Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Zulfahmi bergaya

Posted: 11 Nov 2012 12:20 PM PST

VALENCIA, Sepanyol: Pelumba sensasi Malaysia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin menutup cabaran musim ini dengan penuh bergaya apabila berada di podium buat kali kedua dalam kariernya selepas menamatkan saingan Grand Prix Valencia di kedudukan ketiga semalam selepas melakukan pecutan pada selekoh terakhir bersama juara perlumbaan, Danny Kent.

Kejayaan meraih kedudukan podium keduanya musim ini membolehkannya meraih 16 mata berharga selepas turut menaiki podium ketika beraksi Litar Sepang bulan lalu dan melonjakkan kedudukannya ke tempat ketujuh kedudukan Moto3 mengumpul 128 mata.


Bermula di kedudukan ke-17, pelumba AirAsia SIC Ajo Racing mengambil pendekatan yang berhati-hati apabila kekal bersama kumpulan pendahulu dalam saingan membabitkan 25 pusingan itu dan hanya memulakan pecutan ketika berbaki lima pusingan dengan pelumba negara berusia 21 tahun merekodkan catatan terpantas.

Berbaki tiga pusingan, Zulfahmi mengatasi pelumba Afrika Selatan, Brad Binder untuk melonjak di belakang dua pelumba Red Bull KTM Ajo Racing, SandroCortese dan Danny Kent .


Zulfahmi berkata dia mengambil pendekatan berhati-hati kerana keadaan litar basah dan licin, keadaan yang tidak digemarinya.


"Saya sangat berhati-hati sejak awal dan hanya mengekori pendahulu perlumbaan. Saya melihat beberapa pelumba terbabas, jadi saya lebih berhati-hati sehingga peringkat terakhir perlumbaan. Saya mengambil risiko yang tinggi pada selekoh terakhir dan gembira memenangi podium kedua," katanya yang dinobat selaku Pelumba Paling Meningkat 2012 untuk Moto3.

Kent memenangi perlumbaan dengan catatan 45 minit 5.891 saat bagi mengatasi juara dunia, Cortese dengan perbezaan 0.056 saat dan 0.114 di depan Zulfahmi.


Zulfahmi menambah keputusan semalam adalah sukar dipercayai selepas bergelut dalam sesi latihan bebas pada Jumaat dan sesi kelayakan kelmarin.

"Tanpa ragu bermula di kedudukan ke-17 sehingga ke kedudukan ketiga adalah keputusan yang hebat. Saya tidak mempercayai mampu menaiki podium. Saya sangat gembira dengan kejayaan podium kedua ini.


"Saya kini tidak sabar untuk aksi musim depan. Ia akan lebih kompetitif namun saya akan bersedia. Saya turut merasa gembira Litar Antarabangsa Sepang memenangi anugerah MotoGP tahun ini. Ia hebat," katanya.


Sementara itu, Dani Pedrosa menjuarai kategori MotoGP selepas bermula di petak utama diikuti pelumba Katsuyuki Nakasuga kedua serta Casey Stoney di tempat ketiga yang tampil dalam perlumbaan terakhir sebelum bersara.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


Del Potro ketepi cabaran Federer

Posted: 11 Nov 2012 12:14 PM PST

LONDON: Pemain tinggi lampai Argentina, Juan Martin del Potro mengecewakan Roger Federer di Jelajah ATP Dunia Akhir, kelmarin, untuk meraih tempat ke separuh akhir menentang pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic.

Del Potro yang masih segar dengan kemenangan ke atas pemain Switzerland itu di Basel dua minggu lalu, menang 7-6, 4-6, 6-3 di gelanggang O2 untuk muncul naib juara kumpulan B dengan rekod 2-1, dengan juara bertahan, Federer akan bertemu Andy Murray buat kali ketiga di London tahun ini dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.


Federer menang gelaran Wimbledon ketujuh tahun ini selepas menewaskan Murray di final namun beberapa minggu selepas itu, pemain Britain itu berjaya membalas dendam dengan meraih emas Olimpik.

Federer, 31, pemenang 12 perlawanan berturut-turut di kejohanan itu sejak menewaskan Nikolay Devydenko di separuh akhir edisi 2009, lebih awal layak ke separuh akhir sebelum turun menentang del Potro.


David Ferrer menewaskan Janko Tipsarevic 4-6, 6-3, 6-1 pada perlawanan terakhir round robin, turut merakam dua kemenangan dan satu kekalahan namun pemain Sepanyol itu tersingkir selepas kiraan set.


Perlawanan terakhir kumpulan bermula dengan tujuh senario kemungkinan dalam kumpulan B.

Kemenangan tiga set Del Potro menyebabkan peluang Ferrer ke separuh akhir berkubur, malah perlawanan Ferrer menentang Tipsarevic juga menjadi penentu juara kumpulan antara Federer dan del Potro.


Kemenangan Tipsarevic pula bakal menyaksikan del Potro mengungguli kumpulan kerana rekod pertemuan menentang Federer namun kejayaan Ferrer dan kesudahan tiga set bermakna Federer mengumpul kemenangan 5-2 untuk muncul juara kumpulan.

Del Potro pula merekodkan 5-3 sedangkan Ferrer 4-4.


Ferrer bagaimanapun bergantung kepada kemenangan Federer untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.


"Jujur saya katakan bahawa sebenarnya saya lebih memikirkan David berbanding sama ada menentang Andy Murray atau Novak Djokovic," kata Federer yang beraksi dalam separuh akhir ke-10 dalam 11 penampilan di kejohanan itu. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan