Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Congak menjadi

Posted: 16 Oct 2012 01:56 PM PDT

PENYERANG prolifik Harimau Malaya, Mohd Safee Sali kembali menemui sentuhan penyudah di pentas antarabangsa selepas hampir setahun kemarau jaringan dengan meledak satu gol ketika skuad kebangsaan menewaskan Hong Kong 3-0 di Stadium Mongkok malam tadi.

Gol itu jaringan pertama Safee selepas kali terakhir menggegar gawang pada aksi persahabatan menentang India, November lalu sebelum pemain gantian, Safiq Rahim dan Ahmad Fakri Saarani melengkapkan kemenangan pertama Malaysia di gelanggang lawan sejak 2007 dengan gol di penghujung permainan.


Kemenangan ini pastinya meredakan tekanan dihadapi pengendali Datuk K Rajagobal yang mengharapkan keputusan baik untuk menyuntik semangat pemain selepas kekalahan 0-2 di tangan Vietnam bulan lalu dan mengelak ranking Malaysia di tangga ke-162 dunia daripada terus menjunam.

Disaksikan lebih 3,000 penonton di Stadium Mongkok, aksi di awal permainan agak hambar dengan Hong Kong lebih selesa menguasai bola ketika skuad negara tanpa tonggak utama dari Kelantan dan ATM, tercari-cari rentak.


Ketiadaan Safiq tampak memberi kesan kepada jentera tengah negara apabila Gary Steven Robbart dan Amar Rohidan seakan-akan ketandusan idea untuk mengatur gerakan.


Selepas 20 minit perlawanan berlangsung, barulah Harimau Malaya sedikit 'bernyawa', bermula dengan rembatan penyerang, Safee dari jarak 30 meter namun mudah ditangkap penjaga gol pasukan tuan rumah, Yapp Hung Fai.

Pemain sayap lincah, S Kunalan berjaya menyelinap ke kubu Hong Kong dari sebelah kiri selepas menewaskan dua pemain pertahanan tapi malang cubaannya berjaya diselamatkan Hung Fai.


Anak buah Rajagobal kempunan menamatkan aksi babak pertama dengan jaringan selepas percubaan kapten, Safee terkena palang pada minit ke-37 manakala penyudah Baddrol Bakhtiar pula ternyata lemah apabila rembatan leretnya lima minit sebelum rehat tidak cukup mampu menembusi gawang Hong Kong.

Bersambung babak kedua, skuad negara hampir mendahului namun tandukan Mohd Fadhli Shas berjaya dikeluarkan pertahanan Hong Kong di atas garisan gol.


Bagaimanapun keresahan kem negara akhirnya terlerai apabila Safee yang terselamat daripada penggantungan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) merembat kencang bagi gol pertama pada minit ke-59.


Hong Kong cuba bangkit dengan beberapa percubaan namun berjaya dikekang penjaga gol, Mohd Farizal Marlias. Kemasukan Safiq menggantikan Gary pada minit ke-74 membuahkan hasil apabila pakar sepakan percuma itu menyempurnakan peluang pada minit ke-82.


Dia juga mencipta gerakan gol ketiga apabila sepakan percumanya pada masa kecederaan gagal ditangkap kemas Hung Fai yang pantas disambar Fakri untuk menjadikan kedudukan 3-0.


Malaysia akan mengadakan tiga lagi perlawanan persahabatan sebelum sepak mula Piala AFF, bulan depan dengan menentang Vietnam di Hanoi pada 3 November, Thailand di Chiang Mai (7 November) dan Hong Kong di Shah Alam (14 November).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Cabaran baru futsal

Posted: 16 Oct 2012 01:47 PM PDT

DASHING For Men, jenama terkemuka produk dandanan diri lelaki akan menganjurkan kejohanan futsal neon pertama di Malaysia, bulan depan.

Kejohanan Cabaran Skor Dashing ini dianggap unik, terutama bagi mereka yang menginginkan cabaran baru sukan futsal apabila perlawanan dilangsungkan di gelanggang gelap dengan hanya disinari cahaya lampu neon. Justeru, segala-galanya, bermula dengan jersi pemain, bola hingga ke tiang gol juga akan menyinar dalam kegelapan gelanggang. Pastinya ia menjadi pengalaman unik untuk diharungi setiap peserta.


"Futsal adalah sukan digemari majoriti lelaki Malaysia. Justeru, kami ingin membawa konsep menarik ini kepada pelanggan dengan harapan ia menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan mencabar. "Konsep futsal neon ini membolehkan peserta menonjolkan bakat serta daya keyakinan diri tinggi, seiring dengan lambang identiti pengguna Dashing," kata Pengurus Besar Wipro Unza (Malaysia) Sdn Bhd, Christina Yong. Kejohanan itu akan diadakan di seluruh negara dengan membabitkan empat zon, Kuala Lumpur, Klang, Kuala Terengganu dan Pulau Pinang bermula bulan depan dengan Grand Final di Kuala Lumpur pada 8 Disember. Hadiah bernilai lebih RM20,000 menjadi rebutan dengan juara menerima RM7,000 serta lawatan khas ke Studio ESPN di Singapura. Pengambilan pasukan kini diadakan dan mereka yang berminat perlu membeli produk Dashing bernilai RM200 untuk layak menyertai pertandingan itu. Setiap pembeli juga berpeluang memenangi beg kasut gim eksklusif Dashing dengan pembelian bernilai RM40 dalam satu resit.

Borang penyertaan boleh didapati daripada promoter dan kru Trak Mobil Dashing serta laman facebook Dashing For Men. Layari laman Facebook Dashing untuk mengetahui lokasi kru Dashing dan maklumat lanjut mengenai kejohanan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan