Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Bayu Pangkor reda tekanan

Posted: 16 Nov 2012 07:50 AM PST

ANGIN Pulau Pangkor diharap mampu meredakan tekanan dihadapi skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal pada masa ini.

Program selama tiga hari bermula semalam di Pan Pacific Resort, Perak diatur tepat pada waktunya ketika 24 pemain amat memerlukan rehat serta program motivasi untuk menyuntik semangat menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki yang bermula Ahad depan.


Menurut pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal, selepas keletihan mengharungi kempen Liga Malaysia serta aksi persahabatan antarabangsa sebelum ini, pemain negara harus diberi rehat sebelum kembali fokus terhadap misi mempertahankan kejuaraan.

"Walaupun masa ini digunakan untuk pemain berehat tapi ia tetap diisi pelbagai program bagi meningkatkan semangat dan kerjasama berpasukan.


"Tidak banyak bezanya modul program ini berbanding yang kita lakukan di Pulau Langkawi bagi persediaan Piala AFF dua tahun lalu dan saya harap selepas pulang ke Kuala Lumpur, semua pemain kembali bersemangat dan yakin menggalas misi mempertahankan kejuaraan," katanya kepada Arena Metro semalam.


Suntikan semangat diperlukan anak buah Rajagobal selepas mereka gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan pemanas badan dengan Vietnam 0-1, Thailand 0-2 dan Hong Kong 1-1 hingga mengundang kritikan semua pihak yang mula bimbang kemampuan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan di laman sendiri tahun ini.

Bagaimanapun Subahan tetap yakin, Harimau Malaya akan kembali 'segar' selepas bercuti dan mereka sebenarnya seperti 'harimau terluka' apabila turun membuka kempen Kumpulan B menentang Singapura.


"Saya tidak pernah risau dengan kemampuan skuad negara, bukan kita nak mendabik dada. Tidak mengapa kita kalah dalam persiapan ini dan itu membuatkan pemain seperti harimau terluka dan mereka akan lebih bersemangat serta tidak memperlekeh pasukan lain dalam kejohanan sebenar." Skuad kebangsaan akan pulang ke Kuala Lumpur pagi esok untuk menyambung latihan seperti biasa bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Bangladesh Selasa ini di Stadium Shah Alam.

Malaysia yang melakar sejarah muncul juara Piala AFF buat kali pertama dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 pada final 2010 akan bersaing bersama pasukan naib juara itu serta Singapura dan Laos dalam Kumpulan B.


Manakala tuan rumah bersama Thailand, akan melayan Filipina, Vietnam dan Myanmar bagi kempen Kumpulan A di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16


McIlroy gagal pertahan gelaran

Posted: 16 Nov 2012 07:44 AM PST

FANLING (Hong Kong): Pemain nombor satu dunia serta juara bertahan, Rory McIlroy, kini terlepas peluang mempertahan gelaran Terbuka Hong Kong akibat masalah pukulan putt dan juga terlalu letih.

Pemain berusia 23 tahun itu sedar perlu melakukan catatan rendah selepas memulakan aksi dengan tiga atas par 73, semalam.


Bagaimanapun, pada lubang ke-11, dia melakukan pukulan ke bunker dan terlepas peluang melakukan birdie sekali gus mengakhiri peluangnya untuk meneruskan cabaran.

Dia mencatat bogey pada lubang keempat, selepas puttnya sedikit tersasar, ketujuh akibat gagal mengagak kepantasan green dan kelapan apabila puttnya tersasar sekali lagi.


McIlroy awalnya berpeluang meneruskan cabaran ke hari ketiga dan melepasi had kelayakan tiga atas par sebelum lubang terakhir.


Bagaimanapun, dia terlepas peluang melakukan birdie dan sekadar mencatat dua atas par 72 bagi catatan keseluruhan 145.

"Saya bermasalah di par lima lubang ke-11 dan ia merosakkan permainan hari ini.


"Pada mulanya saya berada di landasan tepat untuk meneruskan cabaran dan memenangi kejohanan tapi semuanya tidak menjadi selepas lubang itu.

"Kini saya perlu memperbaiki pukulan putt sebelum beraksi di Dubai minggu depan," kata juara PGA Amerika Syarikat (AS) itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan