Kosmo Online - Sukan |
Yusmira Trading 'lari' jadi penaja Posted: Yusmira Trading 'lari' jadi penajaOleh YATIMIN ABDULLAH
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerima tamparan hebat apabila salah satu penajanya - Yusmira Trading Sdn. Bhd. mengumumkan untuk menarik diri daripada menaja skuad The Red Warriors itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Keputusan itu diumumkan sendiri oleh Pengarah Urusan Yusmira Trading, Datuk Azlan Muhammad dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu semalam. Hadir sama peguam syarikatnya, Mohd. Rafizi Abdullah daripada Tetuan Rafizi Zubairi & Co. Azlan berkata, keputusan untuk tidak meneruskan tajaan itu dibuat selepas mengkaji implikasi perpindahan tonggak utama The Red Warrios, Norshahrul Idlan Talaha yang dijangka mengubah haluan baharu ke Johor musim depan. "Mat Yo (Norshahrul) merupakan ikon besar dalam industri bola sepak Kelantan, namun keputusannya mahu berhijrah ke pasukan lain membuatkan kami berada dalam dilema. "Akhirnya kami membuat keputusan untuk tidak bersama Kelantan pada musim depan. Ia (keputusan) sememangnya begitu sukar tetapi kami tidak mempunyai pilihan lain. "Kami orang berniaga dan sudah tentu tidak mahu pelaburan (penajaan) ini memberi kerugian kepada syarikat kami," katanya. Berita penghijrahan Mat Yo membantutkan hasrat syarikat produk kesihatan berasaskan halia itu yang terkenal di negara ini untuk terus menaja The Red Waariors bagi musim keempat berturut-turut. Selain Yusmira Trading, turut menaja pasukan Kelantan musim ini ialah Sinar Harian, Al-Jabbar Group of Company, Umbro, Warriors, Masterskill, RW Energy Plus selain Happy selaku penaja utama. Azlan memberitahu, pihaknya akan menghantar surat untuk tidak menyambung kontrak penajaan kepada pihak KAFA dalam masa terdekat. "Sejak tiga tahun menjadi penaja untuk The Red Warriors, pihak kami sudah membelanjakan hampir jutaan ringgit semata-mata membantu menyemarakkan senario bola sepak Kelantan. "Kalau pemain beritahu awal tidak mahu bersama Kelantan enam bulan lalu, itu kami tidak kisah tetapi tiba-tiba jadi macam ini (mahu berhijrah) sedangkan kontrak masih ada, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada penaja seperti kami," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Kelantan dijangka menyenaraikan empat muka baharu bagi menghadapi kempen Liga M musim depan. Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui entri akaun Facebook miliknya semalam berkata, selain membawa masuk empat pemain baharu itu, KAFA turut memanggil balik bintang mudanya yang sebelum ini beraksi bersama Harimau Muda. "Bagi memperkuatkan cabaran musim hadapan, kita membawa masuk dua penyerang baharu di mana kedua-dua pemain itu telah menjaringkan 24 gol dalam saingan Liga M musim lalu. "Musim depan The Red Warriors akan diperkuatkan dengan kehadiran seorang otai yang akan beraksi di posisi tengah," katanya. | |
Peng Soon-Liu Ying lakar kejutan Posted: Peng Soon-Liu Ying lakar kejutanPENG SOON (belakang) dan Liu Ying menampilkan aksi bertenaga pada saingan separuh akhir Terbuka China di Shanghai semalam. BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Terbuka China 2012 di Shanghai. Selepas empat kali kecundang di tangan gandingan Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, Peng Soon-Liu Ying akhirnya berjaya menjinakkan beregu handalan Indonesia itu pada aksi separuh akhir semalam. Sejak pertarungan sulung pada Seluruh England, September tahun lalu, Peng Soon-Liu Ying sekadar mampu memberikan saingan sengit kepada Tontowi-Liliyana sehingga aksi rubber set. Kemudian, nasib yang sama dialami Peng Soon-Liu Ying yang kembali beradu tenaga dengan Tontowi-Liliyana pada Terbuka Malaysia 2011, Seluruh England 2012 dan Terbuka Switzerland 2012. Begitupun, pertemuan kelima pada Terbuka China 2012 semalam membawa tuah kepada beregu utama campuran negara itu yang dilihat semakin garang menawan pencabar mereka. Kemenangan straight set 21-19, 21-14 ke atas Tontowi-Liliyana itu sekali gus menyaksikan Peng Soon-Liu Ying menempah slot final untuk bertemu beregu tuan rumah yang berada pada ranking pertama dunia, Xu Chen-Ma Jin. Gandingan China itu mara ke final selepas menewaskan beregu Korea Selatan, Yoo Yeon Seong-Jang Ye Na 21-19, 21-13. Bagaimanapun, malang menimpa beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong apabila impian untuk melangkah ke final musnah selepas tumpas kepada pasangan Denmark, Marthias Boe-Carsten Mogensen 16-21, 16-21. Aksi final beregu lelaki akan menemukan Boe-Mogensen dengan gandingan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae yang mara selepas mengalahkan beregu Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 21-16, 21-15. Nasib yang sama turut dialami pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng yang mudah ditewaskan pemain No. 3 dunia dari China, Chen Long dengan kekalahan 6-21, 7-21 pada aksi separuh akhir. Bagaimanapun, Wei Feng harus diberikan pujian kerana dia yang berada pada ranking ke-26 dunia dilihat mempamerkan prestasi cemerlang sejak pusingan awal Terbuka China kali ini. Chen Long akan berdepan dengan rakan senegaranya hari ini, Wang Zhengming yang mara selepas lawannya, Chen Jin menarik diri dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam. | |
Menteri kecewa, tidak puas hati Posted: Menteri kecewa, tidak puas hatiOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI, AHMAD SHABERY (kanan) berbincang sesuatu dengan dua pegawai KBS di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya semalam. MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa kerana Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18 di Putrajaya masih belum siap sepenuhnya. Shabery berkata demikian selepas beliau 'turun padang' ketika menyaksikan Kejohanan Futsal Parlimen 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2012 yang di kompleks tersebut semalam. "Saya agak kecewa dengan kontraktor (kerana) daripada segi pelaksanaan komplek itu terlalu lambat. "Ia memakan masa yang begitu lama sedangkan terminal (Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2) pun dah nak siap, jambatan Pulau Pinang pun hampir siap tetapi buat satu kemudahan yang sedia ada masih mengambil masa beberapa tahun. "Wang yang diperuntukkan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah diluluskan oleh Perbadanan Putrajaya, saya berharap pihak tersebut dapat melihat perkara ini dengan lebih serius kerana sebenarnya Kompleks Futsal 1Malaysia memiliki satu simbol yang sangat kuat sekali dalam membina jenama di Putrajaya," kata Ahmad Shabery kepada Kosmo! Ahad semalam. Dalam pada itu, Ahmad Shabery mengakui, beliau gembira dengan penganjuran edisi ketiga kejohanan tersebut. Menurutnya, penganjuran futsal yang merupakan satu-satunya program yang mampu menghimpunkan ramai anak-anak muda dari seluruh negara mampu mencapai objektif dalam usaha melahirkan generasi lebih sihat dan cemerlang. "Selain itu, pemilihan Kompleks Futsal 1Malaysia dilihat sebagai satu strategi kerana pemain-pemain boleh menikmati keindahan bandar Putrajaya. "Apabila kejohanan ini diadakan pada setiap tahun, setiap parlimen yang bertanding akan sentiasa memandang ke depan bagi memberikan perhatian lebih serius kepada sukan futsal yang dilihat semakin berkembang pesat buat masa ini. "Biarpun kompleks ini belum sempurna tetapi kita lihat setiap tahun ada perubahannya. "Kita akan lengkapkan kompleks ini dengan gimnasium dan KBS juga memiliki perancangan untuk meletak bumbung di gelanggang futsal yang lain supaya tidak terganggu dengan cuaca seperti hujan. "Saya berharap kompleks ini akan bersedia untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa pada masa akan datang, ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan