Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Disambut bagai wira

Posted:

Disambut bagai wira

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN penyokong yang datang ke LTSIP di Kota Bharu semalam untuk menyambut kepulangan skuad Kelantan.


KEPULANGAN skuad The Red Warriors ke bumi Che Siti Wan Kembang disambut meriah apabila lebih 10,000 peminat setianya berhimpun di pekarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu semalam.

Meskipun tiba agak lewat daripada waktu yang dijadualkan, namun ia tidak melunturkan semangat para penyokong untuk melihat lebih dekat wira-wira kesayangan mereka.

Bukan itu sahaja, mereka turut berbaris di sepanjang laluan daripada LTSIP ke Kota Bharu Trade Centre (KTC) sambil mengibarkan bendera negeri dan The Red Warriors sebagai tanda sokongan kepada pasukan.

Ketibaan skuad kendalian Bojan Hodak itu disambut oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussain.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Bendahari UMNO negeri, Datuk Hanapi Mamat.

Sejurus selepas itu, para pemain dibawa menaiki bas menuju ke KTC untuk menghadiri majlis ringkas diiringi oleh pasukan konvoi motosikal berkuasa tinggi dan beberapa buah kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu, seorang penyokong setia Kelantan, Wan Saipul Azwal Wan Mohammad menyifatkan kejayaan trebel yang dilakar oleh skuad bimbingan Bojan Hodak itu cukup mengujakan.

"Inilah kali pertama kita menjulang kejuaraan trebel. Kejayaan ini cukup bermakna buat seluruh penyokong setia The Red Warriors.

"Saya akui perlawanan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cukup sengit, walaupun tanpa Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Mohammad kita masih mampu melakar kejayaan.

"Ini membuktikan ketiadaan dua tonggak tersebut tidak menjejaskan tumpuan pasukan dan akhirnya kita berjaya melakar kejayaan," katanya.

Seorang lagi penyokong Abdul Fattah Mustapha berkata, kejayaan menjulang kejuaraan trebel bakal menjadi kenangan terindah buat seluruh rakyat di negeri Kelantan.

"Sejarah ini akan dikenang sampai bila-bila. Bukan mudah untuk berada pada tahap ini dan saya berharap kita dapat mengekalkan kejuaraan ini pada musim hadapan.

"Syabas dan tahniah buat seluruh pemain, pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) serta penyokong setia atas kejuaraan ini," jelasnya.

'ATM akan kembali musim depan'

Posted:

'ATM akan kembali musim depan'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

SATHIANATHAN (depan) belum berputus asa dan tetap mahu membawa ATM ke puncak saingan pada musim depan.


"ATM (Angkatan Tentera Malaysia) akan kembali (dalam pentas final Piala Malaysia) musim depan."

Itu janji pengendali ATM, B. Sathianathan yang terpaksa akur dengan kehebatan Kelantan menjulang Piala Malaysia musim ini.

Malam kelmarin, gol ledakan Indra Putra Mahayuddin pada masa tambahan menjadi pemisah kedua-dua pasukan yang terlebih dahulu terikat 2-2 sebaik masa sebenar perlawanan berakhir.

Biarpun secara keseluruhannya, Sathianathan berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya di Stadium Shah Alam malam kelmarin, ada sesuatu yang menimbulkan kemusykilan pengendali berusia 54 tahun itu.

Segala-galanya ekoran tindakan beberapa pemain The Red Warriors yang dilihat mudah terjatuh sehingga menganggu konsentrasi anak-anak buahnya mahu melakar sejarah menamatkan kemarau Piala Malaysia selama 46 tahun selepas kali terakhir menjejak kaki ke final pada edisi 1966.

"Sejujurnya, saya amat pelik dengan apa yang berlaku.

"Skuad kami dikatakan 'tua' apabila dibarisi pemain veteran, tetapi mengapa mereka (Kelantan) yang dibarisi pemain muda lebih gemar terjatuh atas padang.

"Apa pun, pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya berjanji kami akan kembali ke pentas final musim depan," katanya selepas tamat perlawanan.

Kata-kata Sathianathan itu seolah-olah mempertahankan tindakan pemainnya, Rezal Zambery Yahya yang tidak menghentikan perlawanan biarpun ada pemain Kelantan yang dilihat tercedera di tengah padang pada separuh masa kedua masa tambahan malam kelmarin.

Tindakan Rezal itu jelas menimbulkan kemarahan pemain Kelantan, namun situasi tegang itu berjaya dikawal pengadil perlawanan, Nafeez Abdul Wahab.

Mengulas lanjut, Sathianathan yang bakal membantu ATM mengharungi Liga Super musim depan selepas muncul juara Liga Premier musim ini tanpa berselindung mengakui cabaran yang bakal dihadapinya musim depan bukannya mudah.

"Buat masa ini, saya tidak dapat mengulas lanjut siapa pemain yang akan kekal atau pun berhijrah.

"Segala-galanya terpulang dengan pihak pengurusan, apa yang pasti kerja saya bersama ATM masih belum berakhir," tegasnya.

Hadiah buat penyokong

Posted:

Hadiah buat penyokong

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan meraikan kemenangan mereka selepas muncul juara Piala Malaysia hasil kemenangan 3-2 ke atas ATM pada final di Stadium Shah Alam kelmarin.


"KEMENANGAN yang terlalu bermakna dan ini adalah hadiah untuk seluruh peminat dan penyokong The Red Warriors yang tidak pernah jemu untuk memberi sokongan kepada pasukan."

Itu komen pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim selepas Kelantan berjaya merangkul Piala Malaysia setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dan seterusnya mencipta sejarah baharu bola sepak negeri itu selepas melengkapkan gelaran trebel untuk musim 2012.

Menurutnya, sepanjang bersama Kelantan, musim ini adalah musim yang paling mencabar bagi Kelantan yang dilanda pelbagai kontroversi seawal tirai musim 2012 dibuka namun, kekuatan yang ada pada seluruh pasukan dan peminat menjadikan musim ini terlalu bermakna.

"Ia merupakan perlawanan akhir yang cukup dramatik. Peluang kedua-dua pasukan seimbang namun, dalam bola sepak pasukan yang mampu menyudahkan peluang akan berjaya dan kita bernasib baik kerana berjaya menterjemahkan peluang untuk menghasilkan jaringan.

"ATM sebuah pasukan yang hebat, saya fikir jika Bruno (Martelotto) berjaya menyudahkan peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan, keputusannya mungkin berbeza. Walau apa pun, ia merupakan kejayaan yang cukup manis buat The Red Warriors," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, Kelantan turun dengan semangat yang cukup tinggi untuk merampas semula Piala Malaysia selain misi melengkapkan koleksi piala selepas berjaya memenangi Piala FA dan Liga Super sebelum ini.

Katanya, biarpun berdepan pelbagai kontroversi dan masalah daripada awal musim sehingga ke perlawanan akhir apabila dua penggempur utama, Muhammad Ghaddar dan Norfarhan Muhammad digantung tetapi, semangat yang ada pada pasukan melebihi segala-galanya.

"Kita berdepan masalah sejak awal liga bermula termasuk masalah dengan jurulatih Peter Butler, persembahan pemain import dan sehinggalah ke perlawanan terakhir malam semalam (kelmarin), dua pemain kita digantung.

"Saya fikir, masalah-masalah yang wujud itu menjadikan kita lebih kuat dan The Red Warriors kini menjadi sebuah pasukan yang digeruni. Kita membuat pilihan yang betul mendapatkan jurulatih Bojan Hodak dan dia berada pada kelas tersendiri untuk membawa Kelantan ke tahap ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman turut memuji kekuatan yang ada pada pasukan ATM yang dianggap sebagai antara pasukan terbaik yang sedang dalam pembikinan.

"Mereka adalah pasukan berkelas Liga Super dan akan menjadi pesaing The Red Warriors musim depan. Mereka juga memiliki jurulatih hebat, B. Sathianathan."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan