira-kira jam 11 pagi.


Kegiatan lelaki itu terbongkar apabila anak perempuannya berusia 19 tahun membuat kecoh dengan menghalang polis menjalankan pemeriksaan terhadap suspek selepas menahan dua anak lelakinya masing-masing berusia 25 dan 27 tahun dalam serbuan itu.

Sumber berkata, serbuan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman diketuai Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah itu mulanya bertujuan menahan kedua-dua anak lelaki itu yang dikehendaki polis kerana terbabit kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.


"Polis tidak memiliki maklumat pembabitan bapa kedua-dua suspek dalam penagihan dadah tetapi gara-gara tindakan anak perempuannya mengamuk memaksa polis menahan lelaki itu kerana curiga dengan tindakan wanita berkenaan yang bersungguh-sungguh menghalang polis daripada menahan bapanya.


"Pemeriksaan dalam rumah itu tidak menemui sebarang dadah tetapi ujian air kencing terhadap mereka mendapati ketiga-tiganya positif dadah jenis methamphetamine dan morfin," katanya.

Menurut sumber, bapa dan dua anaknya itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan penagihan sejak dua tahun lalu, malah anak lelakinya berusia 27 tahun juga berstatus orang kelainan upaya pernah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan