Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Misi dalam genggaman

Posted: 19 Oct 2012 02:29 PM PDT

MUHAMMAD Zulfahmi Khairuddin semakin hampir memenuhi harapan peminat tempatan yang mahu menyaksikannya menaiki podium buat kali pertama apabila mempamer tunggangan meyakinkan untuk mencatatkan masa ketiga terpantas pada kedua-dua sesi latihan bebas Moto3 semalam.

Zulfahmi yang akan meraikan ulang tahun kelahiran ke-21 hari ini, mencatat masa 2 minit 15.340 saat pada sesi latihan bebas kedua, 0.984s lebih baik berbanding catatan pada sesi latihan pertama yang turut menyaksikannya mencatat masa ketiga terpantas, 2:15.324s.


Sesi latihan semalam diungguli Jonas Folger dari pasukan Mapfre-Aspar Team Moto3 dengan kepantasan 2:15.038s manakala catatan kedua terpantas, 2:15.279s diraih rakan sepasukan Zulfahmi, Sandro Cortese.

Dengan kepantasan jentera yang dilihat begitu meyakinkan, Zulfahmi berharap dapat membantunya bersaing merebut kedudukan hadapan pada sesi kelayakan hari ini.


"Saya memang amat gembira dengan catatan masa ini tapi pada masa sama saya yakin pasukan lain juga mencari pelarasan terbaik dan pasti mencatat masa lebih pantas di sesi kelayakan esok (hari ini). "Saya sebenarnya memang cukup yakin pada perlumbaan minggu ini kerana keadaan jentera begitu baik. Saya harap keyakinan ini membantu meraih kedudukan terbaik pada sesi kelayakan," katanya yang mewakili pasukan AirAsia SIC Ajo. "Apa yang perlu dilakukan adalah kekal tenang dan fokus terhadap strategi dan sasaran kami." Zulfahmi berkata, meskipun hari ini cukup bermakna baginya kerana akan menyambut ulang tahun ke-21, dia langsung tidak mahu memikirkan perkara itu.


"Saya tak terfikir langsung perkara itu. Saya hanya mahu kekal fokus dan menikmati aksi perlumbaan," Pada musim lalu, Zulfahmi mencatat masa ke-13 terpantas pada sesi kelayakan sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20


Cuaca uji peserta VBR

Posted: 19 Oct 2012 02:26 PM PDT

SEMUA peserta Varsity Boat Race 2012 (VBR) dan Kejohanan Tahunan Sukan Mendayung & Kayak peringkat universiti menyerlah sepanjang peringkat saringan yang berlangsung sejak kelmarin, walaupun sesetengahnya menyimpan kuku dan taring sebelum menunjukkan kekuatan sebenar di final.

Setiausaha Jawatankuasa Pengelola VBR, Abdul Malik Abdul Ghani berkata, semua pasukan setiap kategori mempunyai keistimewaan dan sukar menjangkakan pasukan terbaik.


"Malah, sepanjang dua hari peringkat saringan, prestasi peserta amat baik walaupun jadual pertandingan kerap berubah akibat hujan. Namun, semangat mereka amat tinggi sepanjang pertandingan.

"Sukar meramalkan siapa yang akan menjadi juara kerana masing-masing mempunyai keistimewaan sendiri, termasuk peserta dari universiti luar negara," katanya ketika dihubungi semalam.


Abdul Malik yang juga Presiden Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama) berkata, walaupun terikat dengan jadual dan masa, penganjur sentiasa mengutamakan keselamatan semua peserta memandangkan setiap hari boleh dikatakan cuaca buruk.


Tetapi, katanya ia tidak mengganggu peserta dan tidak menjejaskan komitmen mereka walaupun terpaksa menangguhkan pertandingan hingga sejam.

"Kami akan tengok keadaan, kalau hujan berserta petir, penganjur akan menghentikan pertandingan, apabila semua dah selamat baru dimulakan kembali.


"Sebagai contoh, pertandingan hari ini (semalam) sepatutnya bermula jam 3 petang, namun 2.45 hujan lebat berserta guruh dan petir, kita tangguhkan dan pertandingan hanya bermula kira-kira jam 4 petang." Kejohanan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berlangsung di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya.

Ia mendapat kerjasama Perdama, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Persatuan Kenu Malaysia (MASCA), Perbadanan Putrajaya dan sokongan Majlis Sukan Universiti Asia (AUSC).


Sebanyak 32 pasukan terdiri daripada 18 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sembilan universiti dari luar negara dan empat sekolah menengah sekitar Putrajaya menyertai kejohanan yang masuk tahun keenam bermula Selasa lalu hingga esok.


IPTA yang mengambil bahagian ialah Majlis Sukan Kolej Komuniti, Majlis Sukan Politeknik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Selain itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) dan UTM.


Universiti luar negara membabitkan Universiti Chiang Mai, Universiti China Hong Kong, Universiti Mahidol, Universiti Kebangsaan Singapura, Universiti Nottingham, Universiti Pendidikan Indonesia, Universiti Colombo, Universiti Chulalongkorn dan Universiti Teknologi Nanyang.


Empat sekolah yang mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Precint 16 (1), SMK Putrajaya Precint 8 (1), SMK Putrajaya Precint 9 (2) dan Sekolah Sultan Alam Shah.


Hari ini, pertandingan diteruskan untuk menentukan pasukan yang meneruskan perjuangan ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan