Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kita tetap ke Islamabad

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh Maszureen Hadzman
sukan@utusan.com.my

KETIADAAN Nicol David meletakkan Low Wee Wern (depan) menggalas tugas memburu kejuaraan pada Kejohanan Asia di Islamabad, Pakistan.

KUALA LUMPUR - Isu keselamatan yang membayangi Islamabad, selain tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang bertindih dengan hari terakhir pertandingan tidak menghalang Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) untuk tetap menghantar pasukan ke Kejohanan Asia di Pakistan, 1-5 Mei ini.

Biarpun jurulatih kebangsaan, Peter Genever telah menyuarakan hasrat untuk tidak menyertai pasukan ke Islamabad, manakala pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David antara yang terawal mengumumkan tidak akan bertanding, SRAM meneruskan rancangan penghantaran pasukan seperti biasa.

Pengurus Besar SRAM, Christopher Brodie menegaskan, pemain diberi pilihan 100 peratus sama ada mahu bertanding atau tidak pada kejohanan individu itu. Tiada unsur paksaan, sebaliknya mereka boleh menarik diri jika merasakan keselamatan tidak terjamin atau mahu terlibat dengan PRU-13.

SRAM menyerahkan 100 peratus kepada pemain sama ada mahu bertanding pada Kejohanan Asia atau tidak. Mereka sudah dimaklumkan mengenai situasi semasa di Islamabad, malah semua pemain juga sudah tahu tentang tarikh PRU-13.

Namun mereka tetap mahu beraksi kerana tidak pernah sampai ke Pakistan sebelum ini. Semua pemain sangat teruja untuk merasai pengalaman bermain di sana.

SRAM menyokong keputusan mereka, malah kami telah mengambil segala langkah berjaga-jaga dengan mendapatkan jaminan daripada penganjur, mereka jamin semua terkawal dan kita boleh bermain tanpa rasa bimbang," kata Christopher, yang juga Setiausaha SRAM.

Menurut Christopher lagi, walaupun PRU-13 jatuh pada hari terakhir kejohanan, namun semua pemain dan jurulatih tahu akan tanggungjawab mereka dan membuat keputusan sendiri.

Malah, SRAM tidak menghalang mana-mana pemain untuk beraksi di Kejohanan Asia hanya kerana Nicol telah mengumumkan untuk tidak terlibat atas alasan keselamatan, selain mahu memberi tumpuan kepada Terbuka Britain.

Saya yakin pihak penganjur pasti telah mengambil langkah keselamatan terbaik bagi memastikan keselesaan pemain serta pegawai sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Jadi pemain hanya perlu bersedia berhadapan dengan kawalan keselamatan yang ketat apabila tiba di sana nanti," katanya lagi.

Selain Genever, seorang lagi jurulatih kebangsaan, Aaron Soyza juga difahamkan masih belum memutuskan sama ada akan menyertai pemain-pemain ke Islamabad.

Keadaan di Pakistan agak tegang menjelang pilihan raya negara itu pada 11 Mei ini, termasuk berlakunya beberapa siri serangan bom yang telah mengorbankan nyawa.

Malah, gempa bumi yang melanda negara jiran, Iran yang telah mengorbankan 30 nyawa mencetus kebimbangan baharu.

Dengan ketiadaan juara lapan kali, Nicol, pemain No. 7 dunia, Low Wee Wern menjadi sandaran utama Malaysia untuk membawa pulang kejuaraan perseorangan wanita.

Wee Wern akan turut diiringi Delia Arnold dan Zulhijjah Azan.

Dalam saingan lelaki, Mohd. Nafiizwan Adnan mengesahkan dia akan turun untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Juara empat kali, Ong Beng Hee dan Muhamad Asyraf Azan melengkapkan skuad negara, yang akan berlepas ke Islamabad, Ahad ini.

Selangor belum angkat bendera putih

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Francis Forkey Doe diketepikan daripada pertemuan menentang East Bengal selepas belum pulih daripada kecederaan. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM - Faktor keletihan dan pemain cedera bukan alasan buat pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim untuk menyerah mudah kepada East Bengal FC dalam saingan Piala AFC yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, malam ini.

Bertemu pendahulu Kumpulan H itu membuatkan mereka lebih bersemangat untuk mencari tiga mata dan menjaringkan gol kerana tidak mahu perbezaan mata serta gol menghalang mereka untuk layak ke pusingan kedua.

Kita tidak akan menyerah kalah dengan mudah, walaupun sedar ramai pemain utama mengalami kecederaan. Kita akan cuba beri persembahan terbaik serta realistik untuk mara ke pusingan seterusnya," katanya dalam sidang media semalam. Selepas bermulanya pusingan kedua Piala AFC peringkat kumpulan, Selangor bangkit dengan mencatat kemenangan 3-1 ke atas Saigon Xuan Thanh pada 9 April lalu.

Bagi saya sekarang ini semua perlawanan penting, baik saingan Piala AFC mahupun Liga Super, jadi saya perlu membuat perancangan terbaik malam esok (hari ini), walaupun pemain saya sekarang mengalami keletihan.

Pasukan lawan beruntung kerana mempunyai rehat sembilan hari, tetapi kita akan cuba mencuri mata," katanya lagi.

Ditanya sama ada dia membariskan pemain utama atau tidak kerana Selangor juga bakal berdepan tugas getir menentang pendahulu Liga Super, LionsXII hujung minggu ini, Irfan menjelaskan, dia akan membuat sistem penggiliran.

Malah katanya, pemain Selangor juga sudah melupakan kekalahan pada suku akhir Piala FA selepas disingkirkan Johor Darul Takzim dengan agregat 4-2, Selasa lalu.

Antara pemain Selangor yang tidak dapat diturunkan hari ini adalah penyerang import, Francis Forkey Doe, pertahanan tengah, Nasriq Baharom serta penjaga gol, Norazlan Razali.

Mohd. Fitri Shazwan Raduwan bagaimanapun akan beraksi, begitu juga pemain import dari Slovakia, Michal Kubala.

Sementara itu jurulatih East Bengal, Trevor Morgan berkata, mereka hanya memerlukan satu mata untuk mara ke pusingan kedua tetapi matlamat mereka ke Shah Alam bukan untuk seri sebalik pulang bersama tiga mata penuh.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan